Sabtu, 10 Jun 2017

Perlis belasah Selangor 6-1



ARKIB : 15/01/2006
Penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian (dua dari kiri) menyelamatkan bola tandukan penyerang Singa Utara, Effendy Abdul Malik (kanan) dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Utama Kangar, semalam. Selangor tewas 1-6. - Nidzuwan Zainal Abidin.

KUALA LUMPUR - Negeri Sembilan masih mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super walaupun tewas 1-2 kepada Perak di Stadium Perak, semalam.

Lebih mengejutkan apabila juara Piala Malaysia, Selangor dibelasah oleh Perlis 6-1 ketika skuad Merah Kuning beraksi dengan sembilan pemain selepas ketua pasukan, Mohamad Shukor Adan dan Mohd. Amri Yahyah dibuang padang.

Kemenangan bermakna buat Perak selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum ini, membuka tirai jaringan seawal minit kesepuluh menerusi R. Surendran selepas mendapat hantaran cantik Keita Mandjou.

Bagaimanapun Negeri Sembilan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-19 apabila Baffey Richard mudah menolak masuk hantaran Bekamenga Bekamengo.

Pada minit ke-56, Wiratnom mencipta jaringan kemenangan menerusi sepakan sudut yang terus melencong masuk menewaskan penjaga gol pelawat, Azizon Abdul Kadir.

Di Stadium Hang Jebat, penyerang kebangsaan Rudie Ramli menjaringkan gol kemenangan membantu Telekom menewaskan MPPJ 1-0.

Kemenangan tersebut memastikan Telekom masih kekal di tangga ketiga berkongsi kedudukan dengan MPPJ dengan masing-masing mengutip 13 mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol.

Gol kemenangan milik Telekom dihasilkan daripada percubaan dari jarak 35 meter penyerang import dari Zambia, Chaswe Nsofwa tetapi gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol MPPJ, Faizal Abdul Rashid.

Bola muntah itu tepat di depan Rudie yang mudah menolak masuk.

Di Stadium Utama, Philimon Chepita muncul hero apabila menjaringkan hatrik membantu Perlis membelasah juara Piala Malaysia, Selangor 6-1.

Lebih malang buat Selangor apabila dua pemain utama mereka Shukor Adan dan Mohd. Amri dilayangkan kad merah pada minit ke-25 dan 84.

Tiga gol Perlis dijaringkan oleh Kalande Kambamba (m-2), Nazaruddin Md. Zain (m-5) dan Effendy Abdul Malik (m-16) manakala gol tunggal Selangor dijaringkan oleh Brian Fuentes pada minit ke-24.

Di Stadium Darul Makmur, Pahang mensia-siakan peluang apabila hanya mampu seri 1-1 dengan Pulau Pinang E&O.

Pahang mencipta jaringan pada minit ke-79 menerusi Bernard Tchoutang.

Namun, di minit-minit terakhir masa kecederaan Pulau Pinang E&O berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Zulhissyam Jamaluddin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jbLsqO3n
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan