Khamis, 30 November 2017

Selangor perlu sekat tengah Kedah

ARKIB : 20/08/2008
 
KUALA LUMPUR - Bek tengah Selangor, Nazrulerwan Makmor percaya sebarang umpanan Kedah yang cepat disekat di tengah padang, pasti menghampakan penyerang importnya, Marlon Alex James membolosi gawang Gergasi Merah dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Sabtu ini.

Dia yang lebih dikenali sebagai Badut juga menganggap pemain St. Vincent & Grenadines itu tidak mungkin dapat bertindak sendirian untuk memburu gol selagi tanpa sokongan barisan tengah Si Kenari sekali gus menuntut bahagian tengah Selangor saling menyokong rakan di bahagian belakangnya.

"Pengalaman saya menunjukkan jika kami dapat sekat sebarang umpanan kepada Marlon, dia akan sukar menjaringkan gol walaupun saya tahu pemain import Kedah itu seorang penyerang yang bagus," katanya yang mungkin bermain perlawanan akhir keduanya selepas membantu Selangor menjulang Piala Malaysia 2005.

Nazrulerwan yang dipinjamkan daripada KL PLUS bagi Piala Malaysia selepas kelab ibu kota itu muncul naib juara Liga Perdana musim ini, dijangka kembali menjadi pilihan jurulatih Dollah Salleh untuk bergandingan dengan Evan Chisulo dari Zambia walaupun mungkin perlu bersaing dengan Nasriq Baharom dan Razman Roslan.

"Saya mengidam benar bermain perlawanan akhir kali ini kerana bertekad untuk menidakkan tanggapan biasa orang ramai bahawa benteng Selangor selalu lemah dan mudah bolos apatah lagi setelah baru pulih daripada jangkitan mata," katanya yang turut pernah bermain semusim dengan PKNS sebelumnya.

Gara-gara jangkitan mata itu, dia terpaksa direhatkan sejak suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Polis di Selayang, 9 Ogos lalu yang menyaksikan Selangor nyaris kempunan ke separuh akhir dengan tiga gol lawan sebelum terselamat dan layak menerusi peraturan jaringan di tempat lawan.

Dua perlawanan separuh akhir masing-masing di Shah Alam dan Pasir Gudang turut menyaksikan betapa goyahnya benteng juara Piala Malaysia 32 kali itu walaupun sekali lagi mereka hanya layak dengan kelebihan agregat 2-1 ke atas Johor FC yang cuba menurut jejak MPPJ selaku kelab kedua mara ke perlawanan akhir pada 2003.

Menurut Nazrulerwan, Piala Malaysia musim ini juga bertambah penting baginya dan Selangor, malah berikrar tidak akan memberikan sebarang laluan mudah kepada Kedah yang telah membolot gelaran Liga Super dan Piala FA (juga dengan mengalahkan Merah Kuning 3-2 di Stadium Shah Alam, Mei lalu).

"Tidak mungkin kami mahu lepaskan sahaja peluang dalam Piala Malaysia pula setelah dua kejuaraan terlepas tetapi saya harap kami tidak perlu ke masa tambahan atau sepakan penalti untuk menjulangnya," katanya mengimbas ketika Selangor membenam Perlis 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas 90 minit, tiga tahun lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zu4qOfMi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan