ARKIB : 26/06/2008
Semangat Selangor pulih
JADUAL pertandingan yang padat
tidak menghalang pemain Selangor terutama Frank Seator (kanan) bangkit untuk
membenam Sarawak 3-1 di Stadium Shah Alam, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Semangat Merah
Kuning yang jatuh merudum kerana dikecewakan Kedah dalam perlawanan akhir Piala
FA, sudah kembali pulih sehingga berjaya memacu Selangor mengatasi Sarawak 3-1
dalam persaingan bola sepak Piala Malaysia, kelmarin.
Tiga gol sumbangan Frank
Seator, Safee Sali dan Akmal Rizal Rakhli dalam pertemuan Kumpulan A di Stadium
Shah Alam itu membuktikannya sekalipun luka kegagalan itu belum begitu sembuh
sejak kecundang 3-2, Sabtu lalu.
Ia diakui pengurus pasukan
Selangor, Zakaria Ab. Rahim yang turut melihat kemenangan itu sebagai petanda
kebangkitan Gergasi Merah untuk memburu Piala Malaysia - trofi ketiga Liga
Malaysia selepas kegagalan meraih Piala FA dan Liga Super, Mei lalu.
"Pemain juga agak penat
dengan cuma mendapat rehat dua hari selepas Piala FA apatah lagi masih cuba
bangkit daripada kekalahan dengan Kedah itu dan saya akui, semangat pasukan
agak menurun ketika mereka memasuki perlawanan dengan Sarawak.
"Namun mujurlah selepas
aksi beberapa minit, semangat pasukan kembali beransur pulih malah semakin baik
apabila tiga gol diperoleh sekali gus memastikan tiga mata," katanya yang
melalui perlawanan Piala Malaysia Selangor yang kedua selepas dilantik 9 Jun
lalu.
Bagaimanapun menurut Zakaria,
jadual pertandingan yang padat antara perlawanan akhir Piala FA dengan Piala
Malaysia itu meragut tahap persembahan dan kecergasan tonggak Selangor seperti
Elie Aiboy, Amirulhadi Zainal, Razman Roslan dan Ghani Rahman.
"Semuanya mengalami
sedikit kecederaan tetapi Ghani (bek tengah) mungkin perlu berehat hampir dua
bulan kerana akan menjalani pembedahan paru-paru," katanya yang tidak
bimbang kerana Evan Chisulo dan Nazrulerwan Makmor masih mengemudi benteng
tengah Selangor.
Selangor kelmarin turut
menurunkan semula penyerang kebangsaan yang agak dilupakan, Akmal Rizal Rakhli
yang menggantikan Seator di samping pemain simpanan, S. Sritharan di tempat
Safee, penjaring gol kedua dengan rembatan voli pada minit ke-68.
"Akmal terus membuktikan
sentuhannya tetap berbisa walaupun sebagai penyerang gantian dan kami cuba
berikan peluang kepada Sritharan merasai suasana perlawanan Piala Malaysia 10
minit terakhir setelah dia agak jarang diturunkan," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zchfCMqM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan