Selasa, 19 Disember 2017

Gunalan kapten baru Selangor



ARKIB : 10/02/2009
KUALA LUMPUR - Bek kiri senior, P. Gunalan, bakal diturunkan sebagai ketua pasukan baru Selangor apabila mereka melayani Perlis di Stadium Shah Alam malam ini untuk persaingan Liga Super 2009.

Bekas pemain kebangsaan itu akan mengambil alih tempat Amri Yahyah yang menjalani penggantungan satu perlawanan kerana sudah mengumpul tiga kad kuning sepanjang empat perlawanan.

Pelantikan Gunalan bukanlah satu kejutan walaupun terdapat beberapa pemain yang lebih tua daripadanya atau masih dan pernah menyarung jersi kebangsaan seperti benteng tengah, Khairul Anuar Baharom, pemain tengah Hardi Jaafar dan penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Pemain kidal berusia 28 tahun ini dianggap pengurus pasukan, Zakaria Ab. Rahim antara tonggak senior yang masih setia bersama Selangor selepas hampir sedekad selain bek kanan D. Surendran dan Amri.

Dalam pada itu, Amri sempat berpesan kepada rakan sepasukannya: "Saya harap mereka mampu memastikan tiga mata di tempat sendiri walaupun Perlis mungkin masih segar dengan kejayaan besar membelasah MBJB dalam pusingan pertama timbal balik Piala FA, baru-baru ini.

"Saya akan tetap memberikan perangsang kepada rakan walaupun hanya dari bilik persalinan kerana menjalani penggantungan ini," kata Amri.

Katanya, Selangor tidak perlu terlalu ghairah memburu kemenangan sehingga melupakan semangat sepasukan yang mampu meranapkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri apatah lagi setelah dikecewakan Johor FC 2-1 di Pasir Gudang pada perlawanan terakhir Liga Super mereka.

Sementara itu pemain muda, Fazilidin Khalid bakal mengisi kekosongan Amri di posisi tengah menyerang manakala pemain utama lain seperti Razman Roslan, R. Surendren, Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan Nasriq Baharom bakal dipertaruhkan semula untuk mengharungi kehadiran Singa Utara.

Cuma satu posisi yang menjadi tanda tanya untuk diisi ialah sayap kiri yang sebelum ini kerap bertukar milik antara pemain skuad bawah 20 tahun Piala Presiden Selangor iaitu Fareez Asmawi, Zameer Zainun dan Ahmad Luqman Husaini Aziz.

Merah Kuning sempat mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi mengekalkan tahap kecergasan pemain sepanjang tempoh rehat Liga Super.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz51hvHpqbc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan