ARKIB : 28/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Selangor
mengesahkan mereka telah memiliki bekas trio Perak - Hamsani Ahmad, Nasril
Nourdin dan K. Nanthakumar sekali gus cuma meninggalkan dua lagi slot pemain
untuk menghadapi musim baru bola sepak Liga Malaysia, Januari ini.
Pengurus pasukan Gergasi Merah,
Zakaria Ab. Rahim berkata, mereka bertiga menandatangani kontrak dengan
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kira-kira dua minggu lalu dan khidmat
seorang lagi anggota skuad Seladang, Hardi Jaafar sedang cuba diusahakan.
Katanya, pemain tengah skuad
negara yang muncul naib juara Pestabola Merdeka Ke-40, Sabtu lalu itu
diperlukan untuk menjana serangan Selangor yang mengidamkan sekurang-kurangnya
dua kejuaraan, Piala Malaysia dan Liga Super pada musim 2009.
Selangor yang terlepas Piala
Malaysia dan Piala FA kepada Kedah musim 2007-2008, akan kembali menyaingi Sang
Kenari pada perlawanan sumbangsih pembuka tirai Liga M, Piala Sultan Ahmad Shah
di Stadium Darulaman, Alor Star pada 3 Januari depan.
"Satu lagi kuota pemain
Selangor juga adalah untuk pemain tengah menyerang atau penyerang,"
katanya yang mengakui, usaha mendapatkan seorang lagi penyerang negara,
Nizarudin Yusop dari Perlis sementara Rezal Zambery Yahya turut masih terikat
dengan Negeri Sembilan.
Sabtu lalu, skuad Liga M
Selangor yang tanpa tiga pemain negara - Safee Sali, Amirulhadi Zainal dan
Asraruddin Putra Omar, menewaskan skuad Piala Emas Raja-Raja senegeri 2-1 dalam
perlawanan persahabatan di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dengan jaringan
Rudie Ramli dan Amri Yahyah.
Gergasi Merah yang tidak lagi
menyambung khidmat jurulatih Dollah Salleh, kini diterajui oleh K. Devan, bekas
jurulatih Kuala Muda Naza, juara Liga Perdana 2007-2008 selain Negeri Sembilan
yang menjulang Piala FA 2003 dan Liga Super 2006.
Kesebelasan utama mereka Sabtu
lalu turut menampilkan ramai muka baru seperti Khairul Anuar Baharom, Fazli
Baharuddin, Sanjos Sundawat dan Fairul Azwan Shahrullai manakala bekas trio
Perak itu menurut Zakaria, bakal menyerta pasukan mulai 1 November ini.
Gandingan itu hanyalah
sebahagian daripada eksperimen awal dan pemanas badan Selangor yang turut
meletakkan pemain paling senior dalam pasukan, Amri sebagai ketua pasukan
sementara barisan serangan menampilkan Rudie dengan R. Surendren.
Mengenai kebenaran Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada semua negeri menggunakan pemain Liga M dalam
Piala Emas Raja-Raja yang bermula Jumaat ini, kata Zakaria: "Kami lebih
suka memberikan peluang kepada pemain baru menunjukkan bakat mereka kerana
mungkin mereka boleh diserapkan dengan kami, satu hari nanti.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz511rnEdz9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan