Sabtu, 10 September 2016

Merah Kuning tambah yakin

RKIB : 07/06/1998
Merah Kuning tambah yakin
NAZZAB Hidzan mengembalikan semula keyakinan dengan dua gol jaringannya memastikan langkah Merah Kuning kembali bertenaga apabila menewaskan Sarawak 2-1 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut diperoleh oleh Selangor musim ini selepas membenam Sabah 1-0 hasil jaringan Fidadi Mohamed, Selasa lalu.

Dua gol jaringan Nazzab pemain yang seringkali diketepikan dalam kesebelasan utama menghidupkan kembali perjuangan Selangor yang tampak semakin tenat ekoran persembahan buruk awal musim ini.

Begitupun, Sarawak membuka tirai jaringan awal menerusi Ramos Sari minit ke-34 namun Selangor bangkit dengan gol Nazzab (minit ke-49 dan 79) memastikan tiga mata penuh menjadi milik.

Rentak sumbang memulakan aksi kedua-dua pasukan apa lagi Sarawak terus beraksi tanpa penyerang utama Alistair Edwards dan Shamsurin Abd Rahman.

Selangor yang menurunkan Azman Adnan dan Mohd. Rizal Hassan sambil merehatkan Fidadi Mohamed yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Sabah Selasa lalu, gagal menggugat benteng pertahanan pelawat.

Pada minit ke-34 kebuntuan jaringan gol dileburkan oleh Sarawak menerusi jaringan cantik Ramos Sari.

Gol berpunca dari hantaran jauh kembarnya Ramles Sari tepat ke arah Ramos yang mendada bola terlebih dahulu di hadapan Aizal Lamin sebelum melepaskan rembatan menewaskan Abdul Hadi.

Nazzab tidak melepaskan hantaran sepakan sudut Aizal sambil berlari dia melakukan rembatan menewaskan Mazlan Wahid untuk gol penyamaan Selangor.

Nazzab sekali lagi bertindak cemerlang apabila menyumbang gol kedua Selangor pada minit ke-79.

Gol berpunca daripada rembatan awal Nazzab mengenai salah seorang pertahanan pelawat namun bola lantunan itu kembali kepadanya yang terus menyepak lencong menewaskan Mazlan.

SELANGOR: Abdul Hadi Tahir, Aizal Lamin, Mehmet Durakovic, Azzmi Aziz, Zainal Abidin Hassan, Abdul Rauf Ahmad, Mohd Ezmi Mohd. Jan (Shahril Arsat), Mohd. Rizal Hassan (Hairil Zamri Rashid), Asmawi Bakiri, Nazzab Hidzan, Azman Adnan (K. Gunalan).

SARAWAK: Mazlan Wahid, Ahmad Fairuz Yunus, Ibrahim Mantali, Mohd Dahlan Matussin, Roslan Ismail, Mohd. Zaidil Sakup (Bobby Pian), Ramles Sari, Ramos Sari, Bobby Chua, Doug Ithier, Mohd Ali Sapiee.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JsCsrJbr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan