ARKIB : 21/08/2008
Akmal Rizal
KUALA LUMPUR Malang, seribu
kali malang buat penyerang Selangor, Akmal Rizal Ahmad Rakhli apabila terpaksa
melupakan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia menentang Kedah, Sabtu ini
gara-gara kecederaan lama lutut kanannya yang berulang.
Sudahlah kempunan menjulang
Piala FA, Mei lalu dan hanya mampu memanaskan bangku simpanan, aksi di Stadium
Nasional, Bukit Jalil ini pula sekadar dapat ditontonnya sebagai pemerhati dari
luar padang apatah lagi dengan menentang negeri kelahirannya.
Cukup hampa kerana sepatutnya
inilah perlawanan akhir Piala Malaysia pertama saya setelah tidak berpeluang
turun ketika Selangor kalah Piala FA. Saya tercedera sejak separuh akhir
pertama di Shah Alam lalu, katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Akmal Rizal yang kerap
turun selaku penyerang gantian minit akhir dengan berjersi nombor 14 Gergasi
Merah, pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan pada bahagian yang pernah
dibedah itu memerlukan pemulihan selama dua minggu lagi.
Walaupun tidak dapat bermain,
saya tetap mendoakan kejayaan buat pasukan Selangor kerana sebagai pemain
simpanan pun, saya tetap akan beroleh pingat kejuaraan jika kami menewaskan
Kedah, katanya yang masih menjalani senaman ringan di gimnasium.
Mengenai pertembungan bagi
edisi pertandingan ke-82 ini, katanya, peluangnya 50-50 kepada kedua-dua
pasukan. Tiada kelebihan gelanggang sendiri walaupun Selangor lebih dekat
dengan Bukit Jalil malah ketika Piala FA di Shah Alam, Kedah memiliki sejumlah
besar penyokongnya.
Saya ramalkan 90 minit perlawanan
ini sudah cukup menentukan siapa juara, katanya yang menyedari ketiadaannya di
padang pasti dialu-alukan penyokong Hijau Kuning yang lantang mengejeknya
ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam dalam perlawanan Liga Super
musim ini.
Itu lumrah peminat bola sepak.
Mereka mungkin tidak faham bukan saya yang tinggalkan atau membelakangkan Kedah
tetapi kontrak saya yang ditamatkan dan sebagai pemain profesional, saya perlu
mencari haluan baru karier saya, kata anak jati Jitra, Kedah ini yang
menyertai Selangor mulai musim 2006-2007.
Sepanjang Liga Malaysia musim
ini, Akmal Rizal yang kali terakhir mewakili skuad negara menentang Indonesia
di Surabaya, Jun lalu, telah menjaringkan 10 gol iaitu lima bagi Liga Super,
tiga dalam Piala FA dan hanya dua ketika Piala Malaysia yang bermula pada 11
Jun lalu.
Namun skuad Merah Kuning masih
tidak ketandusan penyerang selain Frank Seator dan Safee Sali dalam kesebelasan
utama kerana S. Sritharan, Fadzli Saari, Indra Putra Mahayuddin dan R.
Surendren mahupun Amri Yahyah mampu merobek gawang Kedah kawalan Helmi Eliza
Elias.
Kongsi Konten di :
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zuDLXTkJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan