ARKIB : 10/05/2011
PEMAIN Kedah, Mohd. Azmi Muslim (tengah) dicabar
dua pemain Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.
KUALA LUMPUR - Selangor merampas semula teraju
carta persaingan bola sepak Liga Super 2011 biarpun sekurang-kurangnya mungkin
buat sehari selepas menundukkan Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar,
semalam.
Dengan Kelantan hanya akan menentang Negeri
Sembilan hari ini, anak buah K. Devan melangkau pencabar terdekatnya dengan
memungut 42 mata hasil jaringan Fadzli Saari dan Rudie Ramli pada minit ke-59
dan ke-87.
Buat seketika, Merah Kuning agak selesa di tangga
teratas apatah lagi dibantu dengan kekalahan pencabar dari tempat ketiga, Terengganu
2-1 kepada Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
Kekalahan Kedah pula membuka peluang Perak
memintasnya di tangga keempat biarpun terpaksa mengikat Harimau Muda A 1-1 di
Stadium Shah Alam menerusi jaringan penyamaan Wan Hossen Wan Ghani pada minit
ke-47.
Seladang dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pemain
skuad Bawah 21 negara, Gary Steven Robbat selepas menyudahkan hantaran Ferris
Danial dari sebelah kiri pada penghujung babak pertama.
Perak terikat 28 mata dengan Kedah tetapi
dipisahkan menerusi perbezaan gol sementara Harimau Muda A kekal di tangga
ketujuh liga tetapi cuba disaingi Johor FC yang turut berkongsi 23 mata.
Gol Indra Putra Mahayuddin dan Badrul Hisani Rahman
pada minit kedua dan 86 pula menjulang T-Team ke tangga kesembilan setelah
menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu.
Bekas pemain negara, Liew Kit Kong terlepas peluang
merapatkan jurang gol gara-gara mensia-siakan sepakan penalti pelawat yang
diperoleh dalam masa kecederaan babak kedua.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eAlCNKah
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan