ARKIB : 26/04/2009
Pasukan Selangor meraikan
kejayaan menumpaskan Kelantan bersama-sama Piala FA selepas menang 4-1 menerusi
penentuan sepakan penalti ekoran terikat 1-1 selepas masa tambahan.
KUALA LUMPUR Selangor
melebarkan rekod kejaguhannya dalam persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan
apabila menjulang Piala FA buat kali kelima dengan menewaskan Kelantan 4-1
menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Nasional,
Bukit Jalil, malam tadi.
Juara 1991, 1997, 2001 dan 2005
itu turut menambah gelaran Liga Malaysia musim 2009 ini selepas Piala Sultan
Ahmad Shah, Januari lalu biarpun terpaksa mengikat Kelantan 1-1 sehingga 30
minit masa tambahan setelah kedua-duanya buntu jaringan dalam permainan sebenar
90 minit.
Skuad Wira Merah yang cuba
merangkul gelaran sulung bola sepak utama tempatan sempat mendahului menerusi
tandukan Nor Farhan Muhammad pada minit ke-92 namun ketua pasukan Gergasi
Merah, Amri Yahyah menyamakannya, juga dengan tandukan minit ke-100.
Sepakan penentuan penalti
Selangor disudahkan oleh Khairul Anuar Baharum, Nasriq Baharom, D. Surendran
dan Safee Sali manakala dua sepakan pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan
Zairul Fitree Ishak mengenai palang dan tinggi tersasar.
Di depan kira-kira 80,000
penonton, seawal minit kedua sudah menyaksikan Safee Sali dan R. Surendren
terlepas tandukan ketika mencari gol awal daripada satu sepakan sudut D.
Surendran setelah penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail terlebih dulu mendakap
bola.
Safee, ayam tambatan Merah
Kuning, pula mensia-siakan peluang kedua, empat minit kemudian dengan rembatan
lambung kaki kiri yang sepatutnya lebih kuat kerana Shahrizan sudah terlajak ke
depan.
Gergasi Merah tiba-tiba
kelam-kabut di depan gawangnya pada minit ke-8 dengan asakan mengejut Si Kijang
namun bek tengah, Nasriq Baharom berjaya meleraikan kegawatan itu dengan pantas
merembat keluar.
Pembaziran peluang Kelantan
berlaku pada minit ke-11 menerusi sepakan bebas sayap kirinya, Indra Putra
Mahayuddin yang sekadar melambung tinggi, begitu juga rembatan Ahmad Ezrie
Shafizie Sazali, 10 minit selepas itu.
Kesempatan terbaik untuk menebus
kesilapan itu yang turut mengejutkan Selangor tiba pada minit ke-23 apabila
rembatan kaki kanan Indra sempat menggegarkan palang ketika penjaga gol lawan,
Hamsani Ahmad sudah pun tumpas.
Pada minit ke-52, Selangor
mengorak langkah dengan asakan yang lebih meyakinkan lalu nyaris beroleh gol
sulung jika tandukan ketua pasukan, Amri Yahyah lebih tajam dihala melepasi
Shahrizan.
Merah Kuning sekali lagi
berpeluang baik menerusi rembatan kaki kiri Rudie Ramli yang memusingkan
badannya daripada sepakan bebas D. Surendran pada minit ke-68 namun Shahrizan
masih tangkas membaca dan menangkapnya.
Kelantan sebaliknya enggan mengalah
dengan tentangannya lalu minit ke-83 menyaksikan penyerangnya, Nor Farhan
Muhammad yang diumpan Khalid Jamlus, meledakkan rembatan sebelum ditumbuk ke
depan oleh Hamsani.
Gol yang ditunggu-tunggu
kira-kira 50,000 penyokong Kelantan, dicipta dengan tandukan Nor Farhan pada
minit ke-92 dengan menyudahkan umpanan lambung ketua pasukan, Badhri Radzi
selepas mendapat tolakan Khalid dari sebelah kanan.
Bagaimanapun pesta kegembiraan
dan kebingitan sorakan itu langsung lenyap lapan minit kemudian apabila ketua
pasukan Selangor, Amri Yahyah menanduk rendah daripada umpanan lambung kanan
Surendran untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Malah Surendran hampir
menjaringkan gol kemenangan Selangor menerusi rembatan deras kaki kanannya pada
minit ke-113 yang bagaimanapun berjaya ditepis keluar Shahrizan dengan
meyakinkan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5AH68pU4g
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan