Sabtu, 30 September 2017

Enam tonggak legakan Selangor



ARKIB : 22/06/2007
Enam tonggak legakan Selangor
KUALA LUMPUR – Kehadiran enam tonggak pelatih skuad bola sepak kebangsaan dapat menyuntik kekuatan lebih mantap Selangor berdepan Kedah dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.

Kelibat ketua pasukan Muhammad Shukor Adan, Fadzli Saari, Safee Sali, Akmal Rizal Rakhli, Syed Adney dan Amriul Hadi Zainal menjanjikan aksi paling ampuh bakal dipamerkan buat menyekat Kedah daripada mengisi slot ke perlawanan akhir pada 30 Jun ini.

Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya melepaskan keenam-enam tonggak Merah Kuning itu mengikuti latihan mulai hari ini, namun ia tidak akan menjejaskan persiapan rapi yang dirancang.

‘‘Tempoh satu sesi latihan petang esok (hari ini) tidak akan menjejaskan persiapan rapi kita lagi pun keenam-enam mereka adalah pemain profesional.

‘‘Apapun saya lega dengan kebenaran FAM memberi pelepasan kepada enam pemain kita beraksi berdepan Kedah malam esok,’’ katanya di sini, semalam.

Menurut Dollah, dia akan menyandarkan harapan kepada gandingan Akmal Rizal Rakhli dan Safee Sali selain dibantu dari belakang oleh Fadzli Saari dan Mohd. Amri Yahyah untuk mencari gol awal.

Dollah nyata yakin dengan kemampuan kelibat gandingan serangan ampuh Selangor itu dalam usaha mencari gol awal dan memadamkan defisit dua gol menjadi bekalan Kedah.

‘‘Kejituan corak permainan kedua-dua pemain itu cukup melegakan saya dan kali ini tuah akan memihak kepada kami tidak seperti nasib yang berlaku di Stadium Darul Aman minggu lalu.

‘‘Kita banyak mencipta peluang tetapi semua percubaan tidak menepati sasaran tetapi kali ini saya harap ia memihak kepada Selangor,’’ ujarnya.

Buat jurulatih itu, kesebelasan utama yang bakal diturunkan nanti jelas tidak tertekan sekali pun mereka menyedari ketinggalan dua jaringan.

‘‘Sebaliknya rata-rata pemain semakin bersemangat. Melihat aksi Selangor minggu lalu, saya optimis kelebihan bermain di tempat sendiri kita boleh menang dan layak ke akhir,’’ ujarnya.

Selangor kali terakhir dinobatkan selaku juara Piala FA pada 2005 apabila menewaskan Perak 4-2.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4uAExu6uK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 29 September 2017

Liga Super: Kedah unggul atasi Selangor



ARKIB : 03/06/2007
 
PEMAIN Kedah, Hasmawi Hassan (tengah) diasak pemain Selangor, P. Gunalan (kiri) ketika bergelut untuk merampas bola daripada Megat Amir Faizal dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Star, semalam. - Gambar ISMAIL KAMADIN.

KUALA LUMPUR – Pertembungan dramatik dua gergasi bola sepak jelas memihak kepada tuan rumah Kedah yang menewaskan Selangor 2-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.

Pertemuan kedua-dua pasukan sebagai pemanas badan sebelum mengharungi saingan separuh akhir Piala FA 16 Jun ini, menyaksikan kehebatan Kedah di hadapan 30,000 penonton memenuhi setiap ruang stadium.

Kemenangan itu memastikan Kedah terus menerajui takhta Liga Super dengan memungut 45 mata.

Hanya 14 minit babak berlangsung Kedah lebih awal memecah kebuntuan jaringan gol menerusi penyerang utamanya, Marlon Alex James.

Selangor terus terdesak apabila tuan rumah sekali lagi mempamerkan aksi menarik dengan giliran pemain veteran Hasmawi Hassan meledakkan jaringan kedua pada minit ke-35 selepas mendapat hantaran Nelson Sam Martin.

Bagaimanapun skuad Merah Kuning berjaya merapatkan jurang apabila pada minit ke-60 menerusi Akmal Rizal Rakhili yang merembat kencang dalam kotak penalti tuan rumah.

Di Stadium Perak, seperti diramalkan Perak mengutip tiga mata berharga untuk memberi tekanan kepada pendahulu Kedah apabila menewaskan Pahang 3-1.

Perak mengutip 43 mata sekadar dipisahkan dua mata di belakang Kedah yang membuka jaringan pertama menerusi Shahrul Nizam Mustafa pada minit kelima.

Namun bekas pemain skuad Seladang, V. Saravanan memadamkan kelebihan Perak apabila meledakkan jaringan penyamaan pada minit ke-25.

Keita Mandjou menjaringkan gol kedua di minit 80 dan Muhamad Fakri Shahrani melengkapkan gol ketiga pada minit ke-85.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu terus memberikan tekanan kepada Kedah menepati ramalan apabila menewaskan Melaka 4-0 untuk kekal di tangga ketiga.

Sharlei Miranda membuka jaringan buat Terengganu seawal minit ke-10 apabila merembat kencang penjaga gol Melaka, Mat Ibrahim Kamarun.

Tuan rumah menambah gol kedua di minit 63 menerusi Ahmad Shahril Zakaria dan gol ketiga menerusi sepakan penalti Zairol Anuar Zalani pada minit ke-84 manakala gol keempat jaringan Miranda di minit 89.

Di Stadium Sarawak, Telekom Melaka tidak menghadapi masalah apabila mudah membelasah Sarawak 5-2.

Chafswe Nsofwa meledakkan dua jaringan pada minit ke-25 dan 28 manakala ketua pasukan Hardi Jaafar pula di minit keenam, Mohd. Fazli Baharuddin pada minit 31 serta Debrah Derrik di minit 90.

Gol-gol tuan rumah pula dijaringkan oleh Romeo Kambar (19) dan Safri Amit (71).

Di Stadium Jcorp, Pasir Gudang Johor FC membuat kejutan apabila menewaskan Perlis 3-1.

Gol-gol Johor FC dijaringkan oleh Carpon Kolic (21), Mohd. Zaidi Adam (83) dan Gilbarto Silva (89) manakala gol sagu hati Perlis dijaringkan oleh Fakurazzi Daud pada minit ke-70.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4u8O5nAgL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor temu Kedah



ARKIB : 02/06/2007

REDUAN Sheikh Ahmad (kanan) membuka bola sambil diperhatikan oleh Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sewaktu membuat undian Piala FA, di Wisma FAM, Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Juara empat kali, Selangor mengharungi laluan paling getir apabila diundi bertemu Kedah tetapi langkah mudah buat naib juara musim lalu, Perlis bertemu Johor Pasir Gudang apabila memulakan kempen separuh akhir Piala FA.

Saingan separuh akhir pertama akan berlangsung 16 Jun dan saingan kedua 23 Jun manakala perlawanan akhir 30 Jun ini.

Pastinya pertemuan Kedah-Selangor bakal mencuri tumpuan ketika wajah jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim kelihatan ceria menghitung peluang cerah skuad Singa Utara berdepan kelab kerdil, Johor Pasir Gudang.

Selangor tanpa khidmat pemain import mampu melangkah ke separuh akhir manakala Kedah berada pada prestasi terbaik ketika ini. Selain ke separuh akhir Piala FA, mereka turut layak ke suku akhir Piala Malaysia dan menjadi pendahulu Liga Super.

Berbanding Selangor yang pernah bergelar juara pada 1991, 1997, 2001 dan 2005, Kedah mungkin belum pernah ke akhir apalagi bergelar juara.

Pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super malam ini dianggap sebagai pemanas badan menjelang separuh akhir.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui pertemuan dengan Kedah menjanjikan aksi sengit apalagi dengan kedudukan pasukan lawan yang berada pada prestasi terbaik ketika ini.

Begitupun Dollah turut mengakui betapa anak didiknya turut berada pada prestasi terbaik apa lagi tanpa khidmat pemain import mampu melangkah ke separuh akhir dan suku akhir Piala Malaysia.

‘‘Kami menghormati Kedah namun peluang ini tidak akan disia-siakan,’’ ujar Dollah.

Jurulatih Kedah, Azrai Khor Abdullah turut mengakui pasukannya berdepan ujian paling rumit menentang Selangor.

‘‘Walaupun tidak memiliki pemain import, mereka mampu mara sehingga ke peringkat separuh akhir,’’ kata beliau.

‘‘Saya tidak sama sekali memandang rendah keupayaan Selangor mereka wajar diberikan perhatian serius,’’ ujarnya lagi.

Buat Azrai, peluang hadir di separuh akhir tidak akan disia- siakan apa lagi Kedah tidak pernah muncul juara atau mara ke perlawanan akhir Piala FA sejak bermula pada 1990.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u8ExMawc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 24 September 2017

Selangor, NS mara ke suku akhir



 
ARKIB : 06/05/2007
PENYERANG Perlis, Azlan Ismail (tengah) dihalang oleh dua pemain pertahanan Kuala Lumpur, Khairan Ezuan Razali (kanan) dan Ahamad Nordin Alias dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam tadi. – Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.

KUALA LUMPUR – Pasukan yang penuh dengan tradisi silam menjulang Piala Malaysia, Selangor dan Negeri Sembilan Naza muncul dua pasukan terawal mengesahkan tempat ke suku akhir, semalam.

Selangor dengan bergaya menewaskan Johor FC 3-0 di Stadium Shah Alam untuk meraih 19 mata manakala Negeri Sembilan menundukkan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya, semalam.

Kemenangan buat Negeri Sembilan memastikan anak didik Hatem mengutip 18 mata untuk memintas Terengganu selaku pendahulu Kumpulan B.

Selangor tidak berdepan tugas berat apabila mudah menjinakkan Johor FC 3-0 di Stadium Shah Alam.

Penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli muncul hero buat skuad Merah Kuning apabila mencipta dua jaringan pada minit ke-27 dan 56.

Pemain tengah kebangsaan, Muhammad Shukor Adan menambah gol ketiga Selangor pada minit ke-78 sudah cukup menceriakan.

Di Stadium Utama, Kangar peluang Perlis untuk mara ke suku akhir tampak menyukarkan setelah tewas mengejut 2-1 kepada Kuala Lumpur.

Azlan Ismail membuka jaringan awal Perlis pada minit ke-51.

Hasil gerakan cantik Faizal Esahar yang melorongkan bola tepat dirembat kencang oleh Azlan untuk menggegar jaring.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur dapat mengikat kedudukan 1-1 menerusi Mohd. Ivan Yusof pada minit ke-88.

Leemey Kevin Andre muncul hero pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma dari jarak 30 meter melencong masuk di minit ke-90.

Di Stadium Dato’ Hasan Yunus, Larkin, Telekom Melaka (TMFC) kembali menghidupkan peluang ke suku akhir selepas menundukkan Johor Pasir Gudang 2-0.

Kemenangan itu membolehkan TMFC menduduki tangga kedua di belakang Selangor yang memperoleh jaringan menerusi Rudie Ramli (m-10) dan Chaswe Nsofwa (m-83).

Dalam Kumpulan B, Negeri Sembilan mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengalahkan Pulau Pinang 2-1.

Pelawat membuka jaringan menerusi sepakan penalti Rizal Zambery Yahya pada minit ketiga setelah penjaga gol tuan rumah, Mohd. Faizal Yusof menjatuhkan Vithezlav Mooc.

Kedudukan Negeri Sembilan tambah mantap apabila Anuar Jusoh menambah gol kedua menerusi jaringan cantik pada minit ke-43.

Tuan rumah yang tertekan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Azrol Ahmad di minit ke-47.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, hajat Terengganu untuk mara ke suku akhir tertangguh apabila tewas mengejut 1-2 kepada Kelantan.

Sharlei Miranda mencipta jaringan awal buat tuan rumah pada minit ke-57.

Namun, Kelantan menyamakan kedudukan menerusi Md. Safuan Ibrahim menerusi sepakan pada minit ke-69.

Gol kemenangan Kelantan dijaringkan oleh Md. Faizol Che Noh pada minit ke-76.

Di Stadium TLDM Lumut, Melaka turut mencerahkan peluang ke suku akhir apabila menang 2-0 ke atas ATM.

Melaka kini menduduki tangga ketiga di belakang Negeri Sembilan Naza dan Terengganu apabila memungut 16 mata.

Dalam Kumpulan C, Perak nyaris tewas tetapi dua gol lewat permainan membantu skuad seladang mengikat keputusan seri 2-2 berdepan Sarawak di Stadium Sarawak.

Perak perlu menewaskan Kedah dalam perlawanan terakhir jika berhajat mara ke suku akhir.

Sarawak mendahului 2-0 pada satu ketika menerusi Robert Eshun pada minit ke-17 yang menjadikan Perak terkejut seketika.

Kedudukan Sarawak tambah kukuh dengan giliran Ideris Untung pula mencipta jaringan kedua pada minit ke-86.

Tuan rumah seakan bakal pulang membawa tiga mata penuh namun dua gol Perak menerusi Traore Abdolaye (m-88) dan Keita Mandjou (m-90) menyelamatkan pelawat daripada tewas.

Di Stadium Likas, Sabah mencerahkan harapan untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan Pahang 3-0.

Gol pertama Sabah menerusi sepakan penalti Charles Obi pada minit ke-10 dan gol kedua di minit 65 oleh Prince Atide.

Gol ketiga Sabah jaringan pemain Pahang, Khairul Shah Mohamad pada minit ke-90

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tZwuda6P© Utusan Melayu (M) Bhd