Ahad, 26 November 2017

Alafi tekad julang Selangor

ARKIB : 31/05/2008
KUALA TERENGGANU - Dua gol selepas dua perlawanan untuk Selangor setakat ini meletakkan Md. Alafi Mahmud sebagai penyerang yang perlu diawasi dalam acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) XII kali ini.

Untuk itu, Md. Alafi, 23, pemain pasukan Liga Perdana PKNS mahu memastikan sentuhan jaringannya berterusan untuk perlawanan seterusnya bagi membawa Selangor mara sejauh yang mungkin pada temasya sukan kali ini.

Menurut pemain kelahiran Klang, Selangor ini, dia mahu menjulang Selangor yang menyasarkan aksi final kali ini.

''Saya gembira dengan dua gol yang telah saya sumbangkan untuk Selangor setakat ini dan mahu konsisten menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya.

''Pengalaman beraksi dalam liga tempatan akan saya gunakan bagi membantu Selangor mara sejauh yang mungkin.

''Memandangkan ini adalah Sukma pertama dan terakhir buat saya, saya juga mahu menyasarkan kejayaan bermakna, jika boleh muncul juara," katanya selepas perlawanan menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, semalam.

Md. Alafi menjaringkan gol ketiga Selangor ketika membenam Kelantan 3-0 pada perlawanan pertama dan gol kedua ke atas Sabah semalam.

Menurutnya, semangat juangnya semakin tinggi selepas pasukan Liga Super Perlis mendapatkan khidmatnya secara pinjaman bagi menghadapi kempen Piala Malaysia.

''Kesudian sebuah pasukan ternama seperti Perlis mendapatkan khidmat saya untuk saingan Piala Malaysia merupakan satu penghormatan buat saya.

''Semua ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk membantu Selangor di Sukma ini," katanya
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4zWtjbjhg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan