ARKIB : 15/03/2006
Ads by Kiosked
Selangor tumbang, Negeri
Sembilan girang
TONGGAK Telekom Melaka, Mohd.
Hardi Jaafar (kiri) diasak oleh pemain NS Naza, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak
dalam saingan Piala FA di Melaka, semalam.
KUALA LUMPUR - Penyandang
juara, Selangor berdepan tugas getir untuk mempertahankan trofi bola sepak
Piala FA selepas tumpas 1-0 kepada Pahang pada aksi pertama pusingan kedua di
Stadium Darul Makmur di Kuantan, semalam.
Gol jaringan Josiah Seton pada
10 minit terakhir perlawanan memberi bekalan berharga buat Pahang sebelum
bertandang ke Bukit Jalil untuk aksi kedua hujung bulan ini dan mengintai
tempat ke suku akhir.
Seton menanduk masuk gol
kemenangan Tok Gajah dalam aksi lesu kedua-dua pasukan dalam perlawanan itu.
Tetapi ia sudah cukup untuk
memberikan satu lagi kekalahan kepada Selangor yang sebelum ini tidak langsung
menyerlah dalam kancah Liga Super dengan menduduki tangga tercorot.
Pahang harus mempunyai bekalan
lebih selesa tetapi gol jaringan pemain dari Cameroon, Bernard Samuel Tchoutang
dibatalkan oleh pengadil, Ibrahim Mohamad pada minit ke-14 kerana dia lebih
dulu mengasari penjaga gol Selangor, Mohd. Shahrizan.
Dalam aksi di Stadium Hang
Jebat di Melaka, juara 2003, Negeri Sembilan meletakkan sebelah kaki ke suku
akhir selepas menang selesa 3-0 ke atas Telekom Melaka.
Christian Bekamenga
menjaringkan dua gol untuk Negeri Sembilan. Pemain itu membuka jaringan pada
minit ke-16 apabila menolak masuk bola ke gawang lawan hasil sepakan penjuru
Anuar Jusoh.
Gol keduanya dihasilkan pada
minit ke-43 selepas menyambar bola hantaran lintang Rizal Zamberi Yahaya.
Kapten Negeri Sembilan, Khairul
Anuar Baharum menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga lima
minit selepas separuh masa kedua bermula menerusi sepakan percuma dari luar
kotak penalti.
Telekom Melaka sepatutnya
berada di depan pada awal permainan tetapi bintangnya, Chaswe Nfoswa gagal
menyempurnakan sepakan penalti yang dilakukan dua kali pada minit keenam.
Sepakan pertamanya menerjah
jaring tetapi pengadil Mohd. Nafeez Abd. Wahab mengarahkan sepakan diambil
semula.
Sepakan keduanya tinggi
melepasi palang gol.
Di Stadium Petaling Jaya,
Sarawak turut berbekal selesa untuk menghadapi perlawanan kedua selepas menang
3-1 ke atas PKNS.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Safee Sali membuka jaringan pasukan pelawat pada minit kelima sebelum B.
Rajinikandh menggandakan gol pada minit ke-45.
Junaid Hartley menambah selesa
Sarawak dengan gol ketiga minit ke-63 sebelum PKNS mendapat gol saguhati pada
penghujung perlawanan menerusi jaringan penalti Elvis Coric.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koROzFwo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan