ARKIB : 08/03/2009
PEMAIN Kelantan, Mohd. Zamri Ramli diasak pemain pertahanan UPB-MyTeam Mohamed Aslam Haja pada perlawanan suku akhir Piala FA di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi. - MINGGUAN/Hafiz Johari
|
KUALA LUMPUR - Naib juara tahun lalu, Selangor mengetuai kemaraan empat negeri ke separuh akhir persaingan bola sepak Piala FA setelah menewaskan Perak 2-0 pada perlawanan kedua suku akhir di Stadium Shah Alam, semalam.
Dua tandukan C. Premnath dan Rudie Ramli pada minit ke-78 dan 90 memastikan Merah Kuning melangkah penuh yakin dengan agregat 4-1 setelah turut menumpaskan Seladang 2-1 dalam suku akhir pertama di Ipoh, Selasa lalu.
Selangor bakal menentang Perlis yang turut layak ke separuh akhir setelah diikat skuad Bawah 20 tahun negara, Harimau Muda tanpa jaringan di Stadium Utama Negeri, Kangar sekali gus membolehkan Singa Utara menang secara agregat 1-0.
Kelantan pula kian hampir untuk meraih piala sulung musim 2009 dengan garang menewaskan kelab Liga Super, UPB-MyTeam 3-1 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu lalu ke separuh akhir menerusi agregat 4-2.
Pelawat yang mengikat anak buah Peter Butler 1-1 di Petaling Jaya, Selasa lalu, bagaimanapun mendahului 1-0 menerusi jaringan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha pada minit kesembilan.
Namun, tuan rumah ternyata jauh lebih gagah dan masih kebal di gelanggangnya dengan menyamakan dan melebarkan kedudukan menerusi Zamri Ramli pada minit ke-25, Nor Farhan Muhammad (53) dan Badri Radzi (58).
Wira Merah bakal berentap pada separuh akhir dengan Negeri Sembilan yang sekadar diikat tanpa jaringan oleh kelab Liga Perdana, T-Team dari Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.
Skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu turut mara secara agregat dengan bekalan satu jaringan daripada keputusan suku akhir pertama di Kuala Terengganu, Selasa lalu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan