Selasa, 13 September 2016

Selangor belum rela lepas Piala Malaysia

ARKIB : 28/07/1998
SELANGOR masih belum rela mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan Piala Malaysia yang menobatkan mereka antara pasukan yang disegani ketika menjulang piala tiga musim berturut-turut, lapor AMRAN MULUP.

Kekalahan 0-2 kepada Kedah Sabtu lalu sekadar menyulitkan laluan juara Piala Malaysia musim lalu itu.

Namun Selangor yang kini menduduki tangga sembilan mengumpul 25 mata masih yakin kelebihan bermain di gelanggang sendiri mengharungi baki dua perlawanan mampu memihak kepada mereka.

Biarpun dua perlawanan bertemu Negeri Sembilan malam ini dan Pulau Pinang Sabtu depan dianggap bukan tugas mudah, namun pihak pengurusan Selangor tahu apa yang seharusnya dilakukan oleh pemain.

Pengurus pasukan, Datuk Mokhtar Ahmad masih yakin peluang Selangor untuk layak beraksi pada Piala Malaysia masih belum berkubur.

''Sekarang ini mereka perlu menang dua perlawanan yang tidak dianggap mudah. Kata semangat dan nasihat sudah diberikan kini terserah kepada pemain yang akan menentukan.

''Bagi saya tiada sebab Selangor tidak boleh menewaskan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Kini terserah kepada pemain yang akan menentukan untung nasib Selangor,'' ujar Mokhtar.

Lewat petang semalam, pertemuan singkat Mokhtar dengan pemain di padang Yayasan FAS sebagai agenda lazimnya, tetap melaungkan kata-kata perangsang bagi memastikan Negeri Sembilan bakal menjadi mangsa malam ini.

''Saya sudah beri nasihat serta kata-kata perangsang bagi membangkitkan semangat mereka dan saya harapkan sesuatu dapat dilakukan malam esok (malam ini),'' katanya.

Menurutnya, dua perlawanan di gelanggang sendiri seharusnya gunakan oleh pemain Selangor untuk menang.

Beliau menyifatkan kemenangan ke atas Negeri Sembilan lawan yang turut memburu tiga mata penuh bakal menerbitkan keyakinan baru sebelum berdepan dengan Pulau Pinang.

Buat Selangor, kekalahan keempat malam ini sudah pastinya bakal menyulitkan harapan untuk layak secara automatik ke Piala Malaysia.

''Kita kalah dengan Kedah kerana nasib. Pemain bermain dengan baik tetapi setiap percubaan tidak menepati sasaran,'' katanya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4KBXFlUqy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan