ARKIB : 08/08/1998
ENAM pemain bola sepak Selangor
telah disoal siasat oleh polis kerana disyaki terbabit dalam percubaan mengatur
keputusan perlawanan Liga Malaysia, kata sumber yang rapat dengan pemain, lapor
AMRAN MULUP.
Menurut sumber, keenam-enam
pemain itu mendapat surat daripada polis selepas perlawanan menentang Negeri
Sembilan dimana Selangor menang 4-0.
''Kesemua pemain itu sudah
disoal siasat tetapi tiada sebarang dakwaan dikenakan dibuat ke atas mereka.
Lagipun pihak polis dikatakan masih menjalankan siasatan,'' kata sumber itu
lagi.
Bagaimanapun, pengurus pasukan
Selangor Datuk Mokhtar Ahmad ketika ditemui sewaktu sesi latihan skuad Merah
Kuning di Stadium Shah Alam petang semalam, menafikan bahawa enam pemainnya
telah disoal siasat oleh pihak polis atas dakwaan menjual perlawanan.
''Setahu saya, FAS tidak
membuat laporan kepada pihak polis mengenai adanya pemain yang disyaki menjual
perlawanan.
''Dulu memang ada khabar-khabar
angin mengenai perkara itu tetapi kita tidak membuat sebarang laporan,''
ujarnya.
Ketika enam pemain masih dalam
siasatan polis, barisan Merah Kuning yang bakal beraksi malam ini mendapat
suntikan semangat apabila pihak pengurusan menjelaskan pembayaran bonus
sebanyak RM50,000.
Selain itu, Selangor turut
menjelaskan RM100,000 bayaran gaji pemain yang sering terlewat.
''Saya rasa tiada sebab
Selangor tidak boleh menewaskan Perak dengan jaringan yang besar malam esok
(malam ini). Bayaran bonus serta gaji sudah dijelaskan.
''Selain itu beberapa masalah
dalaman yang dikaitkan dengan pihak pengurusan juga sudah selesai sudah tiba
masanya Selangor tidak tercicir ke Piala Malaysia,'' katanya.
Biarpun dalam perlawanan liga,
Selangor tunduk kepada Perak dengan 2-1 dan 1-0, Mokhtar yakin perlawanan kali
ini bakal berpihak kepada Merah Kuning.
Jelasnya, ketika ini moral dan
semangat pemain begitu tinggi untuk memastikan kemenangan dengan jaringan yang
besar bakal berpihak kepada tuan rumah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KEq48atp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan