Sabtu, 29 April 2017

Selangor, Bambang meterai MoU

ARKIB : 26/10/2004
SELANGOR tampak semakin ghairah `berbelanja' untuk mendapatkan pemain dan jurulatih semata-mata mahu menggegar saingan bola sepak musim depan, lapor AMRAN MULUP.
Kegagalan musim ini menjelaskan cerita duka skuad gergasi bola sepak Piala Malaysia yang kehilangan taring.
Terbaru, penyerang berbisa Indonesia, Bambang Pamungkas bakal menjadi pemain import baru skuad Merah Kuning musim depan.
Bukan lagi omong kosong dan hanya menanti kontrak penyerang berbisa pasukan kebangsaan Indonesia dengan kelab yang diwakilinya Persija Jakarta berakhir Disember ini, barulah pemain itu akan mengikat kontrak dengan tawaran lumayan daripada Selangor.
Sebagai langkah awal, Selangor dan Bambang memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis ringkas di hadapan Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman di Jakarta, kelmarin.
Satim ketika mengesahkan mengenai perkara itu berkata, Bambang sudah bersetuju untuk mewakili Selangor musim depan.
``Saya bertemu dengan Bambang dalam pertemuan empat mata dengan segalanya berjalan lancar dan sememangnya Bambang berminat untuk bermain dengan Selangor.
``Kita tidak lagi sangsi, jika sebelum ini sekadar ura-ura Bambang mewakili Selangor musim lalu, tetapi kali ini kita mengambil langkah awal mengikat Bambang dengan menandatangani MoU,'' ujarnya ketika dihubungi, semalam.
Bambang adalah pemain yang menjadi pemusnah apabila jaringan tunggalnya meleburkan hajat Malaysia untuk mara ke perlawanan akhir Piala Tiger 2002.
Bambang, pemain kelab Persija Jakarta yang menjadi penjaring terbanyak di Piala Tiger cukup dikenali dan digeruni.
Satim menambah, kedua-dua belah pihak telah mencapai persetujuan pada pertemuan di Jakarta, kelmarin.
Ujarnya, ketika ini Bambang masih terikat kontraknya dengan Persija dan dijangka berakhir Disember ini.
Satim yakin kehadiran Bambang mampu memantapkan jentera serangan bekas juara Piala Malaysia sebanyak 29 kali itu apa lagi bergandingan dengan pemain Argentina, Brian Fuentes.
Dalam pada itu juga Satim turut mengumumkan tiga tonggak utama skuad bola sepak MPPJ dan seorang pemain dari Melaka akan menyarung jersi skuad Merah Kuning musim depan.
Katanya, Tiga pemain tersebut ialah penjaga gol, Jamsari Sabian, Aiman Firdaus dan Haris Safuan.
Satim menambah, manakala seorang lagi pemain yang ditambat oleh skuad Merah Kuning ialah Ahmad Tarminin Saiban dari Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan