PEMAIN Selangor tergamam selepas penyerang Pahang Pablo
Vranjican (kanan) menjaringkan gol kemenangan Tok Gajah, Sabtu lalu.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor yang kini berdepan prospek merekod
pencapaian Liga Super paling buruk sejak 2012 kini mengharapkan kejuaraan Piala
Malaysia untuk menyelamatkan kempen mereka musim ini.
Selepas hanya menduduki tempat keempat dengan baki dua
perlawanan liga, Selangor bukan saja gagal mengulangi pencapaian muncul naib
juara tiga tahun berturut-turut malah mungkin posisi skuad kendalian K Gunalan
itu boleh dipintas pasukan di belakangnya T-Team dan Kelantan.
Kekalahan terbaru kepada pasukan di tangga tercorot
Pahang 0-1 Sabtu lalu tidak mahu terus menghantui Red Giants yang akan bertemu
PKNS pada suku akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu ini di Stadium Shah Alam.
“Apa yang berlaku tidak seperti diharapkan kerana masalah
kecederaan pemain. Anda boleh lihat jadual padat, tapi bukan saja untuk kami
tapi semua pasukan.
“Menamatkan tempat ketiga dan keempat bukan bagus untuk
kami kerana bagi Selangor kami sepatutnya berada di tempat pertama atau kedua
atau ketiga. Kami ada perlawanan penting suku akhir Piala Malaysia jadi kami
kena fokus perlawanan dengan PKNS,” kata Gunalan yang kini bertindak sebagai
jurulatih sementara.
Selangor selaku juara bertahan selepas menjulang trofi
Piala Malaysia ke-33 memiliki sedikit kelebihan ke atas kelab Liga Perdana itu
selepas menang 4-3 pada suku akhir pertama.
Bagaimanapun apa yang mencetuskan kebimbangan Gunalan
adalah status dua pemain import Mauro Olivi dan Patrick Ronaldinho yang
mengalami kecederaan hingga terpaksa direhatkan ketika menentang Pahang.
“Untuk bermain dengan PKNS, kami kena bermain lebih baik
kerana PKNS pasukan yang bagus. Mereka menduduki tempat kedua dalam Liga
Perdana, merea bersemangat tinggi, saya kena buat rombakan.
“Saya harap Mauro dan Patrick dapat kembali untuk
membantu pasukan mencapai sesuatu sekurang-kurangnya Piala Malaysia, kami masih
ada satu lagi piala untuk dikejar jadi kena berikan yang terbaik ,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September
2016 @ 6:02 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan