Khamis, 31 Januari 2019

Selangor rampas teraju liga


ARKIB : 10/05/2011
 
PEMAIN Kedah, Mohd. Azmi Muslim (tengah) dicabar dua pemain Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.
KUALA LUMPUR - Selangor merampas semula teraju carta persaingan bola sepak Liga Super 2011 biarpun sekurang-kurangnya mungkin buat sehari selepas menundukkan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

Dengan Kelantan hanya akan menentang Negeri Sembilan hari ini, anak buah K. Devan melangkau pencabar terdekatnya dengan memungut 42 mata hasil jaringan Fadzli Saari dan Rudie Ramli pada minit ke-59 dan ke-87.

Buat seketika, Merah Kuning agak selesa di tangga teratas apatah lagi dibantu dengan kekalahan pencabar dari tempat ketiga, Terengganu 2-1 kepada Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Kekalahan Kedah pula membuka peluang Perak memintasnya di tangga keempat biarpun terpaksa mengikat Harimau Muda A 1-1 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan penyamaan Wan Hossen Wan Ghani pada minit ke-47.

Seladang dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pemain skuad Bawah 21 negara, Gary Steven Robbat selepas menyudahkan hantaran Ferris Danial dari sebelah kiri pada penghujung babak pertama.

Perak terikat 28 mata dengan Kedah tetapi dipisahkan menerusi perbezaan gol sementara Harimau Muda A kekal di tangga ketujuh liga tetapi cuba disaingi Johor FC yang turut berkongsi 23 mata.

Gol Indra Putra Mahayuddin dan Badrul Hisani Rahman pada minit kedua dan 86 pula menjulang T-Team ke tangga kesembilan setelah menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bekas pemain negara, Liew Kit Kong terlepas peluang merapatkan jurang gol gara-gara mensia-siakan sepakan penalti pelawat yang diperoleh dalam masa kecederaan babak kedua.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eAlCNKah
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 30 Januari 2019

Selangor enggan lepas takhta, Perak tumbang


ARKIB : 30/04/2011
 
PEMAIN Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ri (kanan) dihalang pemain Selangor, P. Gunalan (kiri) dan Mohd. Asraruddin Putra Omar (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

KUALA LUMPUR – Selangor hampir melepaskan teraju Liga Super namun berjaya bertahan untuk seri 1-1 dengan Terengganu pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Selangor mempamerkan rentak agresif pada babak pertama terlebih dahulu mengambil giliran mendahului menerusi Safiq Rahim pada minit ke-43.

Hantaran Amri Yahyah berjaya memperdayakan pertahanan Terengganu yang menyangka Safiq berada pada kedudukan ofsaid, sebelum kapten Harimau Malaya itu melepaskan rembatan yang mudah menewaskan Sharbinee Allawee.

Bermula babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya pada minit ke-62, gol penyamaan yang dicari-cari akhirnya menjelma.

Gol berpunca daripada hantaran silang Joseph Kalang Tie yang disudahkan oleh Ismail Faruqi menerusi satu tandukan menarik yang menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Saiful Amar Sudar.

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh Terengganu pada 20 minit terakhir perlawanan, Selangor menarik nafas lega kerana barisan hadapan Terengganu banyak mensia-siakan peluang mendapatkan gol kemenangan.

Namun, kedudukan Selangor selaku pendahulu mungkin sementara jika Kelantan berjaya mencipta kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohammed IV hari ini.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Kedah, yang mendapat sentuhan pertama Wan Jamak Hassan.

Mohd. Khyril Muhymeen meletakkan Kedah di depan pada minit ke-30 sebelum Mohd. Firdaus Faudzi menambah derita skuad tuan rumah dengan gol kedua pada minit ke-75.

Pertahanan tuan rumah, Mohd. Syazwan Roslan membunuh semangat rakan sepasukan dan 15,000 penyokong setia Kejor Yob Kejor apabila menjaringkan gol sendiri pada minit ke-82.

Mohd. Hazrul Mustafa memberikan jaringan sagu hati Perak pada minit ke-90.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e97ncor2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor kukuh teraju Kelantan belasah Perlis

ARKIB : 20/04/2011
 
Pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah (kanan) diasak pemain Sabah, Rosdin Wasli pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.
KUALA LUMPUR - Jaringan tunggal Azidan Sarudin menyelamatkan Selangor untuk terus kukuh menerajui carta bola sepak Liga Super 2011 setelah mereka menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Gol dan tiga mata idaman Gergasi Merah itu terhasil daripada rembatan rendah sepakan percumanya minit ke-72 yang gagal ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Syed Adney Syed Hussein.

Kemenangan tipis ini menjarakkan anak buah K. Devan di tangga teratas dengan mengumpul 29 mata setelah pencabar terdekat, Terengganu mengikat Perak 1-1 di Stadium Perak, Ipoh tetapi masih kekurangan empat mata.

Kegembiraan Seladang yang mendapat gol pendahuluan Safiq Jamal pada minit kelapan dilenyapkan langsung dengan jaringan penalti Abdul Hadi Yahya, minit ke-59.

Lebih parah ialah apabila kegagalan meraih tiga mata itu membolehkan Kelantan pula memintasnya di tangga ketiga setelah Wira Merah membelasah Perlis 5-1 di Stadium Utama, Kangar.

Jaringan hatrik ketua pasukan, Badri Radzi pada minit ke-46, 66 dan 78 serta dua gol Norshahrul Idlan Talaha (6 dan 43) melonjakkan skuad M. Karathu dengan 24 mata sambil mengekori Terengganu.

Kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pula membawa Felda United ke tempat keenam liga sambil memintas Harimau Muda A hasil dua jaringan Azrul Ahmad pada minit keenam dan 12.

Hasrat Azraai Khor Abdullah melihat kemenangan sulung Negeri Sembilan di bawah bimbingannya hasil jaringan Idris Karim pada minit ke-10, tidak kesampaian kerana diikat 1-1 oleh pemain Pahang, Famirul Asraf Sayuti pada minit ke-79.

Si Rusa terpaksa bermain dengan 10 orang dalam sebahagian besar perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan itu angkara kehilangan Hairuddin Omar pada minit ke-27 yang dikenakan kad merah.

Pertembungan T-Team dengan Johor FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu berkesudahan seri 1-1 masing-masing menerusi jaringan Mohd. Shahrul Ezrain (10) dan Shahrizal Saad (48).



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e6LNL6Wo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rajagobal tak tutup pintu pemain senior


ARKIB : 20/04/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

K. Rajagobal masih membuka ruang buat pemain senior untuk menyertai skuad negara namun bergantung pada prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia.

KUALA LUMPUR - Tiada istilah 'tutup pintu' buat mana-mana bekas pemain kebangsaan yang mahu beraksi bersama Harimau Malaya jika mereka menunjukkan prestasi cemerlang bersama pasukan negeri masing-masing dalam saingan Liga Super.

Pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal berkata, dia sentiasa memantau semua pemain yang beraksi dalam liga, bagi mendapat maklumat terkini mengenai prestasi mereka.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan semua pemain, jika ada antara mereka yang mempamerkan prestasi konsisten, saya sedia memberi peluang dengan memanggil mereka menjalani latihan skuad kebangsaan, seperti mana yang saya pernah buat sebelum ini.

"Ini termasuk pemain-pemain senior, saya sesekali tidak akan bersikap menutup pintu terus kepada mereka, itulah falsafah saya, " katanya yang dihubungi, semalam.

Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai peluang penyerang Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan, memandangkan bekas penyerang negara itu semakin menyerlah musim ini.

Akmal telah menjaringkan 10 gol dalam 16 penampilan bersama Perak dan banyak menjadi penggerak serangan skuad Kejor Yob Kejor.

Rajagobal memberitahu, peluang Akmal tetap ada namun dia tidak boleh menyatakannya sekarang kerana liga masih berjalan dan dia akan memutuskannya apabila masa telah sesuai.

"Tak boleh cakap sekarang, benda seperti ini kena ambil masa sebelum saya boleh memutuskannya, bukan sahaja Akmal Rizal tetapi juga kepada pemain-pemain lain.

"Saya kena perhatikan betul-betul jika mahu memanggil mereka, banyak perkara yang perlu saya fikirkan, " katanya.

Rajagobal juga berkata dia belum dapat membuat keputusan skuad yang mana akan diturunkan seandainya tarikh 21 Julai berdepan Chelsea menjadi kenyataan dan dalam masa sama, Malaysia berjaya mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura pada 23 Julai.

"Saya tahu tarikh dua perlawanan itu terlalu hampir tetapi hal tersebut saya belum bincangkan lagi dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Buat masa ini fokus saya ialah untuk menghadapi Taiwan terlebih dahulu pada 29 Jun depan, " katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5e6ErZAaQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

'Selangor mampu kekal juara'


ARKIB : 18/04/2011
Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
SHAH ALAM - Kejayaan Selangor menewaskan Perak 1-0 di sini, kelmarin membuktikan Red Giants masih berupaya mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenanginya musim lalu.

Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kemenangan itu juga membolehkan pasukannya kembali berada di tangga teratas liga dengan 26 mata selepas bekerja keras untuk menundukkan Perak di Stadium Shah Alam.

Tambah Devan, Selangor juga akan cuba memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mendapatkan mata penuh apabila melayan kunjungan Sabah, esok.

''Sebelum perlawanan menentang Perak, ramai yang beranggapan Perak mampu melakukan kejutan lagi selepas menewaskan Kelantan dengan keputusan 4-0.

''Namun, tanggapan itu meleset apabila kami yang memperoleh kemenangan dan ini juga menunjukkan Selangor masih mampu untuk mengekalkan kejuaraan musim lalu,'' katanya selepas tamat perlawanan di Shah Alam, sini, kelmarin.

Kelmarin, Selangor dan Perak bermain dengan seimbang pada separuh masa pertama, namun pada babak kedua perlawanan skuad bimbingan Devan lebih banyak melakukan serangan berbahaya selain berupaya menghuru-harakan pertahanan pasukan lawan.

Gol kemenangan Selangor diperoleh pada minit ke-68 melalui rembatan kencang Safiq yang memanfaatkan peluang kecuaian Perak.

Sementara itu, jurulatih Perak, Norizan Bakar turut mengakui pasukannya agak cuai di bahagian pertahanan sehingga membolehkan tuan rumah melakukan beberapa percubaan berbahaya.

''Ini bukanlah perlawanan terakhir kami dalam liga musim ini dan kita akan cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan selepas ini,'' kata Norizan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e69bs4gB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor kembali terajui liga Super

ARKIB : 17/04/2011
 
Pemain Selangor Amirulhadi Zainal (kiri) menanduk bola sambil diasak pemain Perak, Mohd. Noor Hazrul pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam semalam.

KUALA LUMPUR - Selangor merampas semula teraju carta saingan bola sepak Liga Super 2011 daripada Terengganu yang bermain lebih awal kelmarin setelah menundukkan Perak 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Rembatan kaki kanan ketua pasukan negara, Safiq Rahim pada minit ke-68 yang memanfaatkan keadaan kelam-kabut depan gol, memadai untuk melonjakkan Gergasi Merah mengumpul 26 mata setakat ini berbanding Terengganu 24 mata.

Kemenangan anak buah K. Devan ini turut menunda langkah skuad Seladang di tangga ketiga, yang turut mengidam ke tangga teratas selain Kelantan dari tangga keempat setelah Wira Merah sekadar seri 0-0 dengan Sabah di Kota Bharu.

Perlawanan di Stadium Sultan Muhammed IV itu turut menyaksikan jurulatih Sabah, Gary Phillips diarah meninggalkan bangku simpanan pasukan kerana mendapat kad merah setelah membantah keputusan pengadil pada minit ke-22.

Kegagalan Kelantan mengutip tiga mata itu membolehkan Kedah merapati di tangga keempat setelah menundukkan Pahang 1-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar menerusi jaringan V. Thirumurugan, minit ke-56.

Jaringan tunggal Irfan Fazail pula memastikan skuad bawah 22 tahun negara, Harimau Muda A merampas tangga keenam milik Felda United apabila mengatasi kelab Johor, Johor FC 1-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Kuala Lumpur mengejutkan T-Team 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sementara Perlis menghampakan hasrat Negeri Sembilan mengutip kemenangan sulung di bawah jurulatih baru, Azraai Khor Abdullah dengan menewaskan pelawat 3-2 di Stadium Utama, Kangar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5e684BtSV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 23 Januari 2019

Fadzli senjata terbaru Selangor


ARKIB : 13/01/2011
KUALA LUMPUR - Keputusan K. Devan mengambil kembali Mohd. Fadzli Saari untuk memperkuatkan pasukan Selangor pada saingan Liga Malaysia 2011 mungkin mengundang sedikit kekeliruan di kalangan penyokong Red Giants.

Sudah 'berkarat', tidak konsisten dan malas bergerak, itu antara alasan-alasan utama diberikan oleh peminat setia Merah Kuning, yang beranggapan dia tidak layak lagi beraksi di dalam sebuah skuad hebat seperti Selangor.

Bagaimanapun, itu hanya penilaian kasar yang mungkin difikirkan oleh peminat, sebaliknya buat Devan, dia lebih arif terhadap kemampuan sebenar Fadzli yang pernah menyarung jersi Selangor selama tiga musim dari tahun 2006 hingga 2008.

Menurutnya, Fadzli bakal menjadi taruhan terbaru Selangor ketika situasi set-piece berdasarkan kelebihan fizikal dan berkeupayaan mendapatkan gol melalui tandukan.

''Pada musim lalu, kami agak sedikit lemah dalam situasi perebutan bola di udara dan percubaan mendapatkan gol melalui set-piece, kehadiran Fadzli saya jangka akan banyak membantu Selangor dalam aspek terbabit.

''Fadzli boleh menjadi senjata terbaru kami dalam memburu gol ketika situasi sepakan sudut atau sepakan percuma.

''Dia telah membuktikan prestasinya masih di puncak selepas menjaringkan 17 gol bersama KL Plus pada saingan musim lalu dan atas faktor itu, saya tertarik mendapatkan khidmatnya kembali ke Selangor,'' katanya yang merupakan jurulatih Selangor.

Fadzli bukan satu nama yang asing di kalangan peminat bola sepak tempatan. Bekas pemain kebangsaan ini pernah menempa nama kerana pernah beraksi di luar negara bersama kelab SV Wehen pada tahun 2001.

Selain Fadzli, Devan berkata kemasukan beberapa muka baru seperti Saiful Amar Sudar, Azidan Sarudin dan Yosri Derma Raju akan meluaskan lagi pilihan pemain.

''Kehadiran mereka adalah untuk menampung beberapa posisi yang saya anggap masih perlu diperbaiki di samping menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas pemain, '' ujarnya.

Mengenai sasaran musim ini, Devan mengakui dia amat kepingin melihat Selangor kembali menjulang trofi Piala Malaysia, selepas lima tahun gagal melakukannya.

''Bagi nama besar seperti pasukan Selangor, lima tahun adalah satu tempoh yang agak lama, walaupun kami tidak ketandusan gelaran termasuk meraih gelaran juara Liga Super selama dua tahun berturut-turut.

''Selain mahu mempertahankan kejuaraan Liga Super bagi tiga tahun berturut-turut, impian paling utama buat saya pada musim ini adalah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Selangor, '' jelasnya.

Devan juga meluahkan rasa puas hati mengenai tahap persiapan Selangor yang baru pulang dari persiapan pra musim di Perth, kerana buat pertama kali dapat mengumpulkan semua pemainnya berlatih bersama.

''Berdepan antara tiga pasukan yang handal di sana, saya dapat kenal pasti beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki terutamanya di bahagian pertahanan,'' katanya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dQgwF23X
© Utusan Melayu (M) Bhd