ARKIB : 29/08/1998
ENAM pemain Selangor yang kini
dalam sisatan pihak polis kerana dipercayai menjual beberapa perlawanan Liga
Perdana musim ini seharusnya lega dengan keputusan Majlis Mesyuarat Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS) semalam mengambil keputusan tidak memotong gaji dan
menggantung mereka daripada beraksi, lapor AMRAN MULUP.
Sebaliknya, FAS akan menunggu
hasil siasatan pihak polis sebelum mengambil sebarang keputusan drastik bagi
menentukan untung nasib keenam-enam pemain tersebut.
Enam pemain yang disyaki
mengatur beberapa perlawanan ialah penyerang termahal, Azman Adnan, Asmawi
Bakiri, Azlisham Ibrahim, K. Sanbagamaran dan Rusdi Suparman.
Menurut naib presiden FAS,
Datuk Mokhtar Ahmad FAS membuat aduan kepada pihak polis Rabu lepas selepas
mendapat maklumat daripada sumber yang tidak dikenali.
Katanya, sumber itu memberitahu
enam pemain terbabit di dakwa mengatur perlawanan ketika Selangor tumpas kepada
Kuala Lumpur di suku akhir Piala FA yang lalu.
''Arahan dikeluarkan oleh
Majlis FAS kepada jurulatih Ismail Zakaria untuk membuat laporan kepada pihak
polis.
''Bagi FAS kita mengambil sikap
tunggu dan lihat serta menunggu siasatan menyeluruh pihak polis ke atas dakwaan
tersebut,'' kata Mokhtar ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis FAS
dipangerusikan oleh presidennya Tengku Idris Shah di Kelab Shah Alam, semalam.
Katanya, pemain yang terbabit
dalam siasatan pihak polis masih menjalani latihan persiapan skuad Selangor
menghadapi pusingan pertama Kejohanan Kelab-Kelab Asia bertemu Angkatan Tentera
Singapura di tempat lawan 9 September ini.
Bagaimanapun katanya hanya dua
pemain iaitu K. Sanbagamaran dan Rusdi Suparman yang masih mengikuti latihan
Selangor.
''Cuma empat pemain Azman,
Shahril, Azlisham dan Asmawi tidak turun menjalani latihan. Mereka terpaksa
diketepikan daripada daripada rombongan ke Singapura kerana prestasi kurang
cemerlang,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4KHef1Pz4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan