Isnin, 27 November 2017

Prestasi Selangor makin teruk


 

ARKIB : 02/07/2008
Prestasi Selangor makin teruk
Oleh ABD. HAFIZ AHMAD
Pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak (kiri) cuba dihalang pemain Selangor. Md. Asraruddin dalam persaingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mohammad IV, kelmarin.

KUALA LUMPUR - Kerapuhan benteng sejak perlawanan Liga Super yang lalu terus menjadi badi kepada Gergasi Merah dan dilihat agak merosot dalam kancah pergelutan Piala Malaysia selepas dibelasah Kelantan 5-2 dalam perlawanan Kumpulan A bola sepak di Kota Bharu, kelmarin.

Kepincangan barisan belakang Selangor itu juga dilihat semakin lemah selepas menghadiahkan gol kedua Kijang angkara jaringan sendiri benteng pinjaman KL PLUS, Nazrulerwan Makmor pada minit ke-37.

Dengan cuma 13 pemain membarisi kesebelasan utama dan bangku simpanan, tidak banyak yang mampu dielakkan anak buah Dollah Salleh ini kecuali menanggung kekalahan kedua selepas dibenam Negeri Sembilan 3-0 di Shah Alam, Jumaat lalu.

Ramai tonggak Selangor tercedera iaitu Nasriq Baharom, Akmal Rizal Rakhli, P. Gunalan, Razman Roslan, Fadzli Shaari dan Ghani Rahman sementara Amri Yahyah dan R. Surendren masing-masing menjalani penggantungan kerana dibuang padang menentang Negeri Sembilan.

Mengakui kekurangan itu turut menjejaskan sedikit prestasi pasukan, pengurus Selangor, Zakaria Ab. Rahim bagaimanapun berkata, ada pemain yang telah mendapat peluang diturunkan pula tidak memberikan kesungguhan seperti yang diharapkan.

"Saya akui kami kekurangan pemain dan mengambil keputusan nekad dengan membawa mereka yang kurang cergas tetapi ia bukanlah satu-satunya alasan kami kalah dan tidak dinafikan Selangor tidak cukup bagus menentang Kelantan.

"Turki yang kurang pemain pun akibat penggantungan dan kecederaan masih mampu menyaingi Jerman habis-habisan sebelum kalah 3-2 dalam separuh akhir Euro 2008.

Semangat melawan seperti itu yang sepatutnya dicontohi dan dimiliki pemain Selangor.

"Sebenarnya jika kesungguhan mereka dan kerjasama sepasukan diberikan, mungkin keputusannya berbeza dan tidak akan seteruk (di Stadium Sultan Muhammad IV) ini," katanya yang berharap pasukan kembali bangkit dan pulih apabila menanti Melaka di Shah Alam, esok.

Dua tonggak import, Frank Seator dan Evan Chisulo menunjukkan peningkatan dengan sumbangan dua gol manakala penyerang gantian, S. Sritharan menurut Zakaria, mulai serasi dengan suasana perlawanan ketika diturunkan lebih setengah jam terakhir.

Merah Kuning, juara terbanyak 32 kali Piala Malaysia kini menduduki tempat keempat dalam Kumpulan A di belakang Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu sambil mengumpul empat mata selepas menewaskan Sarawak 3-1 dan seri 1-1 di Kuala Terengganu.
asumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zdLvUFZg

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan