Sabtu, 18 November 2017

Jadual ketat buka peluang Selangor rampas pendahulu



ARKIB : 18/03/2008

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Kehadiran Piala AFC, hari ini dan Piala FA yang menghimpit jadual perlawanan Kedah dan Perak bakal memudahkan tugas Selangor untuk merampas peranan peneraju persaingan bola sepak Liga Super musim 2007-2008 selepas aksinya yang ke-18, kelmarin.

Gergasi Merah bimbingan Dollah Salleh yang berada di tengah Sang Kenari dan Seladang, berpeluang cerah sekiranya musuh mereka gagal mengekalkan tahap kecergasan pemain dan momentum mereka kerana turut mengharungi deretan pusingan kedua Piala FA, Jumaat ini dan perlawanan liga, Ahad ini serta 30 Mac.

Selaku juara Liga Super dan naib juara Piala FA musim lalu, Kedah dan Perak masing-masing membuka tirai kempen Piala AFC (persaingan bahagian kedua kelab terbaik Asia) dengan menundukkan dua kelab Maldives, Victory SC 1-0 dan New Radiant 3-1.

Kedah, juara bertahan Piala FA turut akan menentang Sarawak dalam perlawanan pertama pusingan kedua di Alor Star.

Paling menarik, Kedah pada mulanya akan bertembung dengan Perak dalam Liga Super, Ahad ini selepas masing-masing perlu melalui perlawanan kedua peringkat Kumpulan D dan E menentang Home United di Singapura dan Angkatan Tentera republik itu, hari ini.

Dengan kekurangan dua mata, Selangor kini kembali merapati Kedah yang mengumpul 41 mata malah anak didik Dollah mempunyai kesempatan terbaik untuk meredakan hambatan Perak sekiranya skuad bimbingan Steve Darby itu terjejas dengan keputusan Piala AFC, Liga Super atau Piala FA di Ipoh.

Sekiranya Selangor mampu mengulangi prestasi cemerlang membenam Perak 4-1 di gelanggang lawan pada 12 Februari lalu dalam pusingan kedua Piala FA, ada kemungkinan tumpuan dan semangat anak buah musuh tradisinya terjejas sekali gus membolehkan kedudukan liga mereka dirapati oleh Terengganu dari tangga keempat.

Namun, ada baiknya Selangor turut kembali memusatkan aksi dan prestasi sendiri apatah lagi perlu mengharungi dua perlawanan berturut-turut dalam tempoh empat hari, Piala FA dan Perlis (Liga Super, 30 Mac).

Hanya kemenangan di Stadium Utama Negeri, Kangar yang mampu menjamin misi utama Merah Kuning dalam memintas Kedah dan menjauhi Perak yang masing-masing akan menentang DPMM Brunei dan Sarawak, pada hari yang sama.

Tambahan pula, prestasi Selangor tampak kurang konsisten biarpun beraksi di Stadium Shah Alam yang terbukti kerana ketinggalan dua gol dan melepaskan satu gol minit terakhir ketika menumpaskan Pahang 4-3 dalam Liga Super, kelmarin selain dikekang Terengganu tanpa jaringan pada 1 Mac lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4ypYF8g7K
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan