Ahad, 4 Jun 2017

Kuasai tengah Ñ Aiboy



ARKIB : 23/09/2005

PETALING JAYA Ñ Selangor mampu mengetepikan saingan Perak untuk muncul juara Piala FA malam esok jika mampu menguasai bahagian tengah, kata penyerang lincah, Elie Aiboy.

Menurut beliau, kekuatan sesebuah pasukan itu sebenarnya terletak di bahagian tengah yang akan merancang setiap gerakan untuk membuka ruang dan membuat umpanan kepada pemain bahagian serangan untuk menjaringkan gol.

Katanya, kegagalan menguasai bahagian tengah bakal membawa padah kepada sesebuah pasukan itu dan akan didominasi oleh pihak lawan.

``Jika Selangor berjaya menguasai bahagian tengah saya cukup pasti kami akan bergelar juara,'' ujar Elie dengan penuh yakin ketika ditemui sejurus menjalani latihan singkat di padang PKNS di sini, semalam.

Pemain lincah berasal dari Indonesia itu membentuk gandingan mantap di bahagian tengah bersama K. Sanbagamaran, Muhammad Shukor Adan dan Brian Fuentes dalam setiap perlawanan yang diharungi Selangor.

Ujarnya, gandingan itu sebenarnya menjadi kunci kejayaan Selangor mara ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Aiboy tidak menolak empat serangkai yang membentuk perencana bahagian tengah buat Bambang Pamungkas dan Muhammad Khalid Jamlus mencipta jaringan berada pada tahap yang cukup memuaskan.

Pemain dari kelab Persija berusia 26 tahun itu jelas tidak gentar dengan kawalan ketat pertahanan Perak untuk menyekat pergerakan lincahnya.

``Sebenarnya saya cukup gembira kerana belum semusim bersama Selangor sudah layak dalam dua final cuma selangkah saja kaki untuk mendakap gelaran,'' ujarnya.

Beliau tidak menafikan semangatnya membuak-buak menjelang aksi final malam esok.

Aiboy berjanji tidak akan mensia-siakan peluang menjaringkan gol malam esok.

Satu gol yang dijaringkan pemain itu ketika membantu Selangor menewaskan Terengganu 3-1 pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia membuktikan dia juga mampu menggalas tugas sebagai penyerang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4j3FBgqg9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan