Khamis, 30 November 2017

Selangor tanpa Akmal Rizal

ARKIB : 21/08/2008
 
Akmal Rizal

KUALA LUMPUR – Malang, seribu kali malang buat penyerang Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila terpaksa melupakan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Kedah, Sabtu ini gara-gara kecederaan lama lutut kanannya yang berulang.

Sudahlah kempunan menjulang Piala FA, Mei lalu dan hanya mampu memanaskan bangku simpanan, aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini pula sekadar dapat ditontonnya sebagai pemerhati dari luar padang apatah lagi dengan menentang negeri kelahirannya.

“Cukup hampa kerana sepatutnya inilah perlawanan akhir Piala Malaysia pertama saya setelah tidak berpeluang turun ketika Selangor kalah Piala FA. Saya tercedera sejak separuh akhir pertama di Shah Alam lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Akmal Rizal yang kerap turun selaku penyerang gantian minit akhir dengan berjersi nombor 14 Gergasi Merah, pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada bahagian yang pernah dibedah itu memerlukan pemulihan selama dua minggu lagi.

“Walaupun tidak dapat bermain, saya tetap mendoakan kejayaan buat pasukan Selangor kerana sebagai pemain simpanan pun, saya tetap akan beroleh pingat kejuaraan jika kami menewaskan Kedah,” katanya yang masih menjalani senaman ringan di gimnasium.

Mengenai pertembungan bagi edisi pertandingan ke-82 ini, katanya, “peluangnya 50-50 kepada kedua-dua pasukan. Tiada kelebihan gelanggang sendiri walaupun Selangor lebih dekat dengan Bukit Jalil malah ketika Piala FA di Shah Alam, Kedah memiliki sejumlah besar penyokongnya.

“Saya ramalkan 90 minit perlawanan ini sudah cukup menentukan siapa juara,” katanya yang menyedari ketiadaannya di padang pasti dialu-alukan penyokong Hijau Kuning yang lantang mengejeknya ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super musim ini.

“Itu lumrah peminat bola sepak. Mereka mungkin tidak faham bukan saya yang tinggalkan atau membelakangkan Kedah tetapi kontrak saya yang ditamatkan dan sebagai pemain profesional, saya perlu mencari haluan baru karier saya,” kata anak jati Jitra, Kedah ini yang menyertai Selangor mulai musim 2006-2007.

Sepanjang Liga Malaysia musim ini, Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili skuad negara menentang Indonesia di Surabaya, Jun lalu, telah menjaringkan 10 gol iaitu lima bagi Liga Super, tiga dalam Piala FA dan hanya dua ketika Piala Malaysia yang bermula pada 11 Jun lalu.

Namun skuad Merah Kuning masih tidak ketandusan penyerang selain Frank Seator dan Safee Sali dalam kesebelasan utama kerana S. Sritharan, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin dan R. Surendren mahupun Amri Yahyah mampu merobek gawang Kedah kawalan Helmi Eliza Elias.

Kongsi Konten di :
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zuDLXTkJ
© Utusan Melayu (M) Bhd


Selangor perlu sekat tengah Kedah

ARKIB : 20/08/2008
 
KUALA LUMPUR - Bek tengah Selangor, Nazrulerwan Makmor percaya sebarang umpanan Kedah yang cepat disekat di tengah padang, pasti menghampakan penyerang importnya, Marlon Alex James membolosi gawang Gergasi Merah dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.

Dia yang lebih dikenali sebagai Badut juga menganggap pemain St. Vincent & Grenadines itu tidak mungkin dapat bertindak sendirian untuk memburu gol selagi tanpa sokongan barisan tengah Si Kenari sekali gus menuntut bahagian tengah Selangor saling menyokong rakan di bahagian belakangnya.

"Pengalaman saya menunjukkan jika kami dapat sekat sebarang umpanan kepada Marlon, dia akan sukar menjaringkan gol walaupun saya tahu pemain import Kedah itu seorang penyerang yang bagus," katanya yang mungkin bermain perlawanan akhir keduanya selepas membantu Selangor menjulang Piala Malaysia 2005.

Nazrulerwan yang dipinjamkan daripada KL PLUS bagi Piala Malaysia selepas kelab ibu kota itu muncul naib juara Liga Perdana musim ini, dijangka kembali menjadi pilihan jurulatih Dollah Salleh untuk bergandingan dengan Evan Chisulo dari Zambia walaupun mungkin perlu bersaing dengan Nasriq Baharom dan Razman Roslan.

"Saya mengidam benar bermain perlawanan akhir kali ini kerana bertekad untuk menidakkan tanggapan biasa orang ramai bahawa benteng Selangor selalu lemah dan mudah bolos apatah lagi setelah baru pulih daripada jangkitan mata," katanya yang turut pernah bermain semusim dengan PKNS sebelumnya.

Gara-gara jangkitan mata itu, dia terpaksa direhatkan sejak suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Polis di Selayang, 9 Ogos lalu yang menyaksikan Selangor nyaris kempunan ke separuh akhir dengan tiga gol lawan sebelum terselamat dan layak menerusi peraturan jaringan di tempat lawan.

Dua perlawanan separuh akhir masing-masing di Shah Alam dan Pasir Gudang turut menyaksikan betapa goyahnya benteng juara Piala Malaysia 32 kali itu walaupun sekali lagi mereka hanya layak dengan kelebihan agregat 2-1 ke atas Johor FC yang cuba menurut jejak MPPJ selaku kelab kedua mara ke perlawanan akhir pada 2003.

Menurut Nazrulerwan, Piala Malaysia musim ini juga bertambah penting baginya dan Selangor, malah berikrar tidak akan memberikan sebarang laluan mudah kepada Kedah yang telah membolot gelaran Liga Super dan Piala FA (juga dengan mengalahkan Merah Kuning 3-2 di Stadium Shah Alam, Mei lalu).

"Tidak mungkin kami mahu lepaskan sahaja peluang dalam Piala Malaysia pula setelah dua kejuaraan terlepas tetapi saya harap kami tidak perlu ke masa tambahan atau sepakan penalti untuk menjulangnya," katanya mengimbas ketika Selangor membenam Perlis 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas 90 minit, tiga tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zu4qOfMi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 29 November 2017

Kecuaian nyaris hukum Selangor

ARKIB : 18/08/2008
KUALA LUMPUR - Selangor ibarat 'kalah tempur tetapi menang perang' ke atas Johor FC di Pasir Gudang dalam separuh akhir kedua kelmarin untuk mara ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini menerusi agregat 2-1.

Kalah kerana mereka terlalu sukar menandingi tuan rumah sehingga gagal membolosi lawan namun tetap mencapai misi utama untuk terus memburu Piala Malaysia dengan menerapkan taktik bertahan habis-habisan.

Pengurus pasukan Gergasi Merah, Zakaria Ab. Rahim berkata: "Kami sepatutnya mendapatkan gol seawal mungkin supaya menguatkan kelebihan mendahului 2-0 daripada separuh akhir pertama di Shah Alam tetapi segala percubaan ke arahnya masih tidak mahu menjadi.

"Syukurlah kami masih mampu ke perlawanan akhir walaupun dengan kalah 1-0 kerana bukan mudah bagi mana-mana pasukan pelawat untuk menjinakkan Johor FC seperti mana UPB-MyTeam yang dikalahkannya 5-1 dalam suku akhir kedua.

"Benteng Selangor juga goyah pada babak pertama dan hanya 45 minit berikutnya, barulah dapat diperbaiki itu pun masih kerap diasak sebelah kanan Johor FC menerusi sayapnya, Eddy Helmi Manan," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Zakaria, kebimbangannya terhadap keadaan padang Stadium JCorp yang tidak rata dan berisiko kecederaan terbukti benar dan anak buahnya hanya dapat menyesuaikan diri dengannya dalam babak kedua.

"Saya bukan sengaja mencari alasan tetapi ramai tonggak yang kurang berkesan dan menyengat di depan seperti Elie Aiboy, Frank Seator dan Indra Putra Mahayuddin malah aksi pemain gantian, R. Surendren tidak seperti separuh akhir pertama lalu," katanya.

Sementara itu, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini ditetapkan berharga RM20 bagi setiap tempat duduk manakala RM5 bagi kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun.

Sebanyak 83,000 tiket akan mula dijual pada Jumaat ini pukul 10 pagi hingga petang dan pada hari perlawanan akhir dari 10 pagi sehingga habis dijual.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ztlc5XVb

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor lega dalam resah Selangor lega dalam resah

ARKIB : 11/08/2008
 
Mohd. Amirul Hadi Zainal (kiri) melepaskan rembatan ke gawang PDRM pada suku akhir Piala Malaysia di Stadium Selayang, kelmarin.
HASH(0x26e7e0c)

KUALA LUMPUR - Pertukaran strategi Polis kepada menyerang habis-habisan cukup memeranjatkan Selangor biarpun Gergasi Merah tetap terselamat ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia dengan kelebihan gol di tempat lawan, kelmarin selepas terikat 3-3 secara agregat.

Cukup berbeza dengan pertemuan pertama suku akhir di Shah Alam, Rabu lalu, anak buah Dollah Salleh nyaris berputih mata jika tanpa gol terakhir sepakan penalti Frank Seator pada waktu kecederaan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata, strategi dan corak permainan terbuka tuan rumah mulai berubah sebaik sahaja Seator memimpin Selangor mendahului 1-0 pada minit ke-14, juga menerusi sepakan penalti selepas Safee Sali dijatuhkan.

Ia semakin ketara apabila penyerang import dari Kenya, Hillary Echesa dan Nor Farhan Mohamad menyamakan kedudukan dua kali buat Polis selepas ketua pasukan negara, Shukor Adan cuba menguatkan kelebihan Selangor dengan tandukan masuk pada minit ke-56.

Penyerang kelahiran Singapura, Noh Alam Shah mengganakan Merah Kuning seketika dengan tolakan masuk daripada tampanan kurang kemas penjaga gol Suffian Ab. Rahman, 10 minit sebelum Seator memastikan tiket separuh akhir milik pelawat dengan 3-3.

"Syukur kami masih layak walaupun dengan keputusan yang sesukar ini tetapi saya terkejut juga dengan perubahan mendadak strategi Polis jika dibandingkan corak bertahan ketika seri 0-0 di Shah Alam lalu," kata Zakaria kepada Utusan Malaysia, semalam.

"Dalam corak perlawanan seimbang dan saling menyerang kedua-dua pasukan ini, kubu Selangor bagaimanapun yang lebih kerap diuji sehingga ruang sebelah kiri kami pula mudah terdedah untuk melakukan kesilapan," katanya.

Asraruddin Putra Omar yang bermula di bek kiri, digantikan semula oleh pemain senior, P. Gunalan manakala Suffian yang bakal dipersalahkan jika Selangor tersingkir kerana kecuaian gol Polis, menjadi orang yang paling utama menarik nafas lega dengan kesudahan seri itu.

"Suffian meluahkan kecewanya kerana terlepas gol ketiga Polis itu tetapi saya harap kesilapan seperti ini tidak akan berulang dalam separuh akhir di gelanggang kami (Rabu ini) apabila kami tampil dengan barisan terbaik tanpa sebarang kecederaan dan penggantungan," katanya.

Katanya, Selangor akan memanfaatkan tempoh rehat tiga hari untuk memulihkan diri dan tumpuan menjelang separuh akhir pertama menentang Johor FC yang turut layak selepas membelasah UPB-MyTeam 5-1 di Stadium J-Corp, Pasir Gudang menjadikan agregat 6-4.

"Kami menghormati Johor FC dengan kemampuan mereka bangkit daripada ketinggalan suku akhir pertama, 3-1 apatah lagi menerusi permainan masa tambahan. Rekod pertemuan Selangor dalam Liga Super lalu juga menyebelahi Johor FC," katanya.

Malah hanya jaringan masa kecederaan Amri Yahyah menyelamatkan Merah Kuning untuk mengikat Johor FC 1-1 di Shah Alam pada pusingan pertama liga, November lalu tetapi mereka kecundang 3-2 dalam aksi kedua di Pasir Gudang, April lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ztDE4pw4

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 November 2017

Semangat Selangor kembali pulih


 

ARKIB : 04/07/2008
PEMAIN Sarawak, Rajesh Luchumanan (kiri) berjaya melepasi halangan lawannya dari Terengganu, Shahrul Ezrain dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sarawak, Kuching, malam tadi.
- Gambar AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR - Selangor akhirnya mengembalikan keyakinan peminat apabila menutup pusingan pertama bola sepak Piala Malaysia dengan menumpaskan Melaka 5-2 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Shah Alam, semalam.

Selepas tewas dua perlawanan terdahulu, pasukan Selangor menunjukkan kesungguhan untuk bangkit dengan membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Amirul Hadi.

Bagaimanapun, Rosaiful Nizam sempat mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-41, namun Frank Seator memberikan kelebihan 2-1 kepada Selangor pada minit terakhir babak pertama.

Selangor mempamerkan kegarangan sebaik separuh masa kedua bermula dengan menjaringkan gok ketiga Selangor pada minit ke-46 tetapi Rosaiful hanya memerlukan seminit kemudian untuk merapatkan kedudukan 3-2.

Penyerang kebangsaan, Safee Sali membuktikan kehebatannya dengan menyumbat dua lagi gol Selangor pada minit ke-77 dan 88 untuk tuan rumah menutup perlawanan dengan kemenangan 5-2.

Kebangkitan skuad Merah Kuning bagaimanapun gagal diikuti penyandang juara, Kedah, yang terus buntu mencari kemenangan pertama dalam tiga perlawanan apabila seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang dalam saingan Kumpulan B.

Malah, juara Liga Super dan Piala FA itu bernasib baik tidak kerana menamatkan perlawanan dengan kekalahan apabila sepakan penalti yang diperoleh Johor FC pada minit terakhir permainan gagal disempurnakan oleh Mohd. Saiful Sabtu.

Tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan menerusi Fahruzzahar Ali pada minit kelapan, namun Kedah berjaya menyamakan kedudukan menerusi Marlon Alex James, di minit ke-28.

Kegagalan Johor FC dan Kedah mengutip tiga mata penuh dimanfaatkan Polis untuk mengukuhkan kedudukan pendahulu Kumpulan B selepas membenam Sabah 4-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Kuala Lumpur pula mengekalkan kedudukan di tangga kedua kumpulan selepas seri 1-1 dengan dengan Pulau Pinang di Stadium Bandar Raya.

Jaringan Mohd. Hafzairi Azmi pada minit ke-69 meletakkan Kuala Lumpur di depan, namun Alistair Lawson menyelamatkan tuan rumah daripada mengalami kekalahan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-80.

Dalam perlawanan Kumpulan C, Pahang melonjak ke tangga kedua selepas menundukkan Tentera 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Tonggak import, Keita Boubakar memberi permulaan baik kepada tuan rumah apabila membuka jaringan seawal minit kesembilan, sebelum Nor Fazly Alias melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-18.

Tentera cuba membalas dengan merapatkan kedudukan menerusi Mohd. Nazri Akui pada minit ke-84, namun kebangkitan mereka sudah terlalu lewat.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, Sarawak menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Sarawak.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdR0hfQg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Prestasi Selangor makin teruk


 

ARKIB : 02/07/2008
Prestasi Selangor makin teruk
Oleh ABD. HAFIZ AHMAD
Pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak (kiri) cuba dihalang pemain Selangor. Md. Asraruddin dalam persaingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Kerapuhan benteng sejak perlawanan Liga Super yang lalu terus menjadi badi kepada Gergasi Merah dan dilihat agak merosot dalam kancah pergelutan Piala Malaysia selepas dibelasah Kelantan 5-2 dalam perlawanan Kumpulan A bola sepak di Kota Bharu, kelmarin.

Kepincangan barisan belakang Selangor itu juga dilihat semakin lemah selepas menghadiahkan gol kedua Kijang angkara jaringan sendiri benteng pinjaman KL PLUS, Nazrulerwan Makmor pada minit ke-37.

Dengan cuma 13 pemain membarisi kesebelasan utama dan bangku simpanan, tidak banyak yang mampu dielakkan anak buah Dollah Salleh ini kecuali menanggung kekalahan kedua selepas dibenam Negeri Sembilan 3-0 di Shah Alam, Jumaat lalu.

Ramai tonggak Selangor tercedera iaitu Nasriq Baharom, Akmal Rizal Rakhli, P. Gunalan, Razman Roslan, Fadzli Shaari dan Ghani Rahman sementara Amri Yahyah dan R. Surendren masing-masing menjalani penggantungan kerana dibuang padang menentang Negeri Sembilan.

Mengakui kekurangan itu turut menjejaskan sedikit prestasi pasukan, pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim bagaimanapun berkata, ada pemain yang telah mendapat peluang diturunkan pula tidak memberikan kesungguhan seperti yang diharapkan.

"Saya akui kami kekurangan pemain dan mengambil keputusan nekad dengan membawa mereka yang kurang cergas tetapi ia bukanlah satu-satunya alasan kami kalah dan tidak dinafikan Selangor tidak cukup bagus menentang Kelantan.

"Turki yang kurang pemain pun akibat penggantungan dan kecederaan masih mampu menyaingi Jerman habis-habisan sebelum kalah 3-2 dalam separuh akhir Euro 2008.

Semangat melawan seperti itu yang sepatutnya dicontohi dan dimiliki pemain Selangor.

"Sebenarnya jika kesungguhan mereka dan kerjasama sepasukan diberikan, mungkin keputusannya berbeza dan tidak akan seteruk (di Stadium Sultan Muhammad IV) ini," katanya yang berharap pasukan kembali bangkit dan pulih apabila menanti Melaka di Shah Alam, esok.

Dua tonggak import, Frank Seator dan Evan Chisulo menunjukkan peningkatan dengan sumbangan dua gol manakala penyerang gantian, S. Sritharan menurut Zakaria, mulai serasi dengan suasana perlawanan ketika diturunkan lebih setengah jam terakhir.

Merah Kuning, juara terbanyak 32 kali Piala Malaysia kini menduduki tempat keempat dalam Kumpulan A di belakang Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu sambil mengumpul empat mata selepas menewaskan Sarawak 3-1 dan seri 1-1 di Kuala Terengganu.
asumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zdLvUFZg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Pemain Selangor terkilan

ARKIB : 02/07/2008
KUALA LUMPUR – Kemerosotan mendadak skuad bola sepak Selangor sejak kebelakangan ini didakwa turut disebabkan kejatuhan moral pemain akibat daripada ‘salam pengenalan’ kurang enak selepas diambil alih pengurusan baru skuad itu.

Difahamkan kebanyakan para pemain utama terguris dengan kata-kata pihak pengurusan baru Selangor yang seakan-akan memberi amaran supaya mereka memberikan aksi terbaik jika mahu kekal dalam skuad itu pada musim depan.

Walaupun kata-kata itu boleh ditafsirkan sebagai satu cabaran positif, tetapi ada di kalangan pemain yang menganggap ia tidak wajar diucapkan pada pertemuan pertama di antara pemain dan pihak pengurusan baru yang dianggap belum lagi mengenal hati budi serta kemampuan semua pemain dan pengurusan sedia ada.

‘‘Moral pemain ‘tersentak’ dengan ucapan pengenalan pengurusan baru Selangor itu dan dilihat terbawa-bawa hingga kini dan menyebabkan kebanyakan perlawanan utama menemui kegagalan ketara.

‘‘Saya lihat para pemain tetap beraksi bersungguh-sungguh di setiap perlawanan tetapi moral mereka sedikit terjejas dengan kata-kata pengurusan baru berkenaan,’’ kata sumber skuad Gergasi Merah itu semalam.

Selain moral yang terjejas, difahamkan pemberian ‘bonus’ setiap kali Selangor menang, tidak lagi dinikmati oleh pemain dan ini dikatakan turut memberi kesan terhadap kesungguhan pemain di padang.

Ini berbeza dengan pengurusan lama yang dikatakan akan memberikan bonus sejurus menang satu-satu perlawanan.

‘‘Pemberian bonus (selepas menang) itu bukanlah satu syarat tetapi ia telah menjadi amalan oleh pengurusan lama.

‘‘Walaupun jumlah bonus yang diberikan adalah kecil, ia tetap memberi semangat kepada pemain kerana bola sepak merupakan periuk nasi mereka.

“Dan mereka bukannya mata duitan yang hanya mahukan duit untuk menang, tetapi ia adalah lebih kepada menghargai sumbangan para pemain yang sentiasa mahukan Selangor berada di tangga teratas persaingan,’’ katanya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdKrDcop

© Utusan Melayu (M) Bhd

Semangat Selangor pulih


 

ARKIB : 26/06/2008
Semangat Selangor pulih
JADUAL pertandingan yang padat tidak menghalang pemain Selangor terutama Frank Seator (kanan) bangkit untuk membenam Sarawak 3-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Semangat Merah Kuning yang jatuh merudum kerana dikecewakan Kedah dalam perlawanan akhir Piala FA, sudah kembali pulih sehingga berjaya memacu Selangor mengatasi Sarawak 3-1 dalam persaingan bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.

Tiga gol sumbangan Frank Seator, Safee Sali dan Akmal Rizal Rakhli dalam pertemuan Kumpulan A di Stadium Shah Alam itu membuktikannya sekalipun luka kegagalan itu belum begitu sembuh sejak kecundang 3-2, Sabtu lalu.

Ia diakui pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim yang turut melihat kemenangan itu sebagai petanda kebangkitan Gergasi Merah untuk memburu Piala Malaysia - trofi ketiga Liga Malaysia selepas kegagalan meraih Piala FA dan Liga Super, Mei lalu.

"Pemain juga agak penat dengan cuma mendapat rehat dua hari selepas Piala FA apatah lagi masih cuba bangkit daripada kekalahan dengan Kedah itu dan saya akui, semangat pasukan agak menurun ketika mereka memasuki perlawanan dengan Sarawak.

"Namun mujurlah selepas aksi beberapa minit, semangat pasukan kembali beransur pulih malah semakin baik apabila tiga gol diperoleh sekali gus memastikan tiga mata," katanya yang melalui perlawanan Piala Malaysia Selangor yang kedua selepas dilantik 9 Jun lalu.

Bagaimanapun menurut Zakaria, jadual pertandingan yang padat antara perlawanan akhir Piala FA dengan Piala Malaysia itu meragut tahap persembahan dan kecergasan tonggak Selangor seperti Elie Aiboy, Amirulhadi Zainal, Razman Roslan dan Ghani Rahman.

"Semuanya mengalami sedikit kecederaan tetapi Ghani (bek tengah) mungkin perlu berehat hampir dua bulan kerana akan menjalani pembedahan paru-paru," katanya yang tidak bimbang kerana Evan Chisulo dan Nazrulerwan Makmor masih mengemudi benteng tengah Selangor.

Selangor kelmarin turut menurunkan semula penyerang kebangsaan yang agak dilupakan, Akmal Rizal Rakhli yang menggantikan Seator di samping pemain simpanan, S. Sritharan di tempat Safee, penjaring gol kedua dengan rembatan voli pada minit ke-68.

"Akmal terus membuktikan sentuhannya tetap berbisa walaupun sebagai penyerang gantian dan kami cuba berikan peluang kepada Sritharan merasai suasana perlawanan Piala Malaysia 10 minit terakhir setelah dia agak jarang diturunkan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zchfCMqM

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 November 2017

Alafi tekad julang Selangor

ARKIB : 31/05/2008
KUALA TERENGGANU - Dua gol selepas dua perlawanan untuk Selangor setakat ini meletakkan Md. Alafi Mahmud sebagai penyerang yang perlu diawasi dalam acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) XII kali ini.

Untuk itu, Md. Alafi, 23, pemain pasukan Liga Perdana PKNS mahu memastikan sentuhan jaringannya berterusan untuk perlawanan seterusnya bagi membawa Selangor mara sejauh yang mungkin pada temasya sukan kali ini.

Menurut pemain kelahiran Klang, Selangor ini, dia mahu menjulang Selangor yang menyasarkan aksi final kali ini.

''Saya gembira dengan dua gol yang telah saya sumbangkan untuk Selangor setakat ini dan mahu konsisten menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya.

''Pengalaman beraksi dalam liga tempatan akan saya gunakan bagi membantu Selangor mara sejauh yang mungkin.

''Memandangkan ini adalah Sukma pertama dan terakhir buat saya, saya juga mahu menyasarkan kejayaan bermakna, jika boleh muncul juara," katanya selepas perlawanan menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Md. Alafi menjaringkan gol ketiga Selangor ketika membenam Kelantan 3-0 pada perlawanan pertama dan gol kedua ke atas Sabah semalam.

Menurutnya, semangat juangnya semakin tinggi selepas pasukan Liga Super Perlis mendapatkan khidmatnya secara pinjaman bagi menghadapi kempen Piala Malaysia.

''Kesudian sebuah pasukan ternama seperti Perlis mendapatkan khidmat saya untuk saingan Piala Malaysia merupakan satu penghormatan buat saya.

''Semua ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk membantu Selangor di Sukma ini," katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zWtjbjhg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 November 2017

Piala FA - Selangor dimalukan kelab Liga Perdana



ARKIB : 09/04/2008
 
Pemain Selangor Akmal Rizal Rakhli (kanan) diasak oleh pemain Kuala Muda Naza dalam perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Star semalam.– Gambar ISMAIL KAMADIN

KUALA LUMPUR – Juara empat kali, Selangor dimalukan kelab Liga Perdana, Kuala Muda NAZA apabila tewas 0-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, semalam.

Pasukan Merah Kuning itu terpaksa menerima hakikat tunduk kepada jaringan tunggal perlawanan menerusi Farderin Kadir pada minit ke-48.

Ternyata status Selangor selaku juara 1991, 1997, 2001 dan 2005 di samping pasukan di tangga kedua Liga Super ketika ini langsung tidak menggerunkan Kuala Muda NAZA.

Sebaliknya beraksi di gelanggang sendiri menyuntik semangat Kuala Muda NAZA untuk sekurang-kurangnya membawa bekalan agak baik menjelang suku akhir kedua di Stadium Shah Alam pada 22 April ini.

Juara bertahan, Kedah pula seperti dijangka tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Melaka 4-1 pada perlawanan di Stadium Hang Tuah.

Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan Sabri Abu (m-15), Marlon Alex James (m-48, pen-77) dan Mohd. Fadly Baharom.

Pahang juga memperoleh bekalan selesa apabila menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Sabah bagaimanapun lebih dulu membuka jaringan menerusi Bobby Gonzales (m-23) sebelum Norhafiz Zamani Misbah (m-33), Tarek El Janaby (pen-65) dan Hairuddin Omar (m-79).

Satu lagi perlawanan menyaksikan Terengganu turut mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Felda United pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pasukan tuan rumah mudah mendahului 3-0 menerusi jaringan sendiri Farouk Hashim (m-11) diikuti gol Che Hishamuddin Hassan (m-33) dan Fabior Flor (m-49).

Hanya selepas Terengganu memperlahankan rentak permainan, Felda United berpeluang memperoleh gol saguhati menerusi Badrol Afzan Razali (m-66)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4yrdR9fEO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Gergasi Merah Kuning angkat tangan



ARKIB : 07/04/2008

SHAH ALAM - Jurulatih Selangor, Dollah Salleh sudah mengaku kalah untuk terus menyaingi Kedah dalam perebutan kejuaraan bola sepak Liga Super sekali pun Gergasi Merah masih memiliki empat perlawanan lagi sehingga 3 Mei ini bagi musim 2007-2008.

Dengan ketinggalan lapan mata selepas tumpas 1-0 kepada Sang Kenari yang juga juara bertahan liga di Stadium Shah Alam, kelmarin, Selangor kini katanya, wajar mengalihkan sasaran merampas semula Piala FA yang kali terakhir dimenanginya pada 2005.

Lawan lain yang menanti Selangor malah mampu menggugat tangga kedua Liga Super miliknya kini ialah Pulau Pinang di Stadium Bandaraya (12 April), Sarawak di Shah Alam (19 April), Johor FC di Pasir Gudang (26 April) dan Negeri Sembilan di Shah Alam (3 Mei).

Ia seperti misi mustahil untuk Merah Kuning mengaut mata penuh daripada kesemua perlawanan itu sambil menagih bantuan Terengganu, Polis, Pahang dan Perlis mengekang kemaraan Hijau Kuning pada hari yang sama.

"Walaupun impian mendapatkan juara liga sudah musnah, perjuangan kami belum habis dalam Piala FA (suku akhir pertama menentang Kuala Muda, Selasa ini)," katanya selepas tolakan Samransak Kram menghampakan tuan rumah hasil umpanan Marlon Alex James.

Dollah mengakui anak buahnya sudah menampilkan persembahan terbaik dan berjuang habis-habisan khasnya dalam separuh masa kedua tetapi nasib tidak menyebelahi mereka sehingga terus kempunan gol.

"Penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias juga memainkan peranannya dengan baik sekali.

"Saya bangga dan berpuas hati dengan corak permainan Selangor biarpun kami terlepas banyak peluang. Sudah macam-macam usaha yang kami lakukan, cuma bola yang tidak masuk ke jaring. Gol Kedah itu pula berlaku akibat sedikit kelekaan kami," katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yraEgigy
© Utusan Melayu (M) Bhd