ARKIB : 07/04/2008
SHAH ALAM - Jurulatih Selangor,
Dollah Salleh sudah mengaku kalah untuk terus menyaingi Kedah dalam perebutan
kejuaraan bola sepak Liga Super sekali pun Gergasi Merah masih memiliki empat
perlawanan lagi sehingga 3 Mei ini bagi musim 2007-2008.
Dengan ketinggalan lapan mata
selepas tumpas 1-0 kepada Sang Kenari yang juga juara bertahan liga di Stadium
Shah Alam, kelmarin, Selangor kini katanya, wajar mengalihkan sasaran merampas
semula Piala FA yang kali terakhir dimenanginya pada 2005.
Lawan lain yang menanti
Selangor malah mampu menggugat tangga kedua Liga Super miliknya kini ialah
Pulau Pinang di Stadium Bandaraya (12 April), Sarawak di Shah Alam (19 April),
Johor FC di Pasir Gudang (26 April) dan Negeri Sembilan di Shah Alam (3 Mei).
Ia seperti misi mustahil untuk
Merah Kuning mengaut mata penuh daripada kesemua perlawanan itu sambil menagih
bantuan Terengganu, Polis, Pahang dan Perlis mengekang kemaraan Hijau Kuning
pada hari yang sama.
"Walaupun impian
mendapatkan juara liga sudah musnah, perjuangan kami belum habis dalam Piala FA
(suku akhir pertama menentang Kuala Muda, Selasa ini)," katanya selepas
tolakan Samransak Kram menghampakan tuan rumah hasil umpanan Marlon Alex James.
Dollah mengakui anak buahnya
sudah menampilkan persembahan terbaik dan berjuang habis-habisan khasnya dalam
separuh masa kedua tetapi nasib tidak menyebelahi mereka sehingga terus
kempunan gol.
"Penjaga gol Kedah, Helmi
Eliza Elias juga memainkan peranannya dengan baik sekali.
"Saya bangga dan berpuas
hati dengan corak permainan Selangor biarpun kami terlepas banyak peluang.
Sudah macam-macam usaha yang kami lakukan, cuma bola yang tidak masuk ke
jaring. Gol Kedah itu pula berlaku akibat sedikit kelekaan kami," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yraEgigy
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan