Isnin, 26 Disember 2016

Maniam kendali Red Giants

 
Maniam bawa cabaran Selangor hadapi musim Liga Super 2017. FOTO FAS

BERNAMA
Kuala Lumpur: Bekas penolong jurulatih pasukan Selangor, P Maniam dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2017.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi laman sesawangnya www.faselangor.my memaklumkan Maniam, 48, akan dibantu dua penolong jurulatih yang juga merupakan bekas pemain pasukan itu, K Gunalan dan Noor Zaidi Rohmat.

"Pelantikan Maniam turut mengambil kira kelayakan minimum terkini Perlesenan Kelab FAM 2017 untuk ketua jurulatih penuhi," menurut FAS.


Maniam yang juga bekas pemain Selangor pada era 1990-an memiliki lesen Pro Diploma Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu lesen kejurulatihan tertinggi Asia setaraf lesen Pro Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Beliau bukan nama asing kerana pernah menjadi penolong jurulatih skuad Selangor selama tujuh musim dari 2009 hingga 2015 di bawah beberapa jurulatih berpengalaman termasuk Irfan Bakti Abu Salim, Zainal Abidin Hassan serta K Devan.

Maniam juga pernah dilantik sebagai pengendali sementara Selangor ketika dua bekas jurulatih iaitu Devan dan Irfan Bakti meletak jawatan pada pertengahan saingan Piala Malaysia, masing-masing pada 2011 dan 2013.

Sebagai rekod, beliau merupakan ketua jurulatih kelab Liga FAM iaitu AirAsia Allstars FC pada musim ini.

Kepulangan semula Maniam menyaksikan Gunalan, 51, yang menjadi pengendali sementara Selangor sejak Ogos lalu, kembali ke jawatan asalnya sebagai penolong jurulatih.

Seorang lagi bekas pemain Selangor, Azlisham Ibrahim, 43, kekal sebagai jurulatih penjaga gol manakala bekas pemain skuad Gergasi Merah dari 1999-2001, Abdul Rauf Ahmad dilantik sebagai pengurus pasukan.

Exco FAS, Omar Ali, 56, yang merupakan bekas jurulatih skuad Piala Presiden Selangor dari 2015-2016, dilantik sebagai penolong pengurus.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 11:22 PM

Rabu, 21 Disember 2016

Selangor terajui semula Perdana Satu

ARKIB : 08/05/2000
SELANGOR merampas kedudukan teratas bola sepak Liga Perdana Satu apabila menumpaskan Sabah 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

A. JAILANI ABDULLAH melaporkan, kemenangan itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan Red Giants di gelanggang sendiri selepas enam perlawanan setakat ini untuk mengumpul 13 mata, dua mata di depan Negeri Sembilan.

Sabah pula terus terperosok di tangga kedua terbawah dengan hanya mengumpul satu mata.

Selangor menguasai perlawanan semalam yang menyaksikan pasukan pelawat pula nyata gagal menunjukkan permainan kemas terutama di bahagian tengah.

Tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-18 hasil kerjasama gandingan pemain kebangsaan, Zami Mohd. Nor dan Rusdi Suparman.

Bermula dari tengah, Zami melarikan bola ke kiri sebelum membuat hantaran lintang kepada Rusdi yang tidak dikawal kemas untuk memudahkan penyerang kebangsaan itu menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad dengan sepakan dari jarak dekat.

Rusdi mempunyai peluang untuk meletakkan Selangor _ yang menyaksikan rekod tanpa kalahnya lebur apabila tewas 3-0 di Stadium Bandaraya kepada Pulau Pinang minggu lepas _ selesa di depan pada minit ke-33 namun Khairul sudah dapat membaca arah sepakannya.

Sabah yang mempamerkan permainan kurang tersusun sejak awal permainan, mencemaskan para penyokong tuan rumah apabila sepakan kencang Zainizam Marjan dari jarak kira-kira 20 meter hampir menewaskan penjaga gol, Azmin Azram Abd. Aziz yang terleka, namun percubaan itu tersasar sedikit ke sebelah kanan pintu gol.

Bangkit dari kejutan pelawat, Selangor kembali menyusun gerakan dan menyaksikan Nor Suhaimi Bahauddin nyaris menghasilkan gol kedua selepas melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-37.

Begitupun, sepakannya hanya menyapa palang gol sebelum keadaan kembali tenang untuk Sabah yang sebelum ini tewas 5-0 kepada Negeri Sembilan di Stadium Likas minggu lalu.

Kelekaan Azmin Azram akhirnya membawa padah buat Selangor apabila sepakan Zainizam dari luar kotak penalti gagal ditangkap dengan kemas menyebabkan bola meleret keluar.

Sayap kiri Sabah, Henry Saimpon yang mengambil sepakan sudut membuat tendangan cantik ke depan pintu gol Red Giants dan bekas penyerang tinggi lampai Johor, Rosdee Sulong melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-44.

Sabah kembali tertekan sebaik sahaja babak kedua bermula apabila barisan pertahanannya membuat kesilapan di hadapan gol, namun terselamat apabila sepakan Zami yang mendapat peluang terbuka terkena tiang gol sebelah kiri.

Usaha Selangor akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-58 apabila sayap kanannya, S. Sivaram melayangkan badan untuk menanduk masuk hantaran lintang Jaafar untuk mendahului 2-1.

Sabah yang hanya seri sekali sebelum ini, membawa masuk bekas penyerang kebangsaan, Suharmin Yusof untuk menggantikan Redzuan Ahmad Khan pada minit ke-70, tetapi tidak mendapat sokongan dari rakan-rakan di bahagian tengah.

Sebaliknya, pasukan Negeri di Bawah Bayu itu hampir menyaksikan pintu golnya ditembusi buat kali ketiga pada minit ke-72, mujur percubaan Zami di dalam kotak penalti ditampan keluar oleh Khairul Azman.

Ketika permainan hampir tamat, Jaafar melebarkan jurang gol tuan rumah apabila sepakannya meluru ke penjuru kiri gawang Sabah pada minit ke-90.

Sementara itu, dalam perlawanan Perdana Dua, Tentera memperkukuhkan kedudukan apabila menewaskan TNB Kelantan 3-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, semalam.

Najib Ali memastikan Tentera mendahului 1-0 pada babak pertama permainan hasil jaringan minit ke-21, sebelum TNB menyamakan kedudukan menerusi Azman Daud, minit ke-44.

Begitupun, asakan jentera serangan Tentera akhirnya berjaya menambahkan dua lagi gol menerusi Andrew Lawadin (84) dan Yaakob Aris, minit ke-88 untuk kemenangan kedua pasukan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TSkN90lj © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 20 Disember 2016

Red Giants kembali disegani

MEI 2000
ARKIB : 01/05/2000
TIGA kali menang dan satu seri yang dicatatkan oleh Selangor selepas empat perlawanan Liga Perdana Satu musim ini kembali meletakkan pasukan itu sebagai pasukan disegani tahun ini.

Selepas tersingkir ke Perdana Dua tahun lalu, pasukan Red Giants itu mengumpul sisa-sisa kekuatan dan semangat untuk muncul naib juara di belakang Johor sekali gus kembali ke dalam kancah persaingan liga utama.

Pasukan yang dibimbing K. Rajagopal itu seperti mana tahun-tahun sudah terus menarik minat pemain-pemain bertaraf bintang dan pada musim ini termasuk Zami Mohd. Nor, B. Rajanikadhn dan penyerang sensasi, Rusdi Suparman yang menganggotai skuad kebangsaan.

Selepas perlawanan pertama menentang Perlis yang berkesudahan seri 2-2, skuad Rajagobal tidak menoleh ke belakang lagi dan pada tiga perlawanan terakhirnya menumbangkan tiga pasukan termasuk Pahang dan Johor yang dianggap pilihan kerana turut menampilkan pemain-pemain berkaliber.

Kelmarin, Stadium Shah Alam yang merupakan medan keramat Selangor menjadi saksi kepada tumbangnya satu lagi mangsa, Terengganu dengan keputusan 2-0.

Pasukan dari Pantai Timur itu yang merupakan naib juara Piala Malaysia 1998 ketika di bawah bimbingan Abd. Rahman Ibrahim yang kini berkhidmat untuk pasukan kebangsaan, menunjukkan semangat juang tinggi di samping mempamerkan corak permainan kemas.

Namun gerakan Selangor lebih berkesan terutamanya dalam membuat serangan balas kilat.

''Saya berpuas hati dengan corak persembahan anak-anak buah saya semalam (kelmarin) walaupun masih terdapat beberapa kelemahan,'' kata Rajagobal semalam.

Menurut beliau, anak-anak buahnya kini bijak menangani tekanan hebat pasukan lawan dan kemudian segera menyambar peluang untuk menyerang balas seperti yang ditunjukkan pada perlawanan menentang Terengganu.

Katanya lagi, secara keseluruhannya, persembahan pasukannya meningkat pada setiap perlawanan.

Selepas ini, Selangor akan bertandang ke Pulau Pinang, pasukan yang dianggap pakar seri.

''Kami tidak akan memandang mudah perlawanan dengan Pulau Pinang kerana mereka sudah mula mencatatkan kemenangan selepas hanya seri pada dua perlawanan pertama mereka,'' kata Rajagobal.

Pulau Pinang menundukkan Perlis 2-1 di tempat sendiri pada 22 April lalu selepas dua kali seri ketika menentang Negeri Sembilan dan Perak.

Kelmarin pasukan dari utara itu turut seri dengan Pahang untuk mengutip enam mata setakat ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TOmBVATd © Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor buru Penyu


 

ARKIB : 29/04/2000
BARISAN pemain Pahang menjalani senaman ringan sebelum sesi latihan di Padang MPK, Kuantan kelmarin. Pahang akan menentang Pulau Pinang hari ini. - Gambar SHAHJEHAN MAAMIN

BIAR pun masih di peringkat awal, saingan Perdana Satu tetap menyajikan aksi menarik kesemua pasukan yang pasti berhempas pulas untuk mencari kemenangan termasuk perlawanan malam ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Walaupun jadual Perdana Satu masih panjang, pungutan mata penuh dalam perlawanan malam ini penting buat kesemua pasukan yang mengharapkan kedudukan lebih selesa.

Selangor selaku pendahulu carta Perdana Satu tentunya tidak mahu kedudukan tangga teratasnya dipintas pasukan lain, hanya disebabkan kegagalan dalam perlawanan menentang Terengganu.

Oleh itu, misi memburu kemenangan berterusan buat Selangor yang menyandarkan harapan kepada pemain kebangsaan, Rusdi Suparman dan Zami Mohd. Noor untuk menyekat Terengganu di Stadium Shah Alam.

Namun, pasukan bimbingan jurulatih Yunus Alif bukannya mudah untuk dihalang kemaraannya, malah kini sudah bergelar skuad handalan Pantai Timur menerusi beberapa kemenangan termasuk menewaskan skuad elit, Pahang sebelum ini.

Pahang pula berdepan Pulau Pinang yang terpaksa bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk meneruskan kemaraannya selepas mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan Perlis 2-1.

Kali ini, Pulau Pinang memikul tugas berat kerana berdepan Pahang yang sudah mampu ''bangkit'' untuk memberi saingan dalam Perdana Satu selepas memulakan kempen dengan persembahan membosankan.

Begitu juga Perlis yang mengharapkan Stadium Utama, Kangar dipenuhi penyokong setia Singa Utara bagi membantu usaha mengekang Sabah.

Perlis meletakkan harapan kepada penyerang lincah, G. Shanmugam dan S. Paidiya Rao untuk memberi tekanan kepada Sabah.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, peminat bola sepak bukan sekadar ingin menyaksikan keupayaan Negeri Sembilan menentang juara Piala Malaysia 1999, Brunei malah mahu melihat sejauh mana kehebatan penjaring terbanyak Perdana Satu musim lalu, Azman Adnan.

Kuala Lumpur pula pasti menghadapi saingan sengit Seladang di Stadium Perak yang sering mengundang gerun pasukan lawan.

Bagaimanapun, ''bala tentera'' jurulatih Mat Zan Mat Aris mampu menghadapi apa sahaja cabaran termasuk menentang Perak yang kini diperkuatkan ramai pemain kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar, Syamsul Saad, Mohd. Noor Derus dan V. Saravanan.

Walaupun dibarisi pemain handalan, barisan pertahanan Perak tetap gentar menghadapi serangan Kuala Lumpur yang diperkuatkan penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof dan Mohd. Farid Dewam.

Satu lagi perlawanan menarik ialah pertemuan skuad Bujang Senang dengan Johor di Stadium Sarawak yang dijangka penuh dengan debaran

sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TNHiT6Ub
© Utusan Melayu (M) Bhd


Isnin, 19 Disember 2016

Pahang terus ditimpa malang

ARKIB : 19/04/2000
SELANGOR memanfaatkan kesempatan daripada rentak hambar Pahang kebelakangan ini apabila mengaibkan juara bertahan itu 1-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Sedang Tok Gajah meratapi deretan kekalahan sejak di Pasir Gudang lalu, Red Giant pula mempamerkan langkah meyakinkan dengan memungut tiga mata penuh.

Penyumbang kemenangan sulung pasukan pelawat ialah pemain yang kurang dikenali, S. Sivaram pada minit ke-55.

Sekalipun masih terkilan kerana cuma beroleh satu mata Sabtu lalu, Selangor ternyata garang untuk menguasai babak pertama menerusi gandingan dua penyerang kebangsaan Zami Mohd. Nor dan Rusdi Suparman.

Pahang pula seperti tidak memikirkan betapa reputasinya selaku juara bertahan Perdana Satu dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri perlu dibela dan dimanfaatkan.

Hantaran dan persefahaman pemain tuan rumah begitu longgar hinggakan barisan tengah dan serangannya sekadar mampu mengejar bola tanpa sebarang gerakan bermakna.

Di kawasan tempat duduk utama, bagaikan ada isyarat protes di kalangan penyokong Tok Gajah gara-gara prestasi hambar pasukan mereka sejak suku akhir pertama Piala FA lalu. Ini terbukti apabila cuma 2,000 penonton masih sangggup hadir di Stadium Darul Makmur.

Penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz lebih banyak berlegar-legar di kawasan penaltinya sedangkan Zami dan Rusdi tidak putus-putus meluaskan kemaraan mereka ke kubu lawan.

Satu rembatan jarak jauh pasukan pelawat muncul menerusi Jaafar Salleh menguji penjaga gol Pahang, Juraimi Hassan pada minit ke-24 tetapi terlalu tinggi untuk menemui cabaran.

Selangor mengganas lagi pada minit ke-37 namun Rizal Hassan mensia-siakan gerakan satu sama satunya dengan Juraimi apabila sepakannya tersasar.

Rusdi pada minit ke-48 juga senasib dengan Rizal. Dia yang cuma perlu mengatasi Zuraimi masih gagal menyumbangkan gol.

Usaha Selangor itu bagaimanapun berbalas pada minit ke-55. Sepakan sudut daripada Jaafar dari sebelah kiri tepat menyapa kepala Sivaram yang melompat lalu menanduk masuk untuk gol pelawat.

Minit ke-66 menyaksikan satu lagi peluang Selangor tiba untuk menambah gol.

Nazzab Hizan nyaris muncul penjaring gol kedua jika tanpa tampanan pantas Zuraimi.

Tuan rumah akhirnya menemui peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-75 malangnya sepakan percuma dalam kotak penalti oleh Badrul Afzan Razali memilih tembok pertahanan daripada menemui gawang Selangor.

PAHANG: Zuraimi Hassan, Jalaluddin Jaafar, Suhaimi Mohd. Nor, Azahar Kamaluddin, Wan Rohaimi Ismail, Shahrin Majid (Azlan Rahman), Azizul Kamaluddin, K. Ramachandran (Shahnoor Safi), Khairul Nizam Hanif, Azaruddin Aziz, Idris Karim (Badrul Afzan Razali).

SELANGOR: Azmin Azram Aziz, Shamsul Amri Abu Bakar, B. Rajnikandh, M. Chandran, Nazzab Hidzan, Rusdi Suparman, Zami Mohd. Nor (Faizal Ezahar), S. Sivaram (Nor Suhaimi Bahaudin), Assrof Hanafiah, Rizal Hassan, Jaafar Salleh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4THWfZrRC © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 15 Disember 2016

Hasrat Reza ikut jejak ayahnya mula berhasil

ARKIB : 20/02/2000
SEBAGAI ibu tunggal, tanggungjawab untuk mendidik tiga anaknya cukup mencabar, apatah lagi untuk memenuhi hasrat seorang dari anaknya itu untuk mengikut jejak Allahyarham sumainya, Mokhtar Dahari, sebagai pemain bola sepak ternama, disamping berjaya dalam bidang pendidikan.

Tetapi, bagi Tengku Zarina Tengku Ibrahim, tanggungjawabnya itu kini hampir berjaya apabila harapan anak sulungnya menjejaki langkah aruah suaminya mula membuahkan hasil.

Mohd Reza Mohd Mokhtar, 19, kini terpilih sebagai pemain dalam pasukan pelapis Selangor, malah pada pertandingan separuh akhir Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini turut disenaraikan sebagai pemain simpanan.

Selain bola sepak, Mohd Reza juga berjaya dalam bidang pendidikan.

Tengku Zarina berkata, Mohd Reza yang kini pelajar tahun satu di Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah mewakili pasukan Bawah 14 Wilayah Persekutuan ke kejohanan kebangsaan.

"Pada mulanya saya tidak begitu ambil berat hasratnya menjadi pemain bola sepak kerana mahu dia menumpukan perhatian kepada pelajaran, tetapi kerana dia bercita-cita mengikuti jejak aruah ayahnya, membuatkan saya akur dan memberi dorongan," katanya ketika ditemui di Alor Setar atas urusan pejabatnya.

Beliau pada mulanya menganggap minat anaknya terhadap bola sepak turut berubah setelah ketiadaan Mokhtar Dahari, tetapi jangkaan itu meleset.

Kini Tengku Zarina, 45, terpaksa pula mengikut kerenah anaknya, sama seperti dia mengikuti kerenah suaminya sebagai pemain bola sepak dulu.

Ketika Mokhtar Dahari masih bergelar bintang bola sepak negara, Zarina sering dilihat sebagai penyokong yang memberi semangat dan kata perangsang dan sering kelihatan di padang latihan dan gelanggang pertandingan setiap kali Mokhtar bermain.

Mokhtar, yang sejak awal 70-an lagi sudah mewakili pasukan kebangsaan dan menempa nama sebagai pemain disegani dan tiada tandingnya ketika itu, meninggal dunia pada usia awal 40-an pada 11 Julai 1991, akibat penderitaan pada sistem sarafnya.

"Apa yang saya lakukan terhadap Mokhtar, kini saya lakukan pula kepada Reza, sering berada di padang pada latihan dan perlawanan," katanya.

Kata Tengku Zarina, bagi memenuhi cita-cita Mohd Reza beliau terpaksa melakukan perkara yang sama.

Mohd Reza mula menunjukkan minat dalam bola sepak ketika berusia 10 tahun, di tahun-tahun terakhir sebelum Mokhtar meninggal dunia. Ini kerana ketika masih kecil, beliau sering menemani ayahnya ke luar negara, stadium dan padang untuk bermain bola sepak.

Selain Mohd Reza, adiknya Nur Azerena, 17, turut aktif dalam sukan dan mewakili sekolah dalam permainan bola jaring Kolej Tunku Khursiah, Negeri Sembilan.

Tengku Zarina yang kini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Korporat di Permodalan Nasional Berhad (PNB) mempunyai seorang lagi anak, Nur Arina, 12 tahun, hasil perkahwinan dengan Mokhtar Dahari pada tahun 1979. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SvHCaUV5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor harap pemain skuad Liga Simpanan

ARKIB : 10/02/2000
SELANGOR terpaksa meletakkan harapan kepada pemain-pemain daripada pasukan Liga Simpanannya apabila memulakan kempen bola sepak Piala FA bulan depan berikutan semakin ramai pemainnya yang dipanggil oleh pasukan kebangsaan, lapor A. JAILANI ABDULLAH.

Menurut pengurus pasukannya, Datuk Mokhtar Ahmad, beliau kini hanya memiliki barisan 12 pemain sahaja untuk disandarkan harapan, tetapi katanya beliau tidak begitu bimbang dengan keadaan itu.

''Ini kerana para pemain saya yang masih tinggal telah menunjukkan persembahan yang cukup baik setakat ini,'' tegasnya.

Beliau merujuk kepada kejayaan anak-anak buahnya menundukkan Melaka dalam dua perlawanan berasingan minggu lalu. Dalam kempen Piala Emas Raja-Raja, pasukan Liga Simpanan Selangor menang besar 6-0 ke atas Melaka pada perlawanan suku akhir pertama di tempat sendiri sementara pasukan seniornya juga menang ke atas Melaka dalam satu perlawanan persahabatan.

''Kemenangan pemain-pemain saya pada Piala Emas Raja-Raja membuktikan bahawa tahap mereka tidak jauh daripada pemain-pemain senior yang dipanggil oleh skuad kebangsaan kerana Melaka menurunkan ramai pemain dari skuad Liga Perdananya pada perlawanan itu,'' katanya.

Selangor sebelum ini terpaksa melepaskan enam pemain tonggaknya iaitu B. Rajnikandh, Lee Chan Yew, Shamsul Amri Abu Bakar, Rusdi Suparman, Zami Mohd. Nor dan Ahmad Shahrul Azhar kepada jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim.

Untuk menjadikan keadaan lebih parah buat Red Giants ialah apabila dua pemain remajanya iaitu Nazrul Erwan Makmor dan Jaafar Salleh dari skuad Liga Simpanan dipanggil pula oleh Alan Harris untuk menjalani latihan bersama skuad bawah 19 tahun kebangsaan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SulrfKn2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sikap sambil lewa pemain resahkan Red Giants

ARKIB : 01/02/2000
SKUAD Red Giants yang kehilangan enam pemain utamanya kepada skuad kebangsaan kini terpaksa berdepan pula dengan masalah sikap sambil lewa sebahagian pemain yang meresahkan pengurusan pasukan tersebut, lapor JAILANI ABDULLAH.

Pengurusnya, Datuk Mokhtar Ahmad yang bimbang dengan perkembangan itu memberitahu, sebilangan pemain Selangor tidak membuktikan kesungguhan mereka kepada pihak pengurusan sedangkan persiapan untuk pertandingan Piala FA hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi.

''Sebilangan pemain kami tidak menunjukkan kesungguhan dalam latihan seperti mana yang diharapkan. Saya menganggap mereka ini tidak profesional,'' katanya.

Walaupun tidak menjelaskan sejauh mana sikap tersebut telah menunjukkan kesan terhadap persediaan Red Giants yang kembali ke Perdana Satu musim ini, namun keputusan perlawanan persahabatan dengan kelab NS Chempaka minggu lalu mungkin pedoman terbaik untuk dijadikan ukuran awal.

Dalam perlawanan itu Red Giants hanya terdaya mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan kelab dari Perdana Dua itu.

''Saya benar-benar tidak berpuas hati dengan mutu persembahan para pemain kami...perlawanan tersebut membuktikan bahawa pasukan kami belum mantap,'' katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, beliau enggan menggunakan alasan ketiadaan enam tonggak yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebagai punca kepada kelemahan pasukannya.

''Ini kerana semua pemain yang masih ada dengan kami mempunyai kebolehan setanding dengan rakan-rakan mereka yang dipanggil oleh pasukan kebangsaan,'' katanya.

Pemain-pemain Selangor yang dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim ialah B. Rajinikandh, Lee Chan Yew, Shamsul Amri Abu Bakar, Ahmad Shahrul Azhar, Zami Mohd. Nor dan Rusdi Suparman.

Untuk memperbaiki sikap para pemain itu, Mokhtar akan mengadakan satu sesi perbincangan bertujuan memberi motivasi kepada para pemain.

''Selain itu, pertemuan tersebut juga bertujuan menerangkan kepada para pemain mengenai polisi pihak pengurusan agar para pemain faham dan tidak melakukan kesilapan sehingga boleh dikenakan tindakan disiplin,'' ujar beliau

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4StyqfSWG © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 14 Disember 2016

Selangor terpaksa korban lima tonggak utamanya

ARKIB : 05/01/2000
Selangor terpaksa korban lima tonggak utamanya
SELANGOR terpaksa berkorban dengan menggunakan sebahagian besar pemain simpanan apabila memulakan aksi bola sepak Liga Perdana Satu dan Piala FA yang bermula Mac ini, apabila lima tonggak utamanya terpaksa dilepaskan untuk tugas negara.

Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, lima pemain Merah Kuning iaitu penyerang Rusdi Suparman, dua pemain pertahanan Syamsul Amri Abu Bakar dan Lim Chan Yew serta pemain baru, Zami Mohd. Noor dan B. Rajinikandh akan menggalas cabaran negara ke pusingan kelayakan Piala Asia, Mac ini.

''Kami terpaksa memulakan aksi dengan sebahagian besar pemain simpanan dengan ketiadaan lima pemain ini.

''Begitu pun, kami tidak kisah kerana Selangor sudah berjaya memperoleh sebuah pasukan yang mantap dengan barisan pemain yang diyakini mampu menyumbangkan sesuatu yang diharapkan.

''Lagi pun, tugas negara juga perlu diutamakan dan saya harap, lima pemain kami dapat menunjukkan satu tahap aksi yang membanggakan negara,'' kata Mokhtar semalam.

Skuad kebangsaan kendalian jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, bakal menghadapi kelayakan dua pusingan Piala Asia dengan pusingan pertama dilangsungkan di Kuala Lumpur pada 25-29 Mac dan pusingan kedua di Bangkok, Thailand pada 4-8 April.

Malaysia diletakkan dalam kumpulan 8 bersama Thailand, Korea Utara dan Taiwan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4SoVFyvXf © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 Disember 2016

Pemain Perlis turut sertai skuad Selangor

ARKIB : 19/12/1999
BEKAS ketua pasukan Perlis, Yusri Che Lah adalah antara muka baru yang berada dalam senarai terakhir skuad Selangor untuk menghadapi cabaran bola sepak Liga Malaysia, musim depan, lapor DALLIA DUNSTAN.

Sebelum ini, tiga bekas pemain Negeri Sembilan _ Zami Mohd. Noor, B. Rajinikandh dan Azmin Azram Aziz menjadi pemain pertama yang menyatakan persetujuan menyertai Red Giants.

Pengurus pasukan Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, mereka dijangka menandatangani kontrak bulan ini atau selewat-lewatnya 1 Januari depan.

''Yang penting, FAS sudah mendapatkan kebenaran Perlis dan Negeri Sembilan untuk mengambil pemain-pemain mereka,'' katanya selepas mesyuarat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Kelana Jaya, semalam.

Selain empat pemain kebangsaan itu, bekas pemain Selangor, Rezal Hassan juga berada dalam senarai.

Dia kembali semula menyarung jersi Merah Kuning selepas dipinjamkan kepada Negeri Sembilan musim ini.

Mesyuarat lebih tiga jam itu turut dihadiri jurulatih Selangor, K. Rajagopal dan pegawai-pegawai FAS yang lain.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah belanjawan yang diperlukan oleh pasukan itu untuk musim depan.

Mokhtar berkata, beliau percaya dengan adunan pemain berpengalaman dengan barisan pemain muda, ia mampu memantapkan lagi pasukan Selangor untuk bersaing merebut kejuaraan.

Tambahnya, pemain-pemain yang dipilih pernah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pasukan masing-masing.

Mereka juga mampu menggantikan tempat pemain yang dikektepikan seperti S. Paidiyah Rau, Ahmad Fairuz dan Mat Zahir Wahab.

''FAS sedang berusaha mewujudkan konsep baru menguatkan lagi pasukan Selangor dalam usaha muncul juara Liga Perdana Satu selepas muncul naib juara Liga Perdana Dua dengan adunan muka-muka baru dan lama,'' katanya.

''Kita juga mempunyai lima pemain yang dilahirkan selepas 1 Januari 1977. Ia seiring dengan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta sekurang-kurangnya lima pemain dalam sebuah pasukan harus dilahirkan dalam tempoh tersebut,'' katanya.

Sementara itu, FAS juga akan meminta Presidennya, Tengku Idris Shah untuk menetapkan satu tarikh untuk mesyuarat kewangan bagi membincangkan belanjawan pasukan itu untuk tahun 2000.

Tambahnya, FAS juga akan membuat pemilihan pemain pada 27 Disember di FAM kepada pemain-pemain kelab dan skuad Piala Presiden atau Piala Dunhill.

SENARAI PEMAIN:
Penjaga gol - Abdul Hadi Mohd Tahir, Amirrul Zain Ismail, Azmin Azram Akram; Pertahanan - Aizal Lamin, K. Sanbagamaran, Assrof Mohd Hanafiah, Shamsul Amri Abu Bakar; Kamarulzaman Yob Majid, Lim Chan Yew, B. Rajinikand, Khairul Azuar Kamirun; Tengah - S.Sivaram, Abdul Rauf, Mohd Rizal Hassan, Yusri Che Lah; Penyerang - Rusdi Suparman, Jaafar Saleh, Zami Mohd Noor.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SmSxRm1Y © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 11 Disember 2016

Selangor sekat hajat P. Pinang

ARKIB : 10/11/1999
SELANGOR yang sudah terkeluar daripada saingan ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia, menyekat hajat Pulau Pinang untuk terus bersaing dalam kumpulan A apabila membenam pasukan pelawat 3-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Dua gol menerusi pemain tengah, S. Sivaram pada minit ke-45 dan 50 serta jaringan ketua pasukan, Zainal Abidin Hassan minit ke-65, menutup terus peluang Harimau Kumbang, sekali gus berjaya menebus dendam kekalahan 5-0 Selangor di Stadium Bandaraya, sebelum ini.

Begitu pun, Selangor terpaksa menunggu sehingga minit terakhir babak pertama untuk membuka jaringan, selepas permainan kedua-dua pasukan agak hambar.

Pulau Pinang yang turun tanpa penyerang sensasinya, Azman Adnan, terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh setengah jam terakhir apabila ketua pasukannya, Moey Kok Hong dibuang padang.

Zainal yang banyak membantu bahagian tengah, mengatur beberapa siri gerakan Merah Kuning, tetapi hanya hantarannya pada minit ke-45 membuahkan hasil.

Umpanan leret yang mencelah pertahanan lawan menuju ke Sivaram yang berdepan dengan Azlisham Ibrahim dan penjaga gol Harimau Kumbang dapat menampan percubaan pertama pemain tengah Selangor itu.

Namun, bola kembali melantun kepada Sivaram yang kali ini tidak membuat kesilapan merembat kencang menewaskan Azlisham.

Belumpun Pulau Pinang panas badan pada babak kedua, Sivaram sekali lagi menghukum kelalaian benteng lawan apabila serangan kilat S. Paidiya Rau menambah derita pasukan dari Utara itu.

Paidiya melarikan bola secara solo dan meleretkan ke depan kepada Sivaram yang tidak dikawal, memudahkan pemain itu menolak masuk.

Kok Hong yang sebelum itu dilayangkan kad kuning kerana menyiku Rusdi Suparman, diperintah keluar padang pada minit ke-60 apabila sekali lagi melakukan kekasaran ke atas penyerang kebangsaan itu setengah jam sebelum tamat perlawanan.

Keadaan itu tambah menyukarkan Pulau Pinang melakukan kebangkitan dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Selangor yang sejurus selepas itu, menambah gol ketiga menerusi jaringan lambung Zainal.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Saj6nZbu © Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor kutip tiga mata penuh

ARKIB : 26/10/1999
SELANGOR kembali membuka saingan dalam pusingan kedua bola sepak Piala Malaysia apabila membenam Perlis 3-1 di Stadium Shah Alam semalam, sekali gus menafikan hajat Singa Utara untuk kembali menerajui kumpulan A.

Dua gol dalam tempoh 11 minit permainan babak pertama menerusi pemain pertahanan, Lim Chan Yew minit keenam dan penyerang S. Paidiya Rau (11), menceritakan kesungguhan Merah Kuning untuk memperbaiki kedudukan dalam kumpulan.

Ketua pasukan, Zainal Abidin Hassan yang diletakkan jurulatih K. Rajagopal di barisan tengah kali ini, turut mencatat nama sebagai penjaring dengan sumbangan gol ketiga minit ke-40.

Perlis hanya bangkit mengasak pada babak kedua dan memperoleh gol menerusi sepakan bebas Manzoor Azwira Abdul Wahid minit ke-52.

Namun, Singa Utara harus kecewa apabila serangan yang dilancarkan berkali-kali sepanjang babak kedua gagal menambah jaringan.

Jaringan Chan Yew hasil serangan pertama Selangor menerusi sepakan sudut Jaafar Salleh yang ditanduk masuk bekas pemain Olimpik 2000 itu untuk gol pembukaan.

Lima minit kemudian, kombinasi barisan depan Rusdi Suparman dan Paidiya membuahkan hasil apabila penyerang kebangsaan itu menyungkit bola dari tepi garisan gol menuju tepat ke kepala Paidiya yang menanduk masuk gol kedua.

Rusdi turut memainkan peranan mencipta gol ketiga Selangor apabila umpanannya tepat ke kaki Zainal yang merembat kencang ke gawang menewaskan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin.

Perlis cuba melawan tetapi Shamsurin Abdul Rahman dan rakannya di barisan depan gagal menembusi kubu kebal Selangor.

Cuma percubaan Rozmin Musa yang merembat liar di depan gawang Selangor pada minit ke-35 hampir memberikan gol buat Perlis.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SXNdzSwQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 9 Disember 2016

Selangor minta sokongan padu

ARKIB : 28/09/1999
SELANGOR amat mengharapkan sokongan padu penyokong sendiri sebagai satu daripada faktor yang mampu memastikan skuad Red Giants mencatat kejayaan berterusan dalam kancah bola sepak Piala Malaysia, musim ini.

Untuk itu, Selangor berharap penyokong-penyokong setia mereka hadir di Stadium Shah Alam malam ini memberi sokongan ke atas pasukan mereka yang turun menentang skuad juara bertahan, Perak dalam perlawanan kumpulan A.

Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad berkata, Selangor kini bukan seperti musim-musim sebelum ini kerana pemain sudah mendapat nafas baru untuk mempamerkan aksi lebih bernafsu.

''Kita sudah berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia dan ke Perdana Satu tahun depan. Kita sudah berjaya mencapai matlamat kita dan saya rasa Piala Malaysia adalah berbeza dengan liga musim ini.

''Oleh itu, saya amat berharap penyokong setia Selangor hadir beramai-ramai malam ini,'' kata Mokhtar, semalam.

Menurutnya, Selangor berjanji akan mempamerkan persembahan terbaik selain berusaha mencatat kemenangan sebagai balasan sokongan mereka.

''Saya pasti kita akan mencatat kemenangan malam ini. Ini bukan kerana saya memandang rendah keupayaan Perak tetapi berdasarkan semangat dan komitmen pemain yang begitu dahagakan kejayaan selain mahu mengekalkan momentum kemenangan,'' katanya.

Mokhtar berkata, beliau difahamkan hanya pemain pertahanan, Asroff Hanafiah yang tidak dapat beraksi malam ini kerana cedera di kaki.

''Yang lain berada pada tahap terbaik termasuk penyerang Rusdi Suparman dan S. Paidiya Rau,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SM4MEb5M © Utusan Melayu (M) Bhd