Jumaat, 3 November 2017

Perak benam Selangor 4-2



 
ARKIB : 03/02/2008
IRFAN Bakti (kanan) yang kini membimbing skuad bola sepak Perlis memberi arahan kepada anak buahnya ketika menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Super di Stadium Utama, Kangar, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Kemasukan semula bintang Indonesia, Elie Aiboy gagal membantu Selangor yang diaibkan dengan kekalahan 2-4 kepada Perak pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Ini merupakan kekalahan ketiga buat anak buah Dollah Salleh itu musim ini, sekali gus menyaksikan mereka jatuh ke tangga keempat liga.

Perak, sebaliknya melonjak dua anak tangga ke kedudukan kedua selepas mengumpul 24 mata - empat mata di belakang pendahulu, Kedah yang tidak turun beraksi semalam.

Skuad Merah Kuning yang mendapat suntikan semangat dengan kehadiran pemain sayap Indonesia, Elie memulakan perlawanan dengan meyakinkan apabila membuka jaringan menerusi pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin di minit ke-15 menerusi sepakan percuma.

Bagaimanapun, keyakinan mereka mula goyah sebaik Perak berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan tonggak import, Mario Estaban hanya tiga minit kemudian, sebelum Shahrul Nizam Mustapha meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit 35 menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Selangor yang mendapat sokongan 10,000 penyokong kembali menghidupkan harapan menerusi gol Amri Yahyah pada minit ke-57, namun Carlos Ceceras sekali lagi meletakkan Perak di depan pada minit ke-63 dan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus melengkapkan kemenangan 4-2 pada minit 78.

Di Stadium Sultan Ismail, Negeri Sembilan Naza terlepas peluang untuk memintas Selangor apabila dua jaringan pemain Brazil, Gleisson Freire membantu Terengganu mengalahkan pasukan pelawat 3-1.

Zairo Anwar Zailani membuka jaringan tuan rumah seawal minit ke-14, sebelum Freire menambah dua gol pada minit 42 dan 57. Gol tunggal Negeri Sembilan diperoleh pada masa kecederaan menerusi Idris Karim.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis mencatat kemenangan sulung di bawah bimbingan Irfan Bakti selepas menundukkan Pulau Pinang 2-0.

Perlis yang dikejutkan dengan pemecatan jurulatihnya, Abdul Rahman Ibrahim tiga hari lalu memperoleh kedua-dua gol menerusi penyerang import, Phillimon Chipeta pada minit ke-13 dan 50.

Dalam satu lagi perlawanan, Cristiano Lopez menyelamatkan Pahang daripada mengalami kekalahan di gelanggang sendiri apabila berjaya menyempurnakan penalti untuk tuan rumah seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Darulmakmur.

Terdahulu, Sarawak mengejutkan penyokong Pahang dengan membuka jaringan menerusi M. Saravanan pada minit ke-12.

Dalam pada itu, Polis gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila kalah 1-2 kepada Johor FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Sementara itu, pertemuan antara Brunei DPMM dan UPB-MyTeam dibatalkan hanya selepas 35 minit berlangsung apabila lampu limpah di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah terpadam.

Brunei sedang mendahului 1-0 menerusi Md Shahrazen Said pada minit keenam, sebelum kegembiraan itu tersentap ekoran lampu yang tiba-tiba padam dan memaksa pengadil, Mohd. Yusuf Mohd. Karim membatalkan perlawanan.

Perlawanan akan diadakan semula di tempat yang sama pada jam 8 pagi ini selepas usaha memulihkan sistem lampu limpah di stadium itu gagal setelah menunggu selama satu jam 20 minit.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4xPkim81Y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan