ARKIB : 28/09/2005
KANGAR - Penyandang juara Piala
Malaysia, Perlis mengakui lawan mereka, Selangor merupakan pasukan yang hebat,
lapor SAYED HISHAM IDRIS.
Namun, Selangor jangan cepat
mendabik dada kerana Perlis mempunyai ramuan tersendiri bagi mempertahankan
kejuaraan.
Jurulatih Perlis, Abdul Rahman
Ibrahim berkata, kejayaan Selangor menjulang Piala FA mengukuhkan reputasi Red
Giant selaku kuasa terkini kancah bola sepak tempatan.
Namun, Abdul Rahman
menjelaskan, perlawanan akhir Piala Malaysia berbeza dengan apa yang dilalui
Selangor ketika menewaskan Perak 4-2 tempoh hari.
``Kita mengakui Selangor bukan
calang-calang pasukan tetapi Perlis tidak gentar. Kita sudah membaca kelemahan
Selangor.
``Perlawanan akhir Piala FA
tempoh hari memberi peluang kepada kita untuk mencari kelemahan mereka dan kita
sudah mengenali pasti kelemahan tersebut yang akan kita gunakan sepenuhnya
untuk menyekat mereka daripada menjulang piala ketiga musim ini,'' katanya
ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan Perlis di Stadium Utama di sini,
semalam.
Semalam skuad Perlis menjalani
latihan selama lebih sejam menjelang empat hari lagi perlawanan akhir Piala
Malaysia
Dalam latihan itu, Perlis
memberi tumpuan kepada aspek serangan dan sesi tersebut turut disaksikan lebih
2,000 penyokong setia skuad Singa Utara itu.
Menurut Abdul Rahman, bayangan
Piala Malaysia tergambar pada wajah pemain yang cukup bersemangat di samping
mahu menyekat Selangor daripada menyapu bersih kejuaraan liga bola sepak
tempatan musim ini.
Begitupun, tegas Abdul Rahman,
mereka tetap berhati-hati dan tidak mahu menampilkan aksi terlampau yakin yang
dilihat mampu mengundang padah seperti mana Perak rebah pada perlawanan akhir
Piala FA tempoh hari.
``Kekalahan Perak kepada
Selangor dijadikan iktibar buat kita agar tidak terlalu yakin. Apa yang saya
perhatikan Perak terlalu yakin ketika berdepan Selangor pada perlawanan
tersebut yang akhirnya membawa padah.
``Bagi saya, jika pemain
berkeyakinan tinggi, ia tidak salah tetapi jika mendapat peluang gol, ia perlu
disempurnakan agar keyakinan itu dapat dikekalkan.
``Perlis lebih senang dengan
status underdog pada perlawanan akhir kelak kerana tidak mahu sebarang tekanan
yang boleh menjejaskan tumpuan Perli kelak,'' ujarnya.
Mengenai persediaan Perlis
menjelang penentuan kejuaraan berprestij Sabtu ini, Abdul Rahman berkata, tahap
persediaan pasukannya hanya akan tiba di kemuncak pada final kelak.
Malahan, lebih melegakan
kesemua pemain utama berada dalam prestasi terbaik tanpa sebarang masalah
kecederaan.
``Menjelang perlawanan akhir
Sabtu ini, semua pemain semakin ghairah untuk mempertahankan kejuaraan, malahan
yang sedikit cedera pun sanggup melupakan kecederaan semata-mata untuk beraksi
pada perlawanan akhir,'' ujarnya.
Perlis dijangka menurunkan
kesebelasan utama mereka untuk berdepan Selangor Sabtu dengan dengan barisan
serangan diisi oleh Zachariah Simikonda dan Phillemon Chepita
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4j5IWcNzZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan