ARKIB : 02/10/2005
Oleh: AMRAN MULUP, SAYED HISHAM
SAYED IDRIS dan HAFIZ AHMAD
KAMI JUARA... Ketua Pasukan
Selangor, Mohd. Shukor Adan (tengah) menjulang Piala Malaysia sambil disaksikan
pegawai dan rakan sepasukan selepas menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong,
Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail (kot biru) sebaik diumumkan
sebagai juara buat kali ke-30 dengan menewaskan Perlis 3-0 pada perlawanan
akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Jaringan hatrik penyerang
terbilang, Bambang Pamungkas membolehkan impian Selangor untuk melakar sejarah
merangkul tiga gelaran dalam semusim menjadi realiti apabila mereka dinobatkan
selaku juara Piala Malaysia yang baru selepas menewaskan penyandang juara,
Perlis 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Kemenangan tersebut membuktikan
kejaguhan sebenar Selangor yang tersisih selama tiga musim sejak menjulang
Piala Malaysia pada 2002, tetapi malam tadi mereka kembali menemui sentuhan
bergelar juara.
Tidak dapat dinafikan Selangor
memiliki segala kelebihan untuk menafikan hajat menggunung Perlis yang
berbekalkan gelaran juara musim lalu.
Sebaliknya tiga gol menerusi
penyerang berbisa Selangor, Bambang yang meledakkan jaringan pada minit ke-17,
51 dan 87 sudah cukup memastikan skuad Red Giants dinobatkan selaku juara
mutlak Piala Malaysia buat kali ke-30.
Pemain terbaik perlawanan akhir
Piala FA Sabtu lalu, Elie Aiboy adalah pencetus kepada kejayaan Selangor dengan
dua sepakan sudutnya ditanduk tepat oleh Bambang manakala D. Surendran pula
untuk gol ketiga yang terus meranapkan impian Perlis.
Kini lengkap sudah tiga gelaran
yang disandang oleh Selangor bagi musim 2005 sesudah mendakap kejuaraan Piala
Liga Perdana di Stadium Paroi, Stadium Shah Alam pula ditabalkan juara Piala FA
dan malam tadi mereka dijulang pula merangkul piala paling berprestij bola
sepak Malaysia.
Di hadapan kira-kira 90,000
penonton yang jelas didominasi oleh penyokong yang berpakaian merah kuning
bertempik sorak kegembiraan sejurus pengadil perlawanan, Shokri Nor meniup
wisel penamat.
Buat pemain skuad Merah Kuning,
mereka berpelukan sesama sendiri selain ada yang menitiskan air mata yang turut
disertai oleh jurulatih, Dollah Salleh, pengurus pasukan, Datuk Satim Diman
serta pemain simpanan menyambut kejayaan Selangor bergelar juara ketika pemain
Perlis longlai dengan wajah duka meratapi kekalahan tersebut.
Pada minit ke-70 permainan
terhenti seketika ekoran rasa tidak puas hati pemain apabila pengadil tidak
menghadiahkan sepakan penalti setelah pemain Perlis, Yusri Che Lah dijatuhkan
di kawasan kotak penalti.
Buat Perlis yang terlalu
menyandarkan harapan kepada sentuhan Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda
jelas tidak berupaya memecah benteng pertahanan Selangor yang jelas lebih ampuh
dengan kecemerlangan penjaga golnya, Jamsari Sabian yang menjadi penghalang.
Aksi yang bermula dengan asakan
bertali arus kedua-dua pasukan tetapi sebaliknya tuah memihak kepada Selangor
yang memecah ebuntuan jaringan gol selepas 17 minit babak berlangsung hasil
tandukan cantik Bambang Pamungkas.
Gol berpunca daripada sepakan
sudut yang diambil oleh Elie Aiboy dari sebelah kanan, Bambang tangkas
melonjakkan diri untuk menanduk masuk menggegar jaring menewaskan penjaga gol
Perlis, Amran Omar.
Gol tersebut mengamatkan
seketika Stadium Nasional Bukit Jalil dengan pekik sorak sebahagian besar penyokong
yang berpakaian merah kuning.
Perlis yang tersentak dengan
gol awal tersebut terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi
kelibat dua ayam tambatan, Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda sukar
melepasi benteng pertahanan Selangor.
Skuad Singa Utara hampir-hampir
menyamakan kedudukan Peluang terbaik hadir milik Simukonda tetapi dia sekadar
melepaskan rembatan tepat ke arah penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian yang
mudah meno lak keluar pada minit ke-21.
Permainan bertambah rancak
dengan asakan bertali arus dilakukan oleh kedua-dua pasukan terutama Perlis
yang cuba mencari gol penyamaan.
Pada minit ke-41 dua peluang
hadir selang beberapa saat milik Perlis menerusi percubaan Manzoor Azwira
Chipeta di depan pintu gol tetapi Jamsari menjadi penghalang buat menamatkan
babak pertama dengan kedudukan terikat 1-0.
Pada minit ke-51 Selangor
menggegarkan Stadium Nasional buat kali kedua apabila meledakkan jaringan kedua
hasil tandukan Bambang menewaskan Amran.
Berpunca daripada sepakan sudut
Aiboy tepat ke arah Bambang yang terus menanduk mengamamkan semua pemain
pertahanan Perlis.
Kedudukan makin selesa apabila
Bambang menemui sentuhan hatrik hasil hantaran Surendran.
SELANGOR
Jamsari Sabian, Ahmad Tarmini
Saiban, D. Surendran, Nazrulerwan Makmor, P. Gunalan, Brian Fuentes, Elie
Aiboy, K. Sanbagamaran, Muhammad Shukor Adan, Mohd. Amri Yahyah (Nazzab
Hidzan), Bambang Pamungkas.
PERLIS
Amran Omar, Joao Bandoch,
Muhamad Kaironnisam, Zainuddin Ariffin, Mohd. Nazaruddin Md. Zain, Manzoor
Azwira (Azi Shahril Azmi), Azizi Mat Rose, Mohd. Feriza Ismail, Mohd. Khairi
Zainuddin, Yusri Che Lah, Philimon Chipeta, Zacharia Simukonda.
ANUGERAH LIGA MALAYSIA 2005
Piala Malaysia: Selangor
Pemain Terbaik Perlawanan
Akhir: Bambang Pamungkas
Piala Sultan Ahmad Shah: Perak
Liga Super: Perlis (RM500,000)
Liga Perdana: Selangor
(RM200,000)
Piala FA: Selangor
Permainan Bersih: PKNS
Kasut Emas Liga Super:
Zachariah Simikonda
(18 gol)
Kasut Emas Liga Perdana: Marlon
Alex James
(23 gol)
Piala FAM: Kelantan (RM50,000)
Piala Presiden: Kelantan
(RM100,000)
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j5uYgUs8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan