ARKIB : 18/04/2011
Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
SHAH ALAM - Kejayaan Selangor menewaskan Perak 1-0 di sini, kelmarin
membuktikan Red Giants masih berupaya mengekalkan kejuaraan Liga Super yang
dimenanginya musim lalu.
Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, kemenangan itu juga membolehkan
pasukannya kembali berada di tangga teratas liga dengan 26 mata selepas bekerja
keras untuk menundukkan Perak di Stadium Shah Alam.
Tambah Devan, Selangor juga akan cuba memanfaatkan kelebihan beraksi di
laman sendiri untuk mendapatkan mata penuh apabila melayan kunjungan Sabah,
esok.
''Sebelum perlawanan menentang Perak, ramai yang beranggapan Perak mampu
melakukan kejutan lagi selepas menewaskan Kelantan dengan keputusan 4-0.
''Namun, tanggapan itu meleset apabila kami yang memperoleh kemenangan dan
ini juga menunjukkan Selangor masih mampu untuk mengekalkan kejuaraan musim
lalu,'' katanya selepas tamat perlawanan di Shah Alam, sini, kelmarin.
Kelmarin, Selangor dan Perak bermain dengan seimbang pada separuh masa
pertama, namun pada babak kedua perlawanan skuad bimbingan Devan lebih banyak
melakukan serangan berbahaya selain berupaya menghuru-harakan pertahanan
pasukan lawan.
Gol kemenangan Selangor diperoleh pada minit ke-68 melalui rembatan
kencang Safiq yang memanfaatkan peluang kecuaian Perak.
Sementara itu, jurulatih Perak, Norizan Bakar turut mengakui pasukannya
agak cuai di bahagian pertahanan sehingga membolehkan tuan rumah melakukan
beberapa percubaan berbahaya.
''Ini bukanlah perlawanan terakhir kami dalam liga musim ini dan kita akan
cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan selepas ini,'' kata
Norizan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5e69bs4gB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan