ARKIB : 24/06/1998
REBUT... Pemain Kuala Lumpur,
S. Paidiya Rau (no.7) berebut bola dengan pemain Selangor, Mehmet Durakovic
sambil diperhatikan Nazzab Hidzan (kiri) dan P. Saravanan sewaktu perlawanan
pertama suku akhir bola sepak Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur,
Cheras, malam tadi. Kuala Lumpur menang 2-0. - Gambar SAIFUL BAHARI SHAARI.
JUARA bertahan, Selangor tewas
mengejut 2-0 kepada Kuala Lumpur pada perlawanan pertama suku akhir bola sepak
Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.
Pasukan tuan rumah jelas tidak
gentar berdepan dengan skuad Red Giants dengan mempamerkan permainan penuh
bertenaga sebaliknya setiap serangan Selangor yang diketuai Azman Adnan dan
Fidadi Mohamad serba tidak menjadi.
Di hadapan 1,500 penonton,
penyerang bertubuh kecil yang semakin meningkat, Meor Nor Shamsul Kamal memukau
Selangor dengan jaringan pembukaan pada minit ke-60 sebelum pemain tengah, P.
Saravanan menambah duka Selangor dengan gol kedua pada minit ke-83.
Sementara di Stadium Darulaman,
Kedah meletakkan sebelah kaki ke separuh akhir apabila menang besar 5-0 ke atas
Melaka.
Zam Zam Abu Bakar dan Mohd.
Rafdi Rashid masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-33, 49, 69 dan
85, manakala satu gol lagi disumbat oleh Mohd. Sofi Mohd. Isa, minit ke-79.
Permainan jelas dikuasai
pasukan pelawat yang tidak langsung memberi peluang Melaka untuk menembusi
benteng mereka.
Begitu pun, Kedah terpaksa
menunggu setengah jam untuk memecah kebuntuan apabila Zam Zam menyumbat masuk
gol pembukaan.
Di Stadium Likas, tuan rumah
Sabah menumpaskan Pulau Pinang 1-0 menerusi jaringan pemain import Veselin
Kovacevic pada minit ke-54.
Sabah menguasai permainan,
tetapi gagal menggunakan banyak peluang yang terhidang di depan mata untuk
menambah gol.
Gol Sabah diperolehi menerusi
sepakan sudut dari kiri gawang gol Pulau Pinang yang diambil Yap Wai Loon dan
ditanduk masuk Kovacevic.
Kemenangan itu sedikit sebanyak
menebus kekecewaan Sabah yang tewas kepada Pulau Pinang dalam Liga Perdana
Satu, musim ini.
Sabah tewas 1-0 dalam
perlawanan liga di Stadium Bandaraya dan seri 0-0 di Likas pada pusingan kedua.
Di Stadium Perak di Ipoh,
pasukan tuan rumah kecundang 3-1 kepada Johor.
Dua bekas penyerang kebangsaan,
Azmi Mohamad menjaringkan dua gol pada minit ke-31 dan 87 dan Rusdee Sulong
menambah gol ketiga Johor, minit ke-64.
Gol tunggal Perak dijaringkan
oleh penyerang import, Noel Kipre pada minit ke-44.
Perlawanan babak pertama
seimbang, tetapi Johor membuka jaringan menerusi Azmi sebelum Kipre menyamakan
kedudukan seminit sebelum waktu rehat.
Begitu pun, pasukan tuan rumah
seperti tenggelam punca pada babak kedua yang menyaksikan Johor menggunakan
peluang itu untuk menambah dua jaringan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0624&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4K03vJnf9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan