ARKIB : 03/08/2006
Oleh SUHANA ABDUL MUTALIB
SHAH ALAM Semua pemain
pasukan Selangor akan digugurkan dan kita akan memilih pemain baru yang mampu
memikul cabaran untuk saingan bola sepak Liga Perdana musim 2007.
Itulah kata-kata tegas Presiden
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Mohamad Khir Toyo yang jelas
kecewa dengan kegagalan pasukan gergasi Merah Kuning itu merangkul sebarang
piala serta kegagalan melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Malaysia
tahun ini.
Beliau menegaskan, FAS juga
akan menggugurkan semua pemain import sedia ada memandangkan niat asal
mendapatkan khidmat pemain import iaitu untuk berkongsi skil permainan serta meningkatkan
prestasi pasukan gagal dicapai.
Kita sudah ambil keputusan
untuk membuat perubahan drastik tahun hadapan. Tidak ada sebarang pemain import
dan kita akan menubuhkan satu pasukan baru yang seratus peratus terdiri dari
pemain tempatan di bawah usia 23 tahun.
Saya juga minta maaf kepada
pemain senior memandangkan hanya ada seorang atau dua daripada mereka sahaja
yang akan dikekalkan untuk memberi tunjuk ajar kepada pemain baru ini, katanya
selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini,
semalam.
Selangor terlepas untuk
mempertahankan trofi berprestij bola sepak negara, Piala Malaysia akibat
perbezaan jaringan dengan pasukan Liga Perdana, Terengganu yang menduduki
tempat kedua Kumpulan A.
Pada perlawanan terakhir peringkat
kumpulan itu, Selangor menang ke atas Sabah 3-1 tetapi tidak cukup untuk
memintas Terengganu kerana mereka memerlukan kemenangan lebih besar.
Kegagalan Selangor itu turut
dibantu keputusan seri 3-3 Terengganu dengan Negeri Sembilan walaupun pasukan
Pantai Timur itu ketinggalan 1-3 pada satu ketika.
Mohamad Khir seterusnya
berkata, semua pemain baru itu juga akan ditempatkan di sebuah asrama untuk
membolehkan mereka menjalani latihan secara berterusan dan komprehensif tanpa
sebarang gangguan luar.
Tambah beliau, lokasi asrama
juga telah dikenalpasti dan proses pemilihan pemain akan dimulakan pada
bila-bila masa.
Dengan pasukan baru ini, kita
tidak terus meletakkan sasaran untuk memenangi Piala Malaysia musim hadapan
sebaliknya ia hanya sebagai pendedahan awal untuk mereka.
Bagaimanapun, saya berharap
Piala Malaysia akan kembali ke Selangor pada tahun 2008, ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lO8Qd0bN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan