Sabtu, 10 Mac 2018

Gergasi Merah terus kekal terajui takhta liga

ARKIB : 22/03/2009
KUALA LUMPUR – Selangor mengekalkan kedudukan pendahulu bola sepak Liga Super selepas menewaskan Kuala Muda Naza 2-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar semalam.

Begitupun Kelantan terus memberi tekanan dengan mengekori di tangga kedua selepas mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Mohammed ke-IV.

Selangor dan Kelantan berkongsi 21 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan, namun dipisahkan menerusi perbezaan gol.

Mohd. Nor Farhan Mohamad mengetuai kemenangan besar Kelantan dengan menyumbat dua gol pada minit ke-23 dan 56, diikuti jaringan Ramzul Zahimi Adenan pada minit ke-38 dan Md. Badri Mohd. Radzi, minit ke-65.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan Perak.

Negeri Sembilan pula terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain ketika diikat 1-1 dengan UPB MyTeam di Stadium MBPJ.

Dalam perlawanan di Stadium KLFA, Cheras, Johor FC melupakan kekalahan pada Piala AFC, Selasa lalu dengan menundukkan KL Plus 1-0.

Penyandang juara, Kedah pula memperbaiki kedudukan ke tangga kelima selepas membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kedua-dua gol Kedah dijaringkan Azrul Ahmad pada minit ke-30, diikuti jaringan Mohd. Faizal Abu Bakar, minit ke-61.

Sementara itu, dua jaringan Azlan Ismail pada minit ke-10 dan 17 membantu Terengganu mencatat kemenangan 3-0 ke atas Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Satu lagi gol tuan rumah dijaringkan Md. Ashaari Shamudin pada minit ke-62.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0322&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz59LA3TRjp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan