Sabtu, 9 September 2017

Selangor kekal tanpa pemain import



 
ARKIB : 16/11/2006
PEMAIN Selangor, D. Surendren (kiri) terjatuh selepas diasak hebat pemain pertahanan Polis pada perlawanan persahabatan di padang PKNS, Kelana Jaya, kelmarin. Selangor menang 2-1.

KUALA LUMPUR – Biarpun ada desakan yang mahukan pihak pengurusan skuad Merah Kuning menggunakan khidmat pemain import bagi mengharungi musim 2006/07, namun Selangor tidak akan berganjak daripada keputusan asal.

Luahan peminat dan pemerhati skuad Selangor bimbang barisan muda tidak akan mampu bersaing mengimbangi pemain berpengalaman dan import pasukan elit dalam Liga Super seperti Perlis, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kedah.

Sebaliknya, Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman melahirkan rasa yakin barisan muda yang memikul cabaran skuad itu mampu memberikan saingan dan melakukan kejutan apabila kempen Liga Malaysia bermula 16 September ini.

‘‘Saya yakin barisan muda Selangor mampu bersaing hebat dengan pasukan elit dalam Liga Super sebagai permulaan musim baru untuk tempoh jangka panjang.

‘‘Setakat ini saya melihat aksi mereka dalam dua perlawanan persahabatan. Barisan muda ini mempunyai semangat juang kental berpasukan.

‘‘Ini sudah membayangkan mereka mampu bersaing dengan pasukan elit dalam Liga Super,’’ ujarnya di sini, semalam.

Kelmarin, barisan muda Selangor mencatat kemenangan 2-1 ke atas Polis dalam perlawanan persahabatan di padang PKNS, Kelana Jaya.

Selangor membuka jaringan menerusi Abdul Hadi Yahya pada minit ke-40 sebelum Polis menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-50 dan gol kemenangan Selangor dijaringkan oleh Sofan Abdullah pada minit ke-85.

Biarpun tidak membariskan dua ayam tambatan - Mohd. Safee Mohd. Sali dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli, barisan muda Merah Kuning tampak bertenaga.

Malah, gandingan Mohd. Amri Yahyah dan penyerang muda Abdul Hadi sering mengucar-kacirkan benteng Polis yang dikemudi bekas pemain Negeri Sembilan, B. Rajanikandh.

Pada perlawanan pertama sebelum ini Selangor mencatat keputusan seri 1-1 bertemu skuad Malaysia Bawah 23 yang dalam persiapan rapi menghadapi Sukan Asia di Doha.

Satim berkata, ujian sebenar barisan muda Merah Kuning akan diuji pada Kejohanan Piala Gabenor di Jakarta bulan depan.

Kejohanan itu kata beliau akan menguji kemampuan sebenar Selangor untuk mengharungi saingan Liga Super musim baru ini

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sEAFs2nc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan