ARKIB : 03/01/2009
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI dan
SAYED HESHAM IDRIS
KUALA LUMPUR - Saingan Liga
Malaysia 2009 bermula hari ini apabila tujuh perlawanan Liga Super berlangsung
termasuk pertemuan Selangor-Kedah dalam Perlawanan Sumbangsih merebut Piala
Sultan Ahmad Shah di Stadium Darul Aman, Alor Star yang menjadi pertembungan
tumpuan.
Bagi Selangor, rekod kejuaraan
treble berganda Kedah dan beraksi di depan ribuan penyokong fanatik skuad
'hijau kuning', sama sekali tidak menerbitkan rasa gerun di kalangan anak didik
K. Devan.
Malah, bekas jurulatih Kuala
Muda NAZA musim lalu itu yakin Selangor mampu meleburkan rekod gah Kedah yang
menjulang trofi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dua musim
berturut-turut.
Bagi Devan, Selangor musim ini
memiliki kelebihan tersendiri dan ia akan dibuktikan apabila berdepan Kedah
hari ini.
''Saya lega kerana dapat
menurunkan kesebelasan utama pemain untuk perlawanan esok (hari ini). Para
pemain berada di tahap terbaik dengan kekuatan mental dan semangat berpasukan
yang tinggi.
'Kami menjanjikan tentangan
sengit ke atas Kedah dan tidak tertekan walaupun beraksi di tempat lawan esok.
''Memang saya akui Kedah satu
pasukan yang kuat namun kekuatan mereka tahun lalu disandarkan di bahu pemain
import yang berkualiti.
''Musim ini mungkin lain
ceritanya kerana tiada lagi kelibat import,'' katanya ketika dihubungi semalam.
Devan yang menggantikan Dollah
Salleh membentuk gandingan pemain asal skuad Selangor musim lalu seperti Safee
Sali, Amri Yahya dan Amirulhadi Zainal yang diperkuatkan dengan bekas pemain
Perak, Hardi Jaafar dan penjaga gol, Nasril Nourdin.
Sementara itu, di Alor Star,
jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berkata, Kedah tetap mampu meneruskan
kecemerlangan seperti mana dua musim lalu walaupun tanpa pemain import.
Menurutnya, Kedah pernah
membuktikan kehandalan walaupun hanya membariskan pemain tempatan dalam
beberapa perlawanan penting musim lalu.
''Kita muncul juara Piala FA
musim lalu walaupun hanya membariskan seratus peratus pemain tempatan.
''Ini membuktikan kita mampu
bergelar juara walaupun tanpa pemain import, kita mempunyai pengalaman dapat
beraksi dengan baik walaupun hanya menyandarkan kekuatan di bahu pemain
tempatan.
''Walau apa pun perlawanan esok
(hari ini) penting buat Kedah, pertamanya kita mahu menebus kehampaan kerana
kalah kepada Perlis dalam Perlawanan Sumbangsih musim lalu.
''Keduanya, kita akan beraksi
sebaik mungkin bagi merangkul piala yang tidak pernah kita menang, kita mahu
melengkapkan koleksi trofi selepas pernah menjulang semua piala,'' katanya.
Kedah musim ini diperkuatkan
dengan kehadiran empat muka baru iaitu Azrul Ahmad dan Farizal Rozali dari
Pulau Pinang, Shahrul Nizam Mustapha dari Perak dan Afif Amiruddin dari pasukan
Polis.
Sementara itu, harga tiket
untuk perlawanan di Stadium Darul Aman hari ini kekal RM15 untuk dewasa bagi
tempat duduk Astaka, cuma harga yang sama dikenakan kepada penonton
kanak-kanak, yang sebelum masuk secara percuma.
Tindakan mengenakan bayaran
kepada kanak-kanak bagi tempat duduk Astaka dikatakan berpunca daripada
rungutan kerana penonton kerap membawa kanak-kanak dalam jumlah yang ramai
sebelum ini kerana tiada bayaran dikenakan.
Harga tiket bagi tempat duduk
berbumbung RM12 untuk dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan tempat duduk teres RM7
untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51H4GAWBO
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan