ARKIB : 08/03/2006
Selangor, Perlis garang - Piala
AFC
TONGGAK Selangor, Bambang
Pamungkas (kiri) mengasak pemain Tampines Rovers, Zulkarnaen Zainal pada
perlawanan bola sepak Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Selangor menang 1-0. - ASWAD YAHYA.
KUALA LUMPUR - Selangor
memulakan kempen bola sepak Piala AFC dengan keputusan memberangsangkan apabila
menewaskan Tampines Rovers dari Singapura 1-0 pada perlawanan di Stadium
Nasional Bukit Jalil, semalam.
Pada satu lagi perlawanan di
Singapura, penyandang juara Liga Super, Perlis menang 3-2 ke atas kelab tuan
rumah, Home United.
Gol kemenangan Selangor
dijaringkan oleh Brian Fuentres pada minit ke-12 yang dilihat menjadi penawar
kepada Selangor untuk melupakan seketika prestasi buruk mereka dalam saingan
Liga Super.
Babak pertama bermula dengan
kedua-dua pasukan agak berhati-hati tetapi Selangor lebih banyak menguasai
permainan di atas padang licin akibat hujan.
Bagaimanapun, Selangor tidak
menunggu lama apabila penyerang importnya, Brian Fuentes membuka jaringan pada
minit ke-12 selepas berjaya melepaskan diri daripada perangkap ofsaid
pertahanan lawan.
Tersentak dengan gol itu,
Tampines Rovers mula melancarkan serangan dan memperoleh beberapa peluang untuk
menyamakan kedudukan.
Bagaimanapun, ketumpulan
barisan serangan pasukan pelawat gagal membolosi gawang Selangor yang dikawal
oleh penjaga gol muda, Mohd. Shahrizan Ismail.
Selangor hampir menambah
jaringan pada minit ke-41 apabila hantaran lintang Bambang Pamungkas berjaya
disambut oleh Fuentes tetapi bola melepasi palang gol.
Masuk minit ke-44, giliran Amri
Yahyah pula memperoleh peluang tetapi bola lambungnya berjaya ditepis keluar
oleh penjaga gol lawan.
Kedua-dua pasukan terus buntu
mencipta jaringan pada babak kedua dengan Selangor lebih banyak mengasak
manakala Tampines sekali-sekala cuba melancarkan serangan balas pantas.
Kemasukan Elie Aiboy juga gagal
menambah sengatan jentera serangan Selangor walaupun beberapa gerakan menarik
berjaya dihasilkan oleh pemain dari Indonesia itu.
Kedudukan 1-0 terus kekal
sehingga tamat perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4koDLTeTm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan