Rabu, 21 Mac 2018

Selangor, NS hambat Perlis


ARKIB : 03/05/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
SHAH ALAM - Selangor yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala FA minggu lalu meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Terengganu 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan itu membolehkan Selangor menghampiri pendahulu liga, Perlis dengan dipisahkan satu mata sahaja ketika ini.

Selain itu, Selangor turut melunaskan dendam Red Giants yang kalah 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu 31 Mac lalu.

Trofi Piala FA yang dijulang minggu lalu selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti ternyata menyuntik semangat anak buah K. Devan yang membuka jaringan menerusi Rudie Ramli (m-14).

Dua lagi gol tuan rumah dijaringkan Safee Sali (m-38, 82). Terengganu pula memperoleh gol saguhati menerusi Mohd. Shahrul Azrain (m-81).

Perlis masih mempertahankan kedudukan mereka di puncak liga walaupun sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Namun pasukan itu yang kini mengumpul 29 mata makin cemas dihambat Selangor yang mengumpul 28 mata.

Negeri Sembilan pula melonjak dua anak tangga ke tempat ketiga liga selepas membenam Kelantan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dengan memintas Kedah dan Kelantan, Negeri Sembilan kini mengumpul 27 mata, dua mata mengatasi kedua-dua pasukan itu.

Kedua-dua gol Negeri Sembilan, semalam disumbang Mohd. Shukor Adan pada minit ke-11 dan 83.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah tewas mengejut 0-1 di tangan Pulau Pinang hasil jaringan tunggal S. Thinagaran pada minit ke-73.

Satu lagi perlawanan di Stadium KLFA, Cheras, UPB-MyTeam menewaskan pasukan tuan rumah, KL Plus juga dengan jaringan 1-0.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ANHe5Lgh
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan