ARKIB : 20/04/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
K. Rajagobal masih membuka ruang buat pemain senior untuk menyertai skuad
negara namun bergantung pada prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia.
KUALA LUMPUR - Tiada istilah 'tutup pintu' buat mana-mana bekas pemain
kebangsaan yang mahu beraksi bersama Harimau Malaya jika mereka menunjukkan
prestasi cemerlang bersama pasukan negeri masing-masing dalam saingan Liga
Super.
Pengendali skuad kebangsaan, K. Rajagobal berkata, dia sentiasa memantau
semua pemain yang beraksi dalam liga, bagi mendapat maklumat terkini mengenai
prestasi mereka.
"Saya sentiasa mengikuti perkembangan semua pemain, jika ada antara
mereka yang mempamerkan prestasi konsisten, saya sedia memberi peluang dengan
memanggil mereka menjalani latihan skuad kebangsaan, seperti mana yang saya
pernah buat sebelum ini.
"Ini termasuk pemain-pemain senior, saya sesekali tidak akan bersikap
menutup pintu terus kepada mereka, itulah falsafah saya, " katanya yang
dihubungi, semalam.
Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenai peluang penyerang Perak, Akmal
Rizal Ahmad Rakhli untuk dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan,
memandangkan bekas penyerang negara itu semakin menyerlah musim ini.
Akmal telah menjaringkan 10 gol dalam 16 penampilan bersama Perak dan
banyak menjadi penggerak serangan skuad Kejor Yob Kejor.
Rajagobal memberitahu, peluang Akmal tetap ada namun dia tidak boleh
menyatakannya sekarang kerana liga masih berjalan dan dia akan memutuskannya
apabila masa telah sesuai.
"Tak boleh cakap sekarang, benda seperti ini kena ambil masa sebelum
saya boleh memutuskannya, bukan sahaja Akmal Rizal tetapi juga kepada
pemain-pemain lain.
"Saya kena perhatikan betul-betul jika mahu memanggil mereka, banyak
perkara yang perlu saya fikirkan, " katanya.
Rajagobal juga berkata dia belum dapat membuat keputusan skuad yang mana
akan diturunkan seandainya tarikh 21 Julai berdepan Chelsea menjadi kenyataan
dan dalam masa sama, Malaysia berjaya mara ke pusingan kedua kelayakan Piala
Dunia bertemu Singapura pada 23 Julai.
"Saya tahu tarikh dua perlawanan itu terlalu hampir tetapi hal
tersebut saya belum bincangkan lagi dengan pihak pengurusan Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM).
"Buat masa ini fokus saya ialah untuk menghadapi Taiwan terlebih
dahulu pada 29 Jun depan, " katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5e6ErZAaQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan