Sabtu, 29 April 2017

Selangor tidak minat jurulatih import

ARKIB : 19/10/2004
SIAPA jurulatih baru skuad bola sepak Selangor musim depan masih menjadi teka teki sehingga kini.
Walau apa pun Selangor sudah tidak berminat dengan kelibat jurulatih import yang disifatkan gagal membawa skuad Merah Kuning ke mercu kejayaan.
Kegagalan Selangor musim ini menceritakan segalanya mengenai kehadiran jurulatih import tidak banyak membawa sebarang perubahan buat bekas juara Piala Malaysia sebanyak 29 kali itu.
Kehadiran jurulatih import, Omar Ruben Larrosa yang terpaksa disingkirkan sebelum tamat saingan, jelas tidak menjanjikan sebarang perubahan buat skuad Merah Kuning.
Pengajaran itu menjadikan Selangor kini lebih percaya kepada kepakaran jurulatih tempatan untuk mengemudi Selangor kembali dinobatkan antara pasukan yang bakal menggegar musim depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Hamidin Mohd. Amin berkata, tiga jurulatih tempatan telah disenarai pendek.
``Tetapi pada dasarnya Jawatankuasa Liga Pro Selangor lebih berminat ke atas satu calon yang layak untuk membimbing skuad itu.
``Keputusan mengenai jurulatih itu akan diputuskan sekembalinya pengurus pasukan Datuk Satim Diman dari mengerjakan umrah Khamis ini,'' ujarnya semalam.
Beliau berkata, jurulatih tempatan yang bakal ditambat oleh Selangor cukup dikenali dan berwibawa untuk mengembalikan semula kehebatan Selangor.
Tanpa memberitahu nama jurulatih tersebut, Hamidin berkata, rundingan di peringkat akhir dan pada dasarnya jurulatih itu sudah melahirkan hasrat untuk menerima tawaran Selangor.
Hamidin yakin kehadiran jurulatih itu mampu menyuntik semangat skuad Selangor yang musim ini melalui musim yang cukup mengecewakan.
``Selangor juga akan memberi kuasa penuh kepada jurulatih ini untuk menentukan kedudukan pemain musim ini sama ada akan dikekalkan untuk cabaran musim depan,'' tambahnya.
Jelasnya, Ken Worden akan kembali menggalas tugasnya sebagai penasihat Teknikal Selangor selepas mengambil alih tugas jurulatih skuad Merah Kuning daripada Ismail Ibrahim pertengahan musim ini.
Skuad Merah Kuning pada dasarnya tidak lagi berhajat untuk menawarkan kontrak kepada dua tenaga import, Darko Novacic dan Ante Kovacevic.
Begitupun penjaring terbanyak Liga Perdana dari Argentina, Brian Fuentes dijangka dikekalkan untuk cabaran musim depan.
Di samping itu, Selangor turut membayangkan lapan pemain musim ini akan disingkirkan.
``Apa pun keputusan kini terletak di tangan jurulatih baru Selangor untuk menentukan pemain yang dia fikirkan sesuai untuk cabaran musim depan,'' ujarnya.
Hamidin menjelaskan, FAS kini begitu serius dalam menentukan kedudukan Selangor agar tidak mengalami nasib yang serupa seperti yang dilalui musim ini.
Dalam saingan Piala FA, Selangor tersekat di pusingan ketiga kepada Terengganu selain turut gagal layak ke Liga Super setelah menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A.
Manakala dalam saingan Piala Malaysia pula Selangor gagal ke separuh akhir selepas ditewaskan oleh juara Liga Super musim ini, Pahang dengan agregat 3-1.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan