ARKIB : 04/07/2008
PEMAIN Sarawak, Rajesh
Luchumanan (kiri) berjaya melepasi halangan lawannya dari Terengganu, Shahrul
Ezrain dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sarawak, Kuching,
malam tadi.
- Gambar AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN
KUALA LUMPUR - Selangor
akhirnya mengembalikan keyakinan peminat apabila menutup pusingan pertama bola
sepak Piala Malaysia dengan menumpaskan Melaka 5-2 dalam perlawanan Kumpulan A
di Stadium Shah Alam, semalam.
Selepas tewas dua perlawanan
terdahulu, pasukan Selangor menunjukkan kesungguhan untuk bangkit dengan
membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Amirul Hadi.
Bagaimanapun, Rosaiful Nizam
sempat mengejutkan tuan rumah apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit
ke-41, namun Frank Seator memberikan kelebihan 2-1 kepada Selangor pada minit
terakhir babak pertama.
Selangor mempamerkan kegarangan
sebaik separuh masa kedua bermula dengan menjaringkan gok ketiga Selangor pada
minit ke-46 tetapi Rosaiful hanya memerlukan seminit kemudian untuk merapatkan
kedudukan 3-2.
Penyerang kebangsaan, Safee
Sali membuktikan kehebatannya dengan menyumbat dua lagi gol Selangor pada minit
ke-77 dan 88 untuk tuan rumah menutup perlawanan dengan kemenangan 5-2.
Kebangkitan skuad Merah Kuning
bagaimanapun gagal diikuti penyandang juara, Kedah, yang terus buntu mencari
kemenangan pertama dalam tiga perlawanan apabila seri 1-1 dengan Johor FC di
Stadium JCorp, Pasir Gudang dalam saingan Kumpulan B.
Malah, juara Liga Super dan
Piala FA itu bernasib baik tidak kerana menamatkan perlawanan dengan kekalahan
apabila sepakan penalti yang diperoleh Johor FC pada minit terakhir permainan
gagal disempurnakan oleh Mohd. Saiful Sabtu.
Tuan rumah terlebih dulu
membuka jaringan menerusi Fahruzzahar Ali pada minit kelapan, namun Kedah
berjaya menyamakan kedudukan menerusi Marlon Alex James, di minit ke-28.
Kegagalan Johor FC dan Kedah
mengutip tiga mata penuh dimanfaatkan Polis untuk mengukuhkan kedudukan
pendahulu Kumpulan B selepas membenam Sabah 4-3 di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang.
Kuala Lumpur pula mengekalkan
kedudukan di tangga kedua kumpulan selepas seri 1-1 dengan dengan Pulau Pinang
di Stadium Bandar Raya.
Jaringan Mohd. Hafzairi Azmi
pada minit ke-69 meletakkan Kuala Lumpur di depan, namun Alistair Lawson
menyelamatkan tuan rumah daripada mengalami kekalahan apabila menjaringkan gol
penyamaan pada minit ke-80.
Dalam perlawanan Kumpulan C,
Pahang melonjak ke tangga kedua selepas menundukkan Tentera 2-1 di Stadium
Darul Makmur, Kuantan.
Tonggak import, Keita Boubakar
memberi permulaan baik kepada tuan rumah apabila membuka jaringan seawal minit
kesembilan, sebelum Nor Fazly Alias melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-18.
Tentera cuba membalas dengan
merapatkan kedudukan menerusi Mohd. Nazri Akui pada minit ke-84, namun
kebangkitan mereka sudah terlalu lewat.
Dalam satu lagi perlawanan
Kumpulan A, Sarawak menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila
menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Sarawak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdR0hfQg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan