ARKIB : 11/08/2008
Mohd. Amirul Hadi Zainal (kiri)
melepaskan rembatan ke gawang PDRM pada suku akhir Piala Malaysia di Stadium
Selayang, kelmarin.
HASH(0x26e7e0c)
KUALA LUMPUR - Pertukaran
strategi Polis kepada menyerang habis-habisan cukup memeranjatkan Selangor
biarpun Gergasi Merah tetap terselamat ke separuh akhir bola sepak Piala
Malaysia dengan kelebihan gol di tempat lawan, kelmarin selepas terikat 3-3
secara agregat.
Cukup berbeza dengan pertemuan
pertama suku akhir di Shah Alam, Rabu lalu, anak buah Dollah Salleh nyaris
berputih mata jika tanpa gol terakhir sepakan penalti Frank Seator pada waktu
kecederaan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu.
Pengurus pasukan Selangor,
Zakaria Ab. Rahim berkata, strategi dan corak permainan terbuka tuan rumah
mulai berubah sebaik sahaja Seator memimpin Selangor mendahului 1-0 pada minit
ke-14, juga menerusi sepakan penalti selepas Safee Sali dijatuhkan.
Ia semakin ketara apabila
penyerang import dari Kenya, Hillary Echesa dan Nor Farhan Mohamad menyamakan
kedudukan dua kali buat Polis selepas ketua pasukan negara, Shukor Adan cuba
menguatkan kelebihan Selangor dengan tandukan masuk pada minit ke-56.
Penyerang kelahiran Singapura,
Noh Alam Shah mengganakan Merah Kuning seketika dengan tolakan masuk daripada
tampanan kurang kemas penjaga gol Suffian Ab. Rahman, 10 minit sebelum Seator
memastikan tiket separuh akhir milik pelawat dengan 3-3.
"Syukur kami masih layak
walaupun dengan keputusan yang sesukar ini tetapi saya terkejut juga dengan
perubahan mendadak strategi Polis jika dibandingkan corak bertahan ketika seri
0-0 di Shah Alam lalu," kata Zakaria kepada Utusan Malaysia, semalam.
"Dalam corak perlawanan
seimbang dan saling menyerang kedua-dua pasukan ini, kubu Selangor bagaimanapun
yang lebih kerap diuji sehingga ruang sebelah kiri kami pula mudah terdedah
untuk melakukan kesilapan," katanya.
Asraruddin Putra Omar yang
bermula di bek kiri, digantikan semula oleh pemain senior, P. Gunalan manakala
Suffian yang bakal dipersalahkan jika Selangor tersingkir kerana kecuaian gol
Polis, menjadi orang yang paling utama menarik nafas lega dengan kesudahan seri
itu.
"Suffian meluahkan
kecewanya kerana terlepas gol ketiga Polis itu tetapi saya harap kesilapan
seperti ini tidak akan berulang dalam separuh akhir di gelanggang kami (Rabu
ini) apabila kami tampil dengan barisan terbaik tanpa sebarang kecederaan dan
penggantungan," katanya.
Katanya, Selangor akan
memanfaatkan tempoh rehat tiga hari untuk memulihkan diri dan tumpuan menjelang
separuh akhir pertama menentang Johor FC yang turut layak selepas membelasah
UPB-MyTeam 5-1 di Stadium J-Corp, Pasir Gudang menjadikan agregat 6-4.
"Kami menghormati Johor FC
dengan kemampuan mereka bangkit daripada ketinggalan suku akhir pertama, 3-1
apatah lagi menerusi permainan masa tambahan. Rekod pertemuan Selangor dalam
Liga Super lalu juga menyebelahi Johor FC," katanya.
Malah hanya jaringan masa
kecederaan Amri Yahyah menyelamatkan Merah Kuning untuk mengikat Johor FC 1-1
di Shah Alam pada pusingan pertama liga, November lalu tetapi mereka kecundang
3-2 dalam aksi kedua di Pasir Gudang, April lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ztDE4pw4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan