Khamis, 21 Disember 2017

Malam malang buat Selangor, Devan akui aksi longlai

ARKIB : 19/02/2009
SHAH ALAM - Malam yang serba tidak menjadi buat Selangor apabila kecundang 0-1 kepada UPB-MyTeam dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Lebih malang, gergasi merah terpaksa melepaskan tampuk Liga Super kepada Kelantan yang melangkah bergaya meninggalkan parut di Stadium Darul Makmur, Kuantan dengan kemenangan 5-1 ke atas pasukan tuan rumah.

Kekalahan itu jelas mengundang resah buat jurulatih Selangor, K. Devan yang akur tetapi resah dengan persembahan beberapa pemain tonggaknya tidak bermain dengan baik.

Tanpa berselindung Devan menyenaraikan beberapa pemainnya yang gagal mempamerkan permainan kemas berbeza dengan aksi mereka sebelum ini yang membolehkan Selangor berada di puncak Liga Super.

"Amri Yahyah, Amirulhadi Zainal dan Safee Sali tidak beraksi dengan baik malam ini (kelmarin), mungkin mereka tidak bersedia," kata Devan selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Bekas jurulatih Kuala Muda Naza dan Negeri Sembilan itu, sebaliknya memuji persembahan UPB-MyTeam yang bermain dengan baik dan berjaya mencuri tiga mata dari mereka.

"Saya mengakui pemain saya tidak berada pada tahap terbaik tetapi Hardi Jaafar dan barisan pertahanan melakukan tugas mereka dengan cemerlang.

"Sebaik sahaja perlawanan separuh masa pertama tamat saya memberitahu mereka saya agak terkejut dengan corak permainan yang dipamerkan dan menasihatkan mereka supaya segera bangkit dari lamunan," ujarnya.

Apa pun, menurut Devan, kekalahan tersebut tidak akan mematahkan semangat anak buahnya yang akan beraksi menentang Kuala Lumpur Sabtu ini dalam pusingan kedua Piala FA.

"Saya harap kekalahan ini akan menjadikan pemain saya lebih bersemangat untuk membaiki kelemahan mereka seterusnya beraksi dengan cemerlang dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur hujung minggu ini.

"Saya tidak akan membuat banyak perubahan kecuali pemain yang cedera seperti D. Surendren yang terpaksa dikejarkan ke hospital akibat berlanggar dengan Khairul Anuar Baharom," jelas Devan.

Tambahnya, kekalahan kepada UPB-MyTeam dianggap sebagai perkara biasa dalam bola sepak dan pasukan bimbingan Bojan Hodak berhak untuk memenangi perlawanan tersebut di atas usaha gigih mereka.

Sabtu ini pertembungan dua pasukan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Selangor dalam saingan Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur akan mengimbau kembali nostalgia antara dua seteru itu yang menghiasi Liga Malaysia sejak dari zaman semi-pro

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51toMoYDX

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan