Rabu, 29 November 2017

Kecuaian nyaris hukum Selangor

ARKIB : 18/08/2008
KUALA LUMPUR - Selangor ibarat 'kalah tempur tetapi menang perang' ke atas Johor FC di Pasir Gudang dalam separuh akhir kedua kelmarin untuk mara ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini menerusi agregat 2-1.

Kalah kerana mereka terlalu sukar menandingi tuan rumah sehingga gagal membolosi lawan namun tetap mencapai misi utama untuk terus memburu Piala Malaysia dengan menerapkan taktik bertahan habis-habisan.

Pengurus pasukan Gergasi Merah, Zakaria Ab. Rahim berkata: "Kami sepatutnya mendapatkan gol seawal mungkin supaya menguatkan kelebihan mendahului 2-0 daripada separuh akhir pertama di Shah Alam tetapi segala percubaan ke arahnya masih tidak mahu menjadi.

"Syukurlah kami masih mampu ke perlawanan akhir walaupun dengan kalah 1-0 kerana bukan mudah bagi mana-mana pasukan pelawat untuk menjinakkan Johor FC seperti mana UPB-MyTeam yang dikalahkannya 5-1 dalam suku akhir kedua.

"Benteng Selangor juga goyah pada babak pertama dan hanya 45 minit berikutnya, barulah dapat diperbaiki itu pun masih kerap diasak sebelah kanan Johor FC menerusi sayapnya, Eddy Helmi Manan," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut Zakaria, kebimbangannya terhadap keadaan padang Stadium JCorp yang tidak rata dan berisiko kecederaan terbukti benar dan anak buahnya hanya dapat menyesuaikan diri dengannya dalam babak kedua.

"Saya bukan sengaja mencari alasan tetapi ramai tonggak yang kurang berkesan dan menyengat di depan seperti Elie Aiboy, Frank Seator dan Indra Putra Mahayuddin malah aksi pemain gantian, R. Surendren tidak seperti separuh akhir pertama lalu," katanya.

Sementara itu, tiket perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini ditetapkan berharga RM20 bagi setiap tempat duduk manakala RM5 bagi kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun.

Sebanyak 83,000 tiket akan mula dijual pada Jumaat ini pukul 10 pagi hingga petang dan pada hari perlawanan akhir dari 10 pagi sehingga habis dijual.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ztlc5XVb

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan