ARKIB : 02/07/2008
KUALA LUMPUR Kemerosotan
mendadak skuad bola sepak Selangor sejak kebelakangan ini didakwa turut
disebabkan kejatuhan moral pemain akibat daripada salam pengenalan kurang
enak selepas diambil alih pengurusan baru skuad itu.
Difahamkan kebanyakan para
pemain utama terguris dengan kata-kata pihak pengurusan baru Selangor yang
seakan-akan memberi amaran supaya mereka memberikan aksi terbaik jika mahu
kekal dalam skuad itu pada musim depan.
Walaupun kata-kata itu boleh
ditafsirkan sebagai satu cabaran positif, tetapi ada di kalangan pemain yang
menganggap ia tidak wajar diucapkan pada pertemuan pertama di antara pemain dan
pihak pengurusan baru yang dianggap belum lagi mengenal hati budi serta
kemampuan semua pemain dan pengurusan sedia ada.
Moral pemain tersentak
dengan ucapan pengenalan pengurusan baru Selangor itu dan dilihat terbawa-bawa
hingga kini dan menyebabkan kebanyakan perlawanan utama menemui kegagalan
ketara.
Saya lihat para pemain tetap
beraksi bersungguh-sungguh di setiap perlawanan tetapi moral mereka sedikit
terjejas dengan kata-kata pengurusan baru berkenaan, kata sumber skuad
Gergasi Merah itu semalam.
Selain moral yang terjejas,
difahamkan pemberian bonus setiap kali Selangor menang, tidak lagi dinikmati
oleh pemain dan ini dikatakan turut memberi kesan terhadap kesungguhan pemain
di padang.
Ini berbeza dengan pengurusan
lama yang dikatakan akan memberikan bonus sejurus menang satu-satu perlawanan.
Pemberian bonus (selepas
menang) itu bukanlah satu syarat tetapi ia telah menjadi amalan oleh pengurusan
lama.
Walaupun jumlah bonus yang
diberikan adalah kecil, ia tetap memberi semangat kepada pemain kerana bola
sepak merupakan periuk nasi mereka.
Dan mereka bukannya mata
duitan yang hanya mahukan duit untuk menang, tetapi ia adalah lebih kepada
menghargai sumbangan para pemain yang sentiasa mahukan Selangor berada di
tangga teratas persaingan, katanya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zdKrDcop
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan