ARKIB : 20/05/1998
Selangor menang tipis
SEKAT... Mehmet Durakovic
(kanan) dan Aizal Lamin menyekat gerakan salah seorang pemain Sarawak pada
perlawanan perlawawanan pertama pusingan kedua bola sepak Piala FA di Shah
Alam, malam tadi. - Gambar ASWAD YAHYA.
SELANGOR dianggap bernasib baik
dalam usaha mempertahankan gelaran yang disandang musim lalu apabila menewaskan
Sarawak 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah
Alam malam tadi.
Aksi paling membosankan
kedua-dua pasukan diselitkan lagi dengan kelemahan mutu pengadilan Mustaq Khan
dari Negeri Sembilan mencacatkan lagi persembahan dua gergasi itu.
Kemenangan Selangor
diselamatkan oleh sepakan penalti pemain dari Maghribi, Fidadi Mohamed pada
minit ke-65 selepas kedua-dua terikat 1-1 satu ketika.
Ia sekaligus menebus kekecewaan
Selangor selepas tunduk 1-3 kepada Sarawak pada perlawanan Piala Sumbangsih
April lalu. Selangor akan bertandang ke Stadium Sarawak untuk perlawanan kedua
9 Jun ini.
Di hadapan sekadar 5,000
penyokong yang nyaris pulang kehampaan dengan kepincangan sepanjang 90 minit
apa lagi kelemahan Mustaq Khan gagal mengawal perlawanan hingga mencetuskan
permainan kasar kedua-dua pasukan.
Sarawak beraksi tanpa Alistair
Edwards dan Shamsurin Abdul Rahman manakala Selangor tanpa ayam tambatan Azman
Adnan.
Benteng Sarawak yang dikemudi
oleh Doug Ithier hampir bolos pada minit ke-22 apabila rembatan kencang
Alexander Freeman yang kembali beraksi selepas pulih dari kecederaan tulang
rusuk sekadar menggegar tiang gol sebelah kiri.
Namun Fidadi lewat menyambar
bola lantunan itu.
Pelawat yang tertekan sempat
membalas serangan namun sepakan lencong Bobby Pian tidak menepati sasaran pada
minit ke-27.
Dua minit sebelum rehat
Selangor memecah kebuntuan apabila lorongan cantik Fidadi tangkas ditanduk
masuk oleh Mehmet Durakovic.
Selangor terpaksa beraksi
dengan sepuluh pemain selepas Mohd Rizal Hassan diperintah keluar padang kerana
kad kuning kedua.
Sarawak menyamakan kedudukan
1-1 selepas Ramles Sari melakukan sepakan volley menewaskan Azlisham pada minit
ke-54.
Fidadi meledakkan gol kedua
Selangor menerusi sepakan penalti selepas Mazlan Wahed menjatuhkan Rusdi
Suparman pada minit ke-65.
Di Stadium Darulaman, Alor
Setar, Jaringan Mohd. Nidzam Adzha Yusoff memastikan Kedah mencatatkan
kemenangan 1-0 ke atas Kelantan.
Kemenangan dengan gol tunggal
itu masih belum kukuh buat hijau kuning yang akan bertandang di Kota Baharu
bagi pusingan kedua pada 9 Jun ini.
Kelantan memperlihatkan corak
permain yang baik dan tersusun, berjaya menghalang beberapa percubaan bahaya
tuan rumah, Mohd. Rafdi Abdul Rashid, Andre Luis Nascimento dan juga pemain
pertahanan Mamadou Diallo.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4JOJSIN9O
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan