ARKIB :
13/01/2011
KUALA LUMPUR -
Keputusan K. Devan mengambil kembali Mohd. Fadzli Saari untuk memperkuatkan
pasukan Selangor pada saingan Liga Malaysia 2011 mungkin mengundang sedikit
kekeliruan di kalangan penyokong Red Giants.
Sudah
'berkarat', tidak konsisten dan malas bergerak, itu antara alasan-alasan utama
diberikan oleh peminat setia Merah Kuning, yang beranggapan dia tidak layak
lagi beraksi di dalam sebuah skuad hebat seperti Selangor.
Bagaimanapun,
itu hanya penilaian kasar yang mungkin difikirkan oleh peminat, sebaliknya buat
Devan, dia lebih arif terhadap kemampuan sebenar Fadzli yang pernah menyarung
jersi Selangor selama tiga musim dari tahun 2006 hingga 2008.
Menurutnya,
Fadzli bakal menjadi taruhan terbaru Selangor ketika situasi set-piece
berdasarkan kelebihan fizikal dan berkeupayaan mendapatkan gol melalui
tandukan.
''Pada musim
lalu, kami agak sedikit lemah dalam situasi perebutan bola di udara dan
percubaan mendapatkan gol melalui set-piece, kehadiran Fadzli saya jangka akan
banyak membantu Selangor dalam aspek terbabit.
''Fadzli boleh
menjadi senjata terbaru kami dalam memburu gol ketika situasi sepakan sudut
atau sepakan percuma.
''Dia telah
membuktikan prestasinya masih di puncak selepas menjaringkan 17 gol bersama KL
Plus pada saingan musim lalu dan atas faktor itu, saya tertarik mendapatkan
khidmatnya kembali ke Selangor,'' katanya yang merupakan jurulatih Selangor.
Fadzli bukan
satu nama yang asing di kalangan peminat bola sepak tempatan. Bekas pemain
kebangsaan ini pernah menempa nama kerana pernah beraksi di luar negara bersama
kelab SV Wehen pada tahun 2001.
Selain Fadzli,
Devan berkata kemasukan beberapa muka baru seperti Saiful Amar Sudar, Azidan
Sarudin dan Yosri Derma Raju akan meluaskan lagi pilihan pemain.
''Kehadiran
mereka adalah untuk menampung beberapa posisi yang saya anggap masih perlu
diperbaiki di samping menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas pemain,
'' ujarnya.
Mengenai
sasaran musim ini, Devan mengakui dia amat kepingin melihat Selangor kembali
menjulang trofi Piala Malaysia, selepas lima tahun gagal melakukannya.
''Bagi nama
besar seperti pasukan Selangor, lima tahun adalah satu tempoh yang agak lama,
walaupun kami tidak ketandusan gelaran termasuk meraih gelaran juara Liga Super
selama dua tahun berturut-turut.
''Selain mahu
mempertahankan kejuaraan Liga Super bagi tiga tahun berturut-turut, impian
paling utama buat saya pada musim ini adalah membawa pulang Piala Malaysia ke
bumi Selangor, '' jelasnya.
Devan juga
meluahkan rasa puas hati mengenai tahap persiapan Selangor yang baru pulang
dari persiapan pra musim di Perth, kerana buat pertama kali dapat mengumpulkan
semua pemainnya berlatih bersama.
''Berdepan
antara tiga pasukan yang handal di sana, saya dapat kenal pasti beberapa
kelemahan ketara yang perlu diperbaiki terutamanya di bahagian pertahanan,''
katanya
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz5dQgwF23X
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan