ARKIB : 17/11/2004
Tidak ada pilihan buat jurulatih, pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang sudah dilamar musim depan, hajat yang dipasang mesti menjadi kenyataan walau apa pun terjadi.
Skuad Merah Kuning jelas tidak lagi mahu berangan-angan dengan kekalutan musim ini yang cukup mengecewakan agar situasi tersebut tidak diulangi untuk kempen musim depan.
Selangor harus kembali dihormati itulah janji Pengurus Pasukan, Datuk Satim Diman yang mahu merealitikan skuad Merah Kuning bangkit musim depan.
``Selangor berbelanja besar adalah semata-mata mahu mengembalikan semula maruah bola sepak negeri ini.
``Dulu pasukan kita digeruni, disanjung dan dihormati tetapi situasi itu tidak lagi dialami, musim ini segalanya cukup mengecewakan,'' ujarnya.
Satim yakin kehadiran bekas jurulatih MPPJ, Dollah Salleh serta barisan pemain berkualiti yang dibeli daripada pasukan lain mampu merealitikan impian tersebut.
Beliau menegaskan, Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang juga Menteri Besar Selangor mahu FAS memastikan skuad Merah Kuning dinobatkan selaku juara untuk kempen musim depan.
Hasrat Mohamad Khir kata beliau, merupakan cabaran buat pegawai FAS, jurulatih dan pemain untuk merealitikan hajat yang diidamkan oleh Menteri Besar Selangor itu.
``Apa pun saya yakin kesemua mereka yang ditawarkan tempat untuk mengemudi Selangor musim depan dapat menunaikan hasrat tersebut,'' ujarnya.
Selangor dilihat pasukan yang mampu menggegar kempen bola sepak musim depan berdasarkan barisan pemain berstatus elit yang dimiliki.
Kelibat dua penggempur Perak, Mohd. Khalid Jamlus dan V. Saravanan sudah ditambat, selain kehadiran penyerang terbilang Indonesia, Bambang Pamungkas serta pemain import dari Argentina, Brian Fuentes sudah membayangkan jentera serangan Merah Kuning paling ampuh.
Kehadiran beberapa pemain seperti Jamsari Sabian (MPPJ); K. Sanbagamaran (Sabah); Nazzab Hidzan, Ahmad Tarmini Saiban (Telekom); K. Rajan (N. Sembilan) dan Eddy Helmi Manan (Johor) sudah membayangkan barisan Selangor sukar digugat.
Mengulas lanjut Satim berkata, beliau yakin barisan yang dimiliki oleh Selangor untuk mengharungi cabaran musim depan adalah yang terkuat berbanding musim ini.
``Apa yang penting Dollah perlu mengadunkan pemain yang ada untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap di semua posisi,'' ujarnya.
Jika Dollah tanpa pemain bergelar bintang ketika membantu MPPJ membuat kejutan menjulang Piala Malaysia musim lalu Satim yakin bekas pemain Merah Kuning, Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan itu mampu melakukannya.