ARKIB : 11/01/2009
pemain Pahang, R. Gopinathan
(kanan) dihalang pertahanan KL PLUS, Reeshafiq Alwi di Kuantan,Pahang, malam
tadi. KL PLUS menang 1-0
- Gambar MAHATHIR ALI
SHAH ALAM - Selangor menjadikan
Negeri Sembilan mangsa terbarunya untuk mengukir kemenangan ketiga
berturut-turut, 3-0 sambil mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan bola
sepak Liga Super musim 2009 di Stadium Shah Alam, semalam.
Langkah bergaya Merah Kuning
itu dibuktikan dengan tolakan mudah Amirulhadi Zainal dan rembatan tepat R.
Surendren masing-masing dalam tempoh tujuh minit mulai minit ke-20 di samping
jaringan 'pelik tapi bertuah' Amri Yahyah pada minit ke-74.
Kegarangan Selangor terpancar seawal
minit kelapan menerusi rembatan Amirulhadi yang beralih posisi ke sayap kiri
tetapi ditampan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Harun manakala tolakan
susulan Fareez Asmawi cuma tersasar beberapa inci.
Menerusi gerakan ciptaan Amri,
Amirulhadi bagaimanapun menebus kegagalan awalnya dengan menolak mudah rembatan
Safee Sali yang melantun daripada tampanan Farizal untuk gol pertama Gergasi
Merah pada minit ke-20.
Kurang tujuh minit selepas itu,
Gergasi Merah mengganas lagi sehingga melebarkan kedudukan 2-0 menerusi
rembatan Surendren yang mendapat umpanan Safee Sali daripada gerakan yang
dirintis oleh P. Gunalan di sebelah kiri.
Negeri Sembilan beroleh satu
peluang terbaik untuk merapatkan jurang gol empat minit sebelum rehat namun
Firdaus Azizul merembat tinggi ketika hanya berdepan penjaga gol tuan rumah,
Hamsani Ahmad yang baru diuji buat kali pertama.
Merah Kuning memulakan babak
kedua dengan agak perlahan apabila bahagian tengah Rusa bijak mengekang mereka
sehingga terpaksa menanti pada minit ke-58 menerusi hantaran lambung jauh yang
digubah Amri.
Bagaimanapun Safee, penyerang
utama negara yang sudah mengumpul dua gol musim ini ketika menentang Kedah dan
Perak lalu, sekadar menolak bola ke tangan Farizal dalam gerakan satu sama
satu, sejurus kemudian.
Tuan rumah turut terlepas
kesempatan menambah gol pada minit ke-70 apabila sepakan penalti Amri yang
diperoleh apabila Safee dijatuhkan dalam kotak penalti, tersasar jauh dari
tiang kiri Negeri Sembilan.
Namun, gara-gara hadangan tidak
sengaja Amri daripada sepakan seorang pemain pelawat yang cuba mengeluarkan
bola dari kawasan bahaya, Selangor tiba-tiba beroleh gol ketiga menerusi ketua
pasukannya itu pada minit ke-74.
Dalam pada itu di Stadium Darul
Aman, Alor Star, juara treble berganda, Kedah terus dihimpit tekanan apabila
sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Johor FC.
Sementara itu, Kelantan
melupakan kemelut yang melanda pasukan tersebut apabila mencatat kemenangan
kedua mereka dengan menundukkan Kuala Muda Naza 2-1 di Stadium Sultan Muhammed
IV.
Di Stadium Sultan Mizan Zainal
Abidin, Terengganu mencatat kemenangan 2-0 ke atas UPBMyTeam dan gol tersebut
disumbangkan oleh Azlan Ismail minit-31 dan Zairo Anuar Zalani minit ke-69.
Sementara itu, KL PLUS terus
memberi ancaman kepada pendahulu Liga Super, Selangor apabila mencatat
kemenangan tipis, 1-0 ke atas Pahang di Stadium Darul Makmur.
Pada satu lagi perlawanan, tuan
rumah Pulau Pinang turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perlis di Stadium
Bandaraya menerusi jaringan V. Jaganathan minit ke-22.
Razali Umar Kandasamy menjadi
wira Perak apabila jaringan tunggal olehnya minit ke-60 membantu pasukan tuan
rumah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Perak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz51IkVl5tg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan