ARKIB : 13/09/2008
KUALA LUMPUR - Penjaga gol
utama Selangor, Suffian Ab. Rahman Kungi Rahman (gambar) merupakan antara 14
pemain musim 2007-2008 yang terus mendapat kepercayaan untuk menyarung jersi
Merah Kuning bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia musim baru,
Januari ini, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Pemain kelahiran Port Dickson,
Negeri Sembilan berusia 30 tahun itu mengakui telah ditawarkan lanjutan kontrak
semusim lagi oleh pengurusan pasukan untuk mengawal gawang Gergasi Merah
manakala rakan seposisinya, Megat Amir Faisal Ibrahim Al Khalidy dikatakan
perlu mencari haluan baru.
"Saya fikir tawaran baru
Selangor itu memuaskan dan saya setuju bersama semusim lagi memandangkan hanya
itu pilihan yang ada sekarang," katanya yang kerap membarisi kesebelasan
utama sejak pusingan kedua Liga Super selain bagi kebanyakan perlawanan Piala
FA dan Piala Malaysia.
Bekas pemain kebangsaan sejak
Piala Asia 2007 ini turut bertekad memanfaatkan tawaran baru Selangor itu untuk
menebus kempunan dua gelaran, Piala FA dan Piala Malaysia pada Jun dan bulan
lalu kepada Kedah apatah lagi dia melepaskan enam gol dalam kedua-dua
perlawanan akhir itu.
"Siapa yang tidak kecewa
apabila gagal meraih salah satu piala daripada dua perlawanan akhir tetapi saya
perlu menebusnya dalam musim baru walaupun kami bakal mendapat jurulatih baru
(selepas khidmat Dollah Salleh tidak disambung," katanya kepada Utusan
Malaysia, kelmarin.
Menurut Suffian, pengurusan
Selangor dikatakan sedang berusaha mengisi kekosongan tempat Megat Amir Faisal
itu dengan seorang penjaga gol Perak yang kini masih berjuang dalam suku akhir
pertama Piala AFC dengan menentang Safa SC Lebanon di Stadium Perak, Ipoh pada
Selasa ini.
"Saya tidak pasti sama ada
Hamsani Ahmad atau Nasril Nourdin tetapi saya tidak kisah bersaing dengan
sesiapa pun sebagai penjaga gol utama," katanya yang melalui musim kedua
bersama Selangor apabila tirai Liga Super dibuka dengan Kedah dalam perlawanan
sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah di Alor Star, 3 Januari ini.
Pilihan Selangor bagaimanapun
mungkin cenderung kepada Nasril yang juga beberapa kali dipanggil menyarung
jersi skuad negara dan Bawah 23 tahun dalam pusingan pertama Kelayakan Piala
Dunia menentang Bahrain pada Oktober tahun lalu dan Piala Antara Benua di
Petaling Jaya, Mei lalu.
Selangor juga dikatakan mungkin
mengekalkan penjaga gol skuad Bawah 21 tahun mereka yang menjulang Piala
Presiden, bulan lalu, Muhamad Nuraizat Abdul Aziz apabila menaikkan jurulatih
pasukan itu, P. Maniam sebagai penolong jurulatih Liga M musim depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50OO0EsUd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan