Ahad, 24 September 2017

Selangor, NS mara ke suku akhir



 
ARKIB : 06/05/2007
PENYERANG Perlis, Azlan Ismail (tengah) dihalang oleh dua pemain pertahanan Kuala Lumpur, Khairan Ezuan Razali (kanan) dan Ahamad Nordin Alias dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam tadi. – Gambar Nidzuwan Zainal Abidin.

KUALA LUMPUR – Pasukan yang penuh dengan tradisi silam menjulang Piala Malaysia, Selangor dan Negeri Sembilan Naza muncul dua pasukan terawal mengesahkan tempat ke suku akhir, semalam.

Selangor dengan bergaya menewaskan Johor FC 3-0 di Stadium Shah Alam untuk meraih 19 mata manakala Negeri Sembilan menundukkan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Bandaraya, semalam.

Kemenangan buat Negeri Sembilan memastikan anak didik Hatem mengutip 18 mata untuk memintas Terengganu selaku pendahulu Kumpulan B.

Selangor tidak berdepan tugas berat apabila mudah menjinakkan Johor FC 3-0 di Stadium Shah Alam.

Penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli muncul hero buat skuad Merah Kuning apabila mencipta dua jaringan pada minit ke-27 dan 56.

Pemain tengah kebangsaan, Muhammad Shukor Adan menambah gol ketiga Selangor pada minit ke-78 sudah cukup menceriakan.

Di Stadium Utama, Kangar peluang Perlis untuk mara ke suku akhir tampak menyukarkan setelah tewas mengejut 2-1 kepada Kuala Lumpur.

Azlan Ismail membuka jaringan awal Perlis pada minit ke-51.

Hasil gerakan cantik Faizal Esahar yang melorongkan bola tepat dirembat kencang oleh Azlan untuk menggegar jaring.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur dapat mengikat kedudukan 1-1 menerusi Mohd. Ivan Yusof pada minit ke-88.

Leemey Kevin Andre muncul hero pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma dari jarak 30 meter melencong masuk di minit ke-90.

Di Stadium Dato’ Hasan Yunus, Larkin, Telekom Melaka (TMFC) kembali menghidupkan peluang ke suku akhir selepas menundukkan Johor Pasir Gudang 2-0.

Kemenangan itu membolehkan TMFC menduduki tangga kedua di belakang Selangor yang memperoleh jaringan menerusi Rudie Ramli (m-10) dan Chaswe Nsofwa (m-83).

Dalam Kumpulan B, Negeri Sembilan mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengalahkan Pulau Pinang 2-1.

Pelawat membuka jaringan menerusi sepakan penalti Rizal Zambery Yahya pada minit ketiga setelah penjaga gol tuan rumah, Mohd. Faizal Yusof menjatuhkan Vithezlav Mooc.

Kedudukan Negeri Sembilan tambah mantap apabila Anuar Jusoh menambah gol kedua menerusi jaringan cantik pada minit ke-43.

Tuan rumah yang tertekan berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Azrol Ahmad di minit ke-47.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, hajat Terengganu untuk mara ke suku akhir tertangguh apabila tewas mengejut 1-2 kepada Kelantan.

Sharlei Miranda mencipta jaringan awal buat tuan rumah pada minit ke-57.

Namun, Kelantan menyamakan kedudukan menerusi Md. Safuan Ibrahim menerusi sepakan pada minit ke-69.

Gol kemenangan Kelantan dijaringkan oleh Md. Faizol Che Noh pada minit ke-76.

Di Stadium TLDM Lumut, Melaka turut mencerahkan peluang ke suku akhir apabila menang 2-0 ke atas ATM.

Melaka kini menduduki tangga ketiga di belakang Negeri Sembilan Naza dan Terengganu apabila memungut 16 mata.

Dalam Kumpulan C, Perak nyaris tewas tetapi dua gol lewat permainan membantu skuad seladang mengikat keputusan seri 2-2 berdepan Sarawak di Stadium Sarawak.

Perak perlu menewaskan Kedah dalam perlawanan terakhir jika berhajat mara ke suku akhir.

Sarawak mendahului 2-0 pada satu ketika menerusi Robert Eshun pada minit ke-17 yang menjadikan Perak terkejut seketika.

Kedudukan Sarawak tambah kukuh dengan giliran Ideris Untung pula mencipta jaringan kedua pada minit ke-86.

Tuan rumah seakan bakal pulang membawa tiga mata penuh namun dua gol Perak menerusi Traore Abdolaye (m-88) dan Keita Mandjou (m-90) menyelamatkan pelawat daripada tewas.

Di Stadium Likas, Sabah mencerahkan harapan untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan Pahang 3-0.

Gol pertama Sabah menerusi sepakan penalti Charles Obi pada minit ke-10 dan gol kedua di minit 65 oleh Prince Atide.

Gol ketiga Sabah jaringan pemain Pahang, Khairul Shah Mohamad pada minit ke-90

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tZwuda6P© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan