ARKIB : 02/06/2007
REDUAN Sheikh Ahmad (kanan)
membuka bola sambil diperhatikan oleh Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sewaktu
membuat undian Piala FA, di Wisma FAM, Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Juara empat
kali, Selangor mengharungi laluan paling getir apabila diundi bertemu Kedah
tetapi langkah mudah buat naib juara musim lalu, Perlis bertemu Johor Pasir
Gudang apabila memulakan kempen separuh akhir Piala FA.
Saingan separuh akhir pertama
akan berlangsung 16 Jun dan saingan kedua 23 Jun manakala perlawanan akhir 30
Jun ini.
Pastinya pertemuan Kedah-Selangor
bakal mencuri tumpuan ketika wajah jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim
kelihatan ceria menghitung peluang cerah skuad Singa Utara berdepan kelab
kerdil, Johor Pasir Gudang.
Selangor tanpa khidmat pemain
import mampu melangkah ke separuh akhir manakala Kedah berada pada prestasi
terbaik ketika ini. Selain ke separuh akhir Piala FA, mereka turut layak ke
suku akhir Piala Malaysia dan menjadi pendahulu Liga Super.
Berbanding Selangor yang pernah
bergelar juara pada 1991, 1997, 2001 dan 2005, Kedah mungkin belum pernah ke
akhir apalagi bergelar juara.
Pertemuan kedua-dua pasukan
dalam saingan Liga Super malam ini dianggap sebagai pemanas badan menjelang
separuh akhir.
Jurulatih Selangor, Dollah
Salleh mengakui pertemuan dengan Kedah menjanjikan aksi sengit apalagi dengan
kedudukan pasukan lawan yang berada pada prestasi terbaik ketika ini.
Begitupun Dollah turut mengakui
betapa anak didiknya turut berada pada prestasi terbaik apa lagi tanpa khidmat
pemain import mampu melangkah ke separuh akhir dan suku akhir Piala Malaysia.
Kami menghormati Kedah namun
peluang ini tidak akan disia-siakan, ujar Dollah.
Jurulatih Kedah, Azrai Khor
Abdullah turut mengakui pasukannya berdepan ujian paling rumit menentang
Selangor.
Walaupun tidak memiliki
pemain import, mereka mampu mara sehingga ke peringkat separuh akhir, kata
beliau.
Saya tidak sama sekali
memandang rendah keupayaan Selangor mereka wajar diberikan perhatian serius,
ujarnya lagi.
Buat Azrai, peluang hadir di
separuh akhir tidak akan disia- siakan apa lagi Kedah tidak pernah muncul juara
atau mara ke perlawanan akhir Piala FA sejak bermula pada 1990.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4u8ExMawc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan